Himpunan RXZ Members 7.0 yang berlangsung selama dua hari di Litar Permotoran Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus bukan sahaja mencatat rekod penyertaan kira-kira 150,000 peserta, malah berjaya memberi limpahan ekonomi sehingga RM50 juta kepada usahawan dan peniaga kecil di negeri ini.
Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Ariffin Deraman berkata, jumlah itu diperoleh berdasarkan anggaran perbelanjaan minimum peserta sepanjang program berkenaan.
"Kalau jumlah peserta 100,000 orang dan setiap seorang berbelanja minimum RM100, kita boleh jana sekitar RM10 juta.
"Tetapi jika perbelanjaan mereka mencecah RM500 seorang, pulangan ekonomi boleh mencecah kira-kira RM50 juta.
"Ini belum termasuk kesan lanjutan seperti penginapan, rumah inap, hotel, pasar dan pusat membeli-belah yang dipenuhi pengunjung sepanjang program," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pelancaran Skim Pembiayaan Motosikal dan Dana Usahawan Terengganu (DUTE) hari ini.
Ariffin berkata, penganjuran Himpunan RXZ Members turut memberi peluang besar kepada lebih 15,000 usahawan kecil tempatan berdaftar di bawah Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) serta lebih 20,000 peniaga berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Beliau berkata, kehadiran 150,000 peserta dari seluruh negara jelas membuktikan Terengganu mampu menjadi tuan rumah kepada acara berimpak tinggi yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti usahawan tempatan.
EmoticonEmoticon