Rabu, 20 Ogos 2025

Datang konon melancong, rupanya mahu tinggal secara haram di Malaysia


Tempahan penginapan palsu dan ketiadaan tiket penerbangan pulang merupakan antara taktik warga asing yang kononnya datang sebagai pelancong, namun dipercayai berniat untuk tinggal di Malaysia secara tidak sah.


Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam satu kenyataan berkata, seramai 126 warga asing telah dihalang daripada memasuki Malaysia dalam operasi bersepadu oleh Pasukan Pemantau AKPS di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1) dan Terminal 2 (KLIA2) semalam.


Menurut kenyataan itu, di KLIA Terminal 1, Pasukan Pemantau telah menahan seramai 35 lelaki warga Pakistan kerana gagal mematuhi syarat kemasukan.


"Siasatan mendapati mereka mengemukakan tempahan penginapan palsu, tidak membawa wang sara diri yang mencukupi, dan tiada tiket penerbangan pulang.


"Kesemua mereka disyaki bukan pelancong tulen dan dipercayai cuba memasuki Malaysia untuk bekerja," katanya hari ini.


Tambah AKPS, operasi di KLIA2 pula menyaksikan seramai 91 pelawat asing telah dikenakan Notis Penolakan Masuk (NTL) atas pelbagai kesalahan.


Jelasnya, ia merupakan kumpulan terbesar yang ditahan, melibatkan 64 warga India yang menggunakan helah transit. Siasatan mendapati mereka gagal mengemukakan bukti tempahan hotel dan tiket penerbangan pulang.


"Mereka mendakwa hanya transit di Malaysia, namun sebenarnya menunggu arahan dan tiket baharu daripada ejen bagi tujuan tinggal serta bekerja secara tidak sah di Malaysia," katanya.


Katanya lagi, turut ditahan di KLIA Terminal 2 ialah dua warga Pakistan yang menggunakan ePass palsu.


Tegasnya, kesemua 126 warga asing terbabit telah dikenakan NTL dan dihantar pulang ke negara asal masing-masing menggunakan penerbangan terawal dalam tempoh 24 jam.


"AKPS amat mengalu-alukan penyaluran maklumat daripada orang awam bagi membantu menghalang cubaan pihak tidak bertanggungjawab memasuki negara secara haram, dan menegaskan komitmennya untuk sentiasa memastikan integriti pintu masuk negara terpelihara," ujarnya.


AKPS mengambil tindakan NTL terhadap 126 warga asing yang ditahan di KLIA, semalam (Selasa). - Foto AKPS.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon