Seorang penternak haiwan di Taiwan mengalami kerugian hampir NT$10 juta (RM1.3 juta) selepas 120 ekor biri-biri ternakannya mati diracun oleh pemilik tanah, lapor portal berita Must Share News semalam.
Lelaki dikenali sebagai Lin berkata, kematian itu bermula pada 7 April lalu apabila lebih 50 biri-biri mati di ladangnya.
"Beberapa hari kemudian, lebih banyak biri-biri ditemukan tidak bernyawa dengan kebanyakannya terdiri daripada biri-biri betina yang bunting," kata Lin.
Selepas berjumpa dengan doktor haiwan, dia diberitahu bahawa biri-birinya mati akibat racun perosak.
Lin segera memeriksa rakaman kamera pengawasan dan mendapati bahawa pemilik tanah masuk ke dalam ladang sekitar pukul 10 pagi (waktu tempatan) sebelum menuang bahan mencurigakan ke dalam makanan haiwan ternakannya.
Situasi itu didakwa tercetus apabila Lin menolak permintaan pemilik tanah yang ingin menaikkan sewa daripada NT$30,000 (RM4,200) setahun kepada NT$15,000 (RM2,100) sebulan.
Lin melaporkan kejadian itu kepada polis dan menyerahkan rakaman sebagai bukti. - Sumber MS News.
EmoticonEmoticon