Khamis, 21 Ogos 2025

Penjawat awam dicekup, terima suapan RM8,000 daripada seorang pemilik syarikat


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan seorang penjawat awam agensi kerajaan negeri kerana disyaki meminta dan menerima wang suapan kira-kira RM8,000 daripada seorang pemilik syarikat sebagai balasan untuk tidak mengenakan kompaun terhadap syarikat miliknya.


Lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 2 petang ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor, semalam.


Majistret Zur Azureen Zainalkefli membenarkan suspek direman selama lima hari sehingga 25 Ogos selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam.


Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek telah meminta wang suapan daripada seorang pemilik syarikat sebagai balasan untuk tidak mengenakan kompaun terhadap kesalahan penyalahgunaan logo halal pada produk yang tidak mendapat sijil halal oleh syarikat terbabit.


"Suspek kemudian menerima wang rasuah kira-kira RM8,000 daripada pemilik syarikat berkenaan," katanya.


Sementara itu, Timbalan Pengarah SPRM Selangor, Khairul Izwan Karim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.


Seorang penjawat awam direman lima hari untuk siasatan meminta dan menerima wang suapan kira-kira RM8,000. - Foto SPRM.


EmoticonEmoticon