Seorang wanita berusia 57 tahun maut selepas dipatuk ular berbisa yang memasuki rumahnya di Dukuh Karangpucung, Desa Cinanas, Kecamatan Bantarkawung, Jawa Tengah pada malam Ahad lalu.
Mangsa, Sumyati, cuba menghalau reptilia itu menggunakan penyapu selepas ternampak ia bersembunyi di bawah almari sebelum ular tersebut bertindak balas dengan mematuk kakinya.
Walaupun cedera, Sumyati tetap menunaikan solat Isyak sebelum mula berasa lemah dan pening beberapa jam kemudian.
Beliau kemudiannya cuba mendapatkan rawatan daripada seorang pengamal perubatan masyarakat setempat yang dikenali dengan rawatan tradisional gigitan haiwan berbisa.
Namun keadaan mangsa semakin serius sebelum dikejarkan ke Hospital RSUD Bumiayu, tetapi doktor mengesahkan beliau meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
"Jenazah mangsa dikebumikan pada keesokan pagi," kata Ketua Desa, Hensika Cindy Setiawan kepada pemberita pada Selasa.
Kes patukan ular masih menjadi ancaman kesihatan utama di Indonesia, khususnya di kawasan luar bandar yang berdepan kekangan akses rawatan moden dan bergantung kepada perubatan tradisional sebagai langkah awal. - Sumber Tribun News.
EmoticonEmoticon