Memaparkan catatan dengan label Persundalan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Persundalan. Papar semua catatan

Khamis, 17 September 2026

Suami orang dicekup khalwat dengan wanita warga asing di rumah urut di Masai

Suami orang dicekup khalwat dengan wanita warga asing di rumah urut di Masai


Dua pasangan ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam serbuan di sebuah premis urut di Masai, Johor pada malam Selasa.


Operasi kira-kira jam 9.45 malam itu dijalankan sempena cuti Hari Malaysia dan turut disertai 30 penguat kuasa Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).


Dalam operasi berkenaan, penguat kuasa JAINJ dan MBPG membuat pemeriksaan di setiap tingkat premis tiga tingkat berkenaan sebelum menemui dua pasangan berlainan dalam bilik yang berkunci dari dalam.


Di tingkat dua, penguat kuasa mengetuk sebuah bilik yang dikunci dari dalam sebelum dibuka kira-kira dua minit kemudian oleh seorang wanita warga Indonesia yang bekerja sebagai tukang urut di premis terbabit.


Pemeriksaan lanjut menemukan seorang lelaki bersamanya dalam keadaan hanya memakai seluar dalam, manakala pakaian lelaki berkenaan ditemui tergantung di dinding.


Lelaki berusia 20-an itu dipercayai sudah berkahwin dan mempunyai dua anak, manakala wanita berusia 20-an berkenaan mengaku masih belum berkahwin.


Sementara itu, di tingkat tiga, penguat kuasa mengetuk sebuah bilik yang turut dikunci dari dalam namun tiada jawapan selepas kira-kira 10 minit.


Pintu bilik berkenaan kemudian dibuka menggunakan kunci pendua sebelum pemeriksaan menemukan seorang lelaki dan seorang wanita di dalamnya.


Lelaki berusia 30-an itu berstatus bujang dan bekerja di Pasir Gudang, manakala wanita berusia 20-an berkenaan juga merupakan warga Indonesia dan bekerja sebagai tukang urut.


Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bilik berkenaan dilengkapi kemudahan seperti katil dan tandas serta digunakan bagi perkhidmatan urut secara tertutup.


Maklumat awal turut mendapati perkhidmatan urut ditawarkan pada kadar RM260 bagi tempoh kira-kira sejam, dengan bayaran tambahan dikenakan bagi perkhidmatan lain.


Kedua-dua pasangan berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor.

Isnin, 14 September 2026

Lelaki dicekup bersama pelacur warga asing, mengaku bayar RM200

Lelaki dicekup bersama pelacur warga asing, mengaku bayar RM200

(Gambar Ilustrasi)

Seorang lelaki ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas membayar RM200 untuk melanggan pelacur warga asing dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Kluang, baru-baru ini.


Lelaki terbabit bagaimanapun belum sempat mendapatkan khidmat wanita berusia 20-an itu apabila premis berkenaan diserbu penguat kuasa kira-kira jam 3.05 petang.


Menurut JAINJ, sebaik tiba di rumah kedai terbabit, penguat kuasa mendapati terdapat dua bilik yang ditutup dengan langsir.


"Apabila memasuki bilik pertama, penguat kuasa menemukan seorang lelaki manakala wanita itu sedang duduk bersila di atas katil. Wanita terbabit hanya berkemban manakala lelaki terbabit bertuala.


"Lelaki ini masih bujang, berasal dari sebuah negeri di utara dan bekerja di Kluang, manakala wanita warga asing itu juga belum berkahwin," katanya dalam kenyataan.


JAINJ berkata, pemeriksaan kemudian diteruskan ke bilik kedua sebelum menemukan seorang wanita berusia 30-an sedang berbaring di atas katil dengan memakai baju-T dan skirt.


"Wanita itu warga tempatan dan bukan beragama Islam," katanya.


Dalam pada itu, ketika pemeriksaan dijalankan, dua lelaki warga asing muncul dipercayai mahu mendapatkan khidmat wanita di premis terbabit, namun kedua-duanya melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa.


"Pemeriksaan lanjut di kedua-dua bilik menemukan beberapa kondom yang belum digunakan. Selain itu, terdapat juga kondom terpakai yang ditemui dalam tong sampah bersama tisu," ujarnya.


Pasangan terbabit ditahan bagi siasatan berkaitan kesalahan khalwat atau persediaan atau percubaan melakukan persetubuhan luar nikah dan pelacuran.

Sabtu, 5 September 2026

Baru dua hari menyundal, wanita Thailand ditahan di Batu Pahat

Baru dua hari menyundal, wanita Thailand ditahan di Batu Pahat


Seorang wanita warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat, semalam atas tuduhan terbabit dalam kegiatan persundalan serta melanggar syarat pas perjalanan untuk melakukan aktiviti tidak bermoral.


Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Nanthicha Bunrod, 28, yang baru dua hari melakukan 'kerja' itu, selepas mendakwa dia tidak faham Bahasa Melayu di hadapan Majistret, Aimi Nawwar Mohamad Othman.


Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu yang masih bujang didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan di sebuah hotel dekat Jalan Abu Bakar, Batu Pahat pada jam 6.30 petang, 31 Ogos lalu.


Pertuduhan ini dikemukakan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang mana boleh dipenjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya.


Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melanggar syarat pas perjalanan untuk melakukan aktiviti persundalan dengan kejadian berlaku pada tarikh, waktu serta lokasi sama.


Kesalahan itu dilakukan mengikut Peraturan 11 (7), Peraturan Imigresen 1963 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 39 (b).


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shahzleen Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan.


Mahkamah menetapkan 9 September ini untuk sebutan kehadiran jurubahasa Thailand dan tiada tawaran ikat jamin dibenarkan.

Ahad, 30 Ogos 2026

Lelaki Dipenjara 5 Bulan, Didenda RM19,000 Selepas Rakam Isteri Bersama Kekasih Secara Rahsia

Lelaki Dipenjara 5 Bulan, Didenda RM19,000 Selepas Rakam Isteri Bersama Kekasih Secara Rahsia


Taktik seorang lelaki di Taiwan menggunakan pembersih vakum robotik untuk membongkar dakwaan kecurangan isterinya membuahkan hasil apabila dia memenangi saman sivil terhadap wanita itu dan kekasihnya, lapor NDTV.


Namun, kemenangan itu bertukar menjadi padah apabila dia kemudian dijatuhi hukuman penjara kerana merakam imej peribadi secara bersembunyi tanpa kebenaran.


Menurut penghakiman mahkamah yang dikeluarkan baru-baru ini dan dilaporkan media tempatan, lelaki berkenaan berkahwin pada 2021 dan tinggal bersama ibu bapanya. Dia dan isterinya menggunakan rumah peranginan mereka terutama ketika musim percutian.


Syak wasangkanya terhadap isterinya meningkat pada September 2023 selepas dia menemukan berus gigi yang sudah digunakan di kediaman berkenaan. Dia kemudian menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di garaj tempat letak kereta sebelum menyedari seorang lelaki tidak dikenali memandu keretanya untuk menghantar isterinya pulang.


Kira-kira tiga bulan kemudian, si suami mengaktifkan pembersih vakum robotik di rumah peranginan itu secara kawalan jauh menerusi aplikasi telefon bimbitnya. Peranti berkenaan dilengkapi fungsi audio terbina dalam yang membolehkan pengguna berkomunikasi menerusinya.


Bagaimanapun, strim langsung daripada pembersih vakum itu merakam isterinya bersama lelaki lain dalam keadaan intim. Si suami kemudian merakam paparan berkenaan sebelum menyerahkannya sebagai bahan bukti dalam saman sivil terhadap isterinya dan lelaki terbabit.


Pada mulanya dia menuntut ganti rugi sebanyak 2 juta dolar Taiwan (kira-kira RM254,000), lapor South China Morning Post. Mahkamah sivil memutuskan hubungan itu melampaui batas persahabatan biasa dan memerintahkan isteri serta lelaki berkenaan membayar pampasan 500,000 dolar Taiwan (kira-kira RM63,000) kepadanya.


Bagaimanapun, kemenangannya tidak bertahan lama apabila dia berdepan tindakan undang-undang berasingan berhubung cara mendapatkan bukti berkenaan.


Isterinya mendakwa lelaki itu merakam imej peribadi secara bersembunyi tanpa kebenarannya, namun dia berhujah tindakan itu wajar kerana rakaman berkenaan diterima sebagai bukti dalam prosiding sivil.


Mahkamah menolak pembelaan itu dan memutuskan bahawa kewajipan perkahwinan tidak mengatasi hak privasi seseorang. Mahkamah turut mendapati rakaman berkenaan dilakukan secara sengaja.


Mahkamah turut memutuskan sebarang lampu atau pemberitahuan suara yang dikeluarkan pembersih vakum robotik tidak mencukupi untuk membuktikan wanita berkenaan mengetahui dirinya dirakam atau memberikan kebenaran.


Lelaki itu akhirnya dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan didenda 150,000 dolar Taiwan (kira-kira RM19,000) kerana merakam imej peribadi secara haram.


Di bawah undang-undang Taiwan, tindakan merakam atau mendedahkan aktiviti peribadi atau maklumat intim orang lain secara bersembunyi tanpa kebenaran boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga 300,000 dolar Taiwan (kira-kira RM38,000).

Isnin, 24 Ogos 2026

Sindiket pelacuran tawar khidmat seks serendah RM50 tumpas, 57 orang ditahan

Sindiket pelacuran tawar khidmat seks serendah RM50 tumpas, 57 orang ditahan


Sindiket tawar perkhidmatan seks serendah RM50 membabitkan wanita Indonesia tumpas menerusi serbuan di tiga hotel bajet dan rumah tumpangan di Seremban, semalam.


Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan bermula 2 petang itu susulan maklumat daripada Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) berhubung aktiviti tidak bermoral.


"Siasatan mendapati kegiatan dijalankan dengan menempatkan wanita warga asing di rumah tumpangan atau hotel bajet yang disewa secara harian atau bagi tempoh antara satu minggu hingga ke satu bulan.


"Premis ini dipercayai diurus dan dikawal oleh warga tempatan serta warga asing yang berperanan sebagai 'kapten' atau pengurus.


"Wanita warga asing dipercayai menawarkan perkhidmatan pada kadar bayaran RM50 bagi setiap servis kepada pelanggan terdiri daripada warga asing dan tempatan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurutnya, serbuan itu menahan 57 individu berusia lingkungan 19 tahun ke 65 tahun, yang terdiri daripada 12 lelaki Bangladesh, lelaki Myanmar (3), lelaki Indonesia (1) dan 26 wanita Indonesia serta tujuh warga tempatan.


Katanya, sindiket itu disyaki aktif sejak setahun dan mempunyai struktur pengurusan yang tersusun bagi memastikan kelangsungan operasi, malah dianggarkan mengaut untung mencecah RM540,000 sepanjang beroperasi.


"Hasil pemeriksaan ke atas premis, pasukan operasi telah menyita beberapa pasport Bangladesh, India dan Indonesia, telefon bimbit, kunci premis dan juga kondom.


"Warga tempatan ditahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, manakala warga asing yang lain ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.

Khamis, 20 Ogos 2026

Sindiket pelacuran didalangi pasangan warga asing di ibu negara tumpas

Sindiket pelacuran didalangi pasangan warga asing di ibu negara tumpas


Jabatan Imigresen (JIM) menumpaskan sindiket pelacuran didalangi pasangan warga asing dalam serbuan di Jalan Kuchai Lama dan Jalan Gelugor, Kuala Lumpur pada Selasa lepas.


Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi pada 10.50 malam dijalankan berdasarkan maklumat awam dan risikan selama dua minggu terhadap kegiatan sindiket itu yang dipercayai beroperasi dari dua bulan lepas.


Beliau berkata selain pasangan warga Bangladesh dan Thailand itu, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan yang berperanan sebagai penjaga premis serta 23 warga asing.


"Warga asing itu terdiri daripada masing-masing tiga lelaki Myanmar dan wanita Bangladesh, wanita Indonesia (14), wanita Vietnam (dua) dan wanita Myanmar (seorang) berusia 18 hingga 35 tahun," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Zakaria berkata semakan awal mendapati kesemua warga asing itu tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas sah untuk berada di negara ini.


Pada operasi itu, JIM menyita empat pasport Bangladesh dan masing-masing satu pasport Thailand serta Indonesia selain telefon bimbit, kondom dan wang tunai RM1,215 disyaki hasil daripada kegiatan tersebut.


"Modus operandi sindiket ialah menjadikan premis kediaman dan premis perniagaan sebagai lokasi menjalankan aktiviti tidak bermoral melibatkan perempuan warga asing sebagai pekerja seks," katanya.


Zakaria berkata kegiatan itu dipromosikan kepada pelanggan terutama warga Bangladesh di Lembah Klang melalui platform media sosial dengan bayaran antara RM200 hingga RM400 bergantung pada tempoh masa. 


Pasangan warga asing itu dipercayai mengawal pergerakan pekerja dengan menyimpan pasport manakala lelaki tempatan berperanan sebagai "kapten" yang mengawal dan menjaga premis itu. 


Zakaria berkata tiga suspek itu ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 manakala siasatan terhadap warga asing lain di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama. 


"Sebanyak tujuh lelaki tempatan pula diberikan notis untuk membantu siasatan," katanya.

Selasa, 11 Ogos 2026

Tawar khidmat seks RM130 hingga RM250 di MiChat, wanita warga Indonesia dipenjara 12 bulan

Tawar khidmat seks RM130 hingga RM250 di MiChat, wanita warga Indonesia dipenjara 12 bulan


Wanita warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, semalam atas kesalahan mempromosikan pelacuran melalui aplikasi media sosial MiChat, bulan lalu.


Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Nurlela, 32, selepas tertuduh mengaku bersalah dan mensabitkannya seperti pertuduhan serta memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 29 Julai lalu.


Mengikut pertuduhan, Nurlela berasal dari Batam, Indonesia didapati mempromosikan pelacuran melalui Michat menggunakan akaun bernama 'Wawa' dengan menawarkan perkhidmatan seks kepada orang awam bagi maksud eksploitasi seksual.


Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bilik sebuah hotel di Jalan Tun Sri Lanang, Pengkalan Rama Tengah pada 29 Julai lalu, kira-kira jam 8.35 malam.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372 (1) (e) Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.


Mengikut fakta kes, pada tarikh kejadian sepasukan anggota dari Cawangan D7, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka menjalankan Ops E-Noda di hotel itu susulan risikan aktiviti pelacuran melalui aplikasi MiChat.


Hasil serbuan, Nurlela ditahan di sebuah bilik hotel dan telefon bimbitnya dirampas bagi membantu siasatan.


Pemeriksaan ke atas telefon bimbit milik tertuduh mendapati akaun MiChat atas nama 'Wawa' digunakannya untuk menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan dengan bayaran antara RM130 hingga RM250.


Terdapat kandungan perbualan antara tertuduh dengan beberapa individu berlainan membabitkan rundingan harga, lokasi pertemuan, kaedah pembayaran tunai serta pertukaran gambar dan maklumat diri sebelum urusan diteruskan.


Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan denda dan tidak dipenjarakan kerana itu kesalahan pertamanya dan turut menanggung ibu di kampung.


Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh sebagai pengajaran dan menghujahkan penjara adalah mandatori di bawah Seksyen 372 (1) (e) KK.


Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bermula dari tarikh ditangkap dan tertuduh kelihatan menangis sejurus prosiding kesnya selesai.

Isnin, 10 Ogos 2026

Wanita warga Filipina direman disyaki terbabit aktiviti persundalan

Wanita warga Filipina direman disyaki terbabit aktiviti persundalan


Serbuan polis ke sebuah spa di Sabindo Square di Tawau membawa kepada penahanan seorang wanita warga Filipina yang disyaki terbabit aktiviti persundalan bersama seorang lelaki tempatan, semalam.


Wanita berusia 36 tahun itu direman selama empat hari bermula hari ini hingga 14 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan.


Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum terhadap suspek bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut.


Suspek ditahan dalam serbuan 'Op Noda' yang dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di sebuah premis di Sabindo Square, kira-kira 5.15 petang, semalam.


Berdasarkan keterangan kes ketika permohonan reman di mahkamah pagi ini, operasi itu diketuai Inspektor Kasinam Kadri bersama beberapa anggota selepas polis menerima maklumat berkaitan disyaki berlaku aktiviti persundalan di premis berkenaan.


Pemeriksaan awal mendapati beberapa pekerja di premis terbabit memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.


Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut di tingkat satu premis membawa kepada penemuan sebuah bilik yang dipercayai digunakan untuk aktiviti persundalan.


Polis kemudian menemui seorang pekerja wanita warga asing bersama seorang lelaki tempatan yang disyaki pelanggan berada di dalam bilik berkenaan.


Hasil pemeriksaan turut membawa kepada rampasan beberapa barang yang dipercayai berkaitan kes, antaranya kondom, pembungkus kondom, lesen, daftar kerja harian, telefon bimbit, salinan pasport dan wang tunai RM150.


Suspek wanita berkenaan kemudian ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti persundalan dan disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan.


Permohonan reman dikemukakan Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau, Sarjan Mohd Jafni Junat.

Ahad, 9 Ogos 2026

JSJ gempur kegiatan persundalan warga asing, 59 ditahan dalam serbuan enam premis

JSJ gempur kegiatan persundalan warga asing, 59 ditahan dalam serbuan enam premis


Seramai 59 individu termasuk 42 wanita warga asing ditahan dalam serbuan Ops Noda di enam premis hiburan dan refleksologi yang dipercayai menawarkan khidmat persundalan di Lembah Klang, Khamis lalu. 


Menurut sumber, serbuan dilakukan selepas keenam-enam premis berkenaan dipercayai menjalankan kegiatan hiburan dan persundalan dengan menawarkan wanita warga asing kepada pelanggan.


"Pemeriksaan mendapati tangkapan membabitkan dua warga tempatan, 39 warga Myanmar, Thailand (12), Vietnam(5) dan seorang Indonesia.


"Pelbagai barangan turut dirampas antaranya telefon bimbit, kondom, tisu basah, peralatan audio serta wang tunai.


"Siasatan awal mendapati premis berkenaan dipercayai mempunyai penglibatan warga asing dalam menjalankan aktiviti hiburan dan persundalan," katanya dalam kenyatan semalam.


Operasi Op Noda yang bermula kira-kira pukul 10.30 malam itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sekitar Klang, Petaling Jaya, Kajang dan Kuala Langat.


Sementara itu, JSJ Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan, operasi bersepadu itu turut membabitkan tindakan penguatkuasaan oleh PBT dan TNB terhadap premis terbabit.


Menurutnya, PBT menyita premis yang terlibat, manakala TNB bertindak memotong bekalan elektrik di kesemua premis berkenaan.


"Beberapa kertas siasatan telah dibuka antaranya di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana menawarkan khidmat persundalan.


"Ia turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan serta Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana memasuki negara ini tanpa permit yang sah," katanya.


Menurutnya, kesemua tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, IPD Kajang, IPD Klang Utara serta IPD Kuala Langat untuk tindakan lanjut.


"JSJ menegaskan pihaknya akan terus bersikap proaktif dalam membanteras sebarang kegiatan jenayah yang berlaku dalam masyarakat, termasuk kegiatan persundalan.


"Orang ramai diminta bekerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah agar tindakan pencegahan dan penguatkuasaan dapat diambil dengan kadar segera," katanya.


Antara wanita warga asing yang ditahan dalam serbuan Op Noda pada Khamis. - Foto Sinar Harian.

Jumaat, 24 Julai 2026

3 wanita Vietnam didenda RM2,000 dan RM500 kerana menyundal, salah guna pas lawatan

3 wanita Vietnam didenda RM2,000 dan RM500 kerana menyundal, salah guna pas lawatan


Tiga wanita Vietnam masing-masing didenda RM2,000 dan RM500 seorang selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini atas tuduhan terbabit dalam aktiviti persundalan dan melanggar syarat pas lawatan sosial sementara.


Tertuduh Pham Thi Thao Van, 22, berhadapan dua pertuduhan manakala Dang Thi Dien, 22, dan Chao Thi Van, 22, satu pertuduhan, mengaku bersalah di Majistret Mustaqim Sukarno.


Pham Thi kemudian dijatuhi hukuman denda RM2,000 manakala Dang Thi dan Chao Thi didenda RM500 seorang.


Mereka juga boleh dikenakan penjara satu dan empat bulan sekiranya gagal menjelaskan denda. Kesemua tertuduh membayar denda itu.


Mengikut pertuduhan, Pham Thi didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan di sebuah hotel di sebuah hotel, Jalan Bakau Chondong, Batu Pahat pada 2 petang, 15 Julai lalu.


Dia didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Selain itu, Pham Thi, Dang Thi dan Chao Thi juga didakwa melanggar syarat pas lawatan sosial untuk menjalankan aktiviti persundalan dengan kesemua kesalahan itu dilakukan pada tarikh, waktu dan lokasi sama.


Bagi kesalahan ini, mereka didakwa mengikut Seksyen 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, yang boleh dipenjara tidak melebihi enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shazleen Ibrahim manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan.


Berdasarkan fakta kes, polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat membuat serbuan ke atas sebuah hotel kerana didakwa menjadi lokasi persundalan.


Dalam serbuan itu, polis mendapati mereka terbabit dalam kegiatan itu dengan menggunakan pas lawatan sosial.


Tiga wanita Vietnam didenda selepas mengaku terbabit aktiviti persundalan dan salah guna pas lawatan sosial.

Selasa, 21 Julai 2026

Bapa rogol anak berulang kali, paksa tempah hotel sebagai balasan pengorbanan tanggung belanja

Bapa rogol anak berulang kali, paksa tempah hotel sebagai balasan pengorbanan tanggung belanja


Seorang lelaki didakwa melakukan ugutan emosi terhadap anak sulungnya dengan mengungkit pengorbanan menanggung perbelanjaan keluarga dan pendidikan mangsa sebelum memaksanya menempah bilik hotel untuk dirogol.


Berdasarkan fakta kes yang dikemukakan di Mahkamah Sesyen Tawau, mangsa yang kini berusia 25 tahun gagal menolak kehendak bapanya kerana sering dipengaruhi secara emosi dengan alasan tertuduh tersebut.


Siasatan turut mendapati tertuduh akan mendapatkan jadual kerja mangsa bagi mengetahui hari mangsa tidak bekerja sebelum mengarahkannya menempah bilik hotel.


Tertuduh kemudian datang dari Lahad Datu ke Tawau untuk melakukan perbuatan terkutuk tersebut.


Perbuatan terancang itu akhirnya membawa padah apabila lelaki berusia 53 tahun itu dijatuhi hukuman penjara 105 tahun dan 70 sebatan selepas mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan merogol anak sulungnya.


Hukuman dijatuhkan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya sebaik tertuduh mengaku salah selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya.


Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan serta dikenakan pengawasan polis selama tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol anak kandungnya yang kini berusia 25 tahun di beberapa hotel di daerah Tawau antara Disember 2025 hingga Mac 2026.


Dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.


Semasa rayuan, tertuduh memaklumkan dia berasa malu dan takut menerima hukuman yang bakal dijatuhkan selain memohon hukuman diringankan supaya diberi peluang memohon maaf kepada ahli keluarganya.


Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman maksimum dikenakan dengan mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan terhadap anak kandung sendiri serta sifat jenayah yang dirancang.


Pendakwaan turut berhujah dalam kes ini kejadian rogol bermula sejak mangsa berusia 16 tahun lagi dan terdapat unsur perancangan apabila tertuduh mendapatkan jadual kerja mangsa, meminta mangsa menempah bilik hotel dan sanggup bergerak dari Lahad Datu ke Tawau (kira-kira 150 kilometer) untuk melakukan perbuatan berkenaan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Md Yatin bersama Wildan Firdaus Ahmad Fazly, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Sebelum ini, pada 8 April lalu, Mahkamah Sesyen Lahad Datu turut menjatuhkan hukuman penjara 165 tahun dan 110 sebatan terhadap tertuduh selepas dia mengaku bersalah atas 11 pertuduhan merogol dua anak kandungnya.


Dalam kes berkenaan, tertuduh didakwa merogol kedua-dua anak perempuannya yang kini berusia 25 dan 22 tahun di beberapa lokasi di Lahad Datu antara 2016 hingga 2026.


Dengan keputusan Mahkamah Sesyen Tawau hari ini, tertuduh kini berdepan keseluruhan hukuman berjumlah 270 tahun penjara dan 180 sebatan selepas mengambil kira hukuman yang dijatuhkan bagi kes terdahulu di Mahkamah Sesyen Lahad Datu.


Tertuduh diiring pegawai dan anggota Jabatan Penjara Malaysia untuk dibawa ke Penjara Lahad Datu bagi menjalani hukuman. - Foto NSTP.

Jumaat, 17 Julai 2026

Remaja lelaki ditahan disyaki rogol teman wanita di hotel bajet

Remaja lelaki ditahan disyaki rogol teman wanita di hotel bajet


Polis menahan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun bagi membantu siasatan berhubung dakwaan merogol seorang remaja perempuan selepas berjaya mengesannya dalam operasi di pusat bandar di Tawau, petang semalam.


Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, suspek warga tempatan diberkas sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada kira-kira jam 2.05 petang.


Beliau berkata, tangkapan itu dibuat susulan laporan polis yang dikemukakan abang mangsa sebelum sepasukan polis menjalankan risikan bagi mengesan keberadaan suspek.


"Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai keluar dari rumah pada Selasa lalu sebelum ditemui bersama suspek di sebuah penginapan murah di sekitar pusat bandar di Tawau.


"Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan.


Sementara itu, suspek dibawa ke mahkamah kira-kira jam 9 pagi bagi permohonan reman oleh pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Inspektor Rabiatul Adawiyah Japri.


Perintah reman selama tujuh hari terhadap suspek yang tidak lagi bersekolah itu dikeluarkan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin di Mahkamah Majistret Tawau, hari ini, sehingga 24 Julai depan.


Berdasarkan keterangan permohonan reman di mahkamah, abang mangsa menyedari adik perempuannya tidak hadir ke sekolah pada 14 Julai lalu kira-kira jam 11.30 pagi, walaupun remaja itu sudah keluar seperti biasa untuk ke sekolah.


Semakan dengan guru kelas mendapati mangsa tidak hadir ke sekolah, manakala pemandu bas memaklumkan mangsa dipercayai turun di kawasan jejantas berhampiran dengan sekolah.


Pada hari sama kira-kira jam 11 malam, abang mangsa dimaklumkan adiknya berada bersama seorang perempuan sebelum mengambil mangsa di rumah individu berkenaan.


Mangsa kemudian dibawa ke balai polis selepas mendakwa bertemu suspek yang juga teman lelakinya sebelum dibawa ke sebuah penginapan murah dan berlaku kejadian berkenaan.


Susulan maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota BSJ menahan suspek kira-kira jam 2.05 petang semalam (16 Julai) bagi membantu siasatan.

Sabtu, 11 Julai 2026

Hotel tiga bintang jadi sarang persundalan warga asing di Jalan Cheras diserbu

Hotel tiga bintang jadi sarang persundalan warga asing di Jalan Cheras diserbu


Aktiviti persundalan dengan menawarkan khidmat wanita warga asing di sebalik hotel tiga bintang di Jalan Cheras, Kuala Lumpur dibongkar, pada Sabtu.


Serbuan kira-kira jam 1.05 pagi dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur hasil maklumat dan risikan.


Ketika serbuan, beberapa wanita asing yang berpakaian seksi dikesan sedang melayan pelanggan di bilik ditetapkan.


Salah sebuah bilik hotel itu juga disyaki dijadikan tempat rehat gadis terbabit sementara menunggu pelanggan.


Difahamkan, kegiatan tidak bermoral itu ditawarkan menerusi aplikasi media sosial dan pelanggan yang berminat perlu membayar sekitar RM200 hingga RM230 sebelum diuruskan seorang lelaki tempatan disyaki berperanan sebagai 'kapten'.


Seorang gadis Indonesia dikenali sebagai Aqis, 21, mendakwa, dia berada di Malaysia sejak April lalu dan masuk ke negara ini sebagai pelancong.



"Kawan yang beritahu saya kerja di sini. Sehari biasanya seorang sahaja pelanggan. Komisen saya dapat kira-kira RM100 bagi setiap pelanggan...tolonglah cik, saya tak tahu. Saya sudah bercadang mahu pulang (kampung)," katanya.


Seorang wanita tempatan yang bekerja di kaunter hotel terbabit pula mendakwa mengetahui terdapat aktiviti persundalan terbabit, namun enggan mengulas lanjut.


"Saya kerja sini sudah setahun.. ya sudah ada mereka (tawaran seks) ini," ujarnya.


Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamsha Injau berkata, seramai lapan individu ditahan, iaitu enam wanita dan dua lelaki.


"Semakan mendapati wanita terbabit terdiri daripada lima warga Indonesia dan seorang warga Thailand, manakala dua lelaki itu ialah seorang lelaki tempatan yang disyaki berperanan sebagai 'kapten' serta seorang warga Nepal yang bekerja di hotel berkenaan," ujarnya.


Katanya, antara kesalahan warga asing terbabit ialah tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas.


Menurutnya, JIM Kuala Lumpur menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan diteruskan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen.


Kurang lapan jam selepas laporan polis diterima suspek rogol remaja 16 tahun ditahan

Kurang lapan jam selepas laporan polis diterima suspek rogol remaja 16 tahun ditahan


Tindakan pantas polis berjaya menahan seorang lelaki kurang lapan jam selepas menerima laporan berhubung kes rogol membabitkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di Papar.


Suspek warga tempatan berusia 24 tahun itu ditahan di kawasan Kinarut kira-kira jam 11.30 malam tadi, hanya beberapa jam selepas mangsa tampil membuat laporan polis pada jam 4.20 petang.


Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa mendakwa menjadi mangsa perbuatan itu dalam beberapa kejadian yang dipercayai berlaku antara Mac hingga Julai lalu.


Katanya, sebaik laporan diterima, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar terus menggerakkan siasatan sebelum berjaya mengesan dan menahan suspek pada malam yang sama.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.


"Mangsa dirujuk ke hospital untuk menjalani pemeriksaan perubatan, manakala suspek akan dipohon reman bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Beliau berkata, polis turut merakam percakapan saksi serta menjalankan pemeriksaan di lokasi berkaitan bagi melengkapkan siasatan.


Menurutnya, polis memandang serius sebarang kesalahan seksual, khususnya yang membabitkan kanak-kanak dan remaja bawah umur.


"Ibu bapa serta penjaga disaran sentiasa memantau pergaulan anak-anak, termasuk aktiviti mereka di media sosial, selain segera membuat laporan polis sekiranya mengesyaki berlaku sebarang bentuk jenayah atau eksploitasi seksual.


"Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan identiti mangsa kerana perbuatan itu boleh menjejaskan siasatan serta melanggar hak privasi mangsa," katanya.


Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Desmond Tanggapan atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Selasa, 23 Jun 2026

'ibu ayam' dipenjara 6 tahun kerana dagang remaja untuk eksploitasi seks

'ibu ayam' dipenjara 6 tahun kerana dagang remaja untuk eksploitasi seks


Seorang pelayan restoran dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memperdagangkan seorang remaja perempuan untuk tujuan eksploitasi seksual.


Tertuduh Nur Aisyah Udin, 20, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.


Mengikut pertuduhan, wanita warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri didakwa memperdagangkan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun 10 bulan dan 15 hari bagi maksud eksploitasi seksual.


Perbuatan itu didakwa di lakukan di dalam bilik sebuah inap desa di Jalan Masjid (Fajar) jam 5.30 petang, 2 Jun lalu.


Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif bersama Suhayl Aminin Sallehuddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Terdahulu, Nur Nisla dalam hujahnya berkata fakta bahawa wang tunai RM150 yang dirampas daripada mangsa yang baru selesai melayani pelanggan membuktikan wujud unsur eksploitasi seksual terhadap remaja terbabit.


Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan dalam satu serbuan menerusi Operasi Pintas (Pelacuran) sempena perayaan Pesta Keamatan di inap desa berkenaan sebelum menemukan mangsa seorang remaja perempuan yang disyaki terbabit dengan aktiviti tidak bermoral.


Hasil siasatan lanjut, remaja perempuan terbabit mendedahkan dia dijaga oleh tertuduh yang berperanan sebagai 'ibu ayam' yang mengawal serta menguruskan aktiviti pelacuran di premis terbabit.


Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap tertuduh selepas dia mengaku bersalah atas satu lagi pertuduhan memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah mengikut Seksyen 6(1)(c) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).


Hakim Ahmad Faizadh memerintahkan kedua-dua hukuman penjara itu berjalan secara berasingan selain mengarahkan tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut selepas selesai menjalani hukuman.

Isnin, 8 Jun 2026

Padah sebar video intim bekas suami dengan wanita lain (pengadu), wanita didenda RM2,800

Padah sebar video intim bekas suami dengan wanita lain (pengadu), wanita didenda RM2,800


Seorang pekerja kilang didenda RM2,800 oleh Mahkamah Majestrit Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku bersalah memiliki dan menyebarkan video lucah membabitkan bekas suaminya dengan seorang wanita lain.


Tertuduh, Puteri Norfatimah Ishak, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.


Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didapati memiliki video dan gambar lucah dalam sebuah telefon bimbit jenis iPhone 12 Pro Max. Kesalahan itu dilakukan di tepi Jalan Ayer Keroh Lama dalam daerah Melaka Tengah kira-kira jam 4 petang pada 11 Januari lalu.


Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Berdasarkan fakta kes, pada Disember tahun lalu, pengadu menerima satu rakaman video daripada kakaknya yang dihantar menggunakan nombor telefon dipercayai milik bekas isteri kepada seorang lelaki yang dikenalinya.


Video berkenaan memaparkan pengadu sedang melakukan hubungan seks dengan bekas suami tertuduh yang dirakam tanpa pengetahuan dan persetujuan pengadu.


Siasatan lanjut mendapati rakaman tersebut dipercayai telah disebarkan kepada beberapa ahli keluarga terdekat pengadu.


Berikutan itu, pengadu membuat laporan polis kerana berasa teraniaya dan tidak berpuas hati dengan tindakan tertuduh yang didakwa menyebarkan rakaman berkenaan.


Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Alia Safri ketika memohon hukuman setimpal berkata, kesalahan itu melibatkan penyebaran bahan lucah individu yang dikenal pasti sehingga mencabuli maruah serta privasi mangsa.


Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan tindakannya dilakukan ketika berada dalam keadaan emosi selepas mengalami keguguran selain perlu menanggung ibu bapanya.


Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,800 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Khamis, 21 Mei 2026

Sindiket pelacuran dikawal 'Captain dan Abang Long Kawasan' di Kuala Lumpur tumpas

Sindiket pelacuran dikawal 'Captain dan Abang Long Kawasan' di Kuala Lumpur tumpas


Sindiket pelacuran yang dipercayai beroperasi secara terancang dengan kawalan rapi serta menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah rumah kedai di Jalan Tun Siew Sin di Kuala Lumpur terbongkar dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Selasa.


Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, Ops Gegar itu dilaksanakan pada jam 3.30 petang oleh sepasukan pegawai pelbagai pangkat bersama Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) JIM, Bahagian Perisikan dan Operasi Khas serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.


Menurutnya, operasi berkenaan dilakukan hasil risikan selama sebulan sebelum pasukan penguat kuasa digerakkan ke lokasi terbabit.


"Hasil pemeriksaan mendapati seramai 29 individu berada di premis berkenaan termasuk dua warga tempatan.


"Daripada jumlah itu, 24 warga asing ditahan membabitkan sembilan wanita Indonesia, tujuh wanita dan lima lelaki Bangladesh serta masing-masing seorang lelaki warga Nepal, Indonesia dan Myanmar," katanya dalam kenyataan pada Rabu.


Zakaria berkata, siasatan awal mendapati sindiket terbabit menawarkan perkhidmatan seks secara terus kepada pelanggan melalui penjaga premis yang beroperasi di tingkat tiga dan empat bangunan berkenaan.



Katanya, perkhidmatan itu ditawarkan pada kadar antara RM80 hingga RM120 bagi setiap sesi selama kira-kira 15 minit.


"Bagi memastikan operasi berjalan secara tersusun, wanita yang terbabit dalam kegiatan itu dijadualkan mengikut dua syif iaitu syif siang dari jam 10 pagi hingga 8 malam dan syif malam dari jam 8 malam hingga 5 pagi," katanya.


Beliau berkata, premis haram itu juga dikawal rapi bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.


"Pengurusan dalaman premis dikendalikan oleh seorang warga asing yang dikenali sebagai 'Captain', manakala kawasan luar premis dipantau oleh seorang lelaki tempatan yang dikenali sebagai 'Abang Long Kawasan' bagi menyaring dan memantau pergerakan pelanggan," katanya.


Zakaria berkata, selain kawalan fizikal dan penggunaan CCTV, sindiket itu turut memilih lokasi berhampiran stesen bas yang sentiasa sibuk bagi mengaburi pihak penguat kuasa.


Bagaimanapun katanya, Pegawai Risik PASTAK berjaya menembusi sistem kawalan sindiket dan memperoleh maklumat taktikal penting yang membawa kepada kejayaan operasi tersebut.


Menurutnya, JIM turut merampas beberapa barangan dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan termasuk buku catatan, kondom, minyak pelincir serta peralatan CCTV.


"Kesemua warga asing yang ditahan kini ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.


Antara warga asing yang ditahan dalam serbuan JIM di sebuah rumah kedai di Jalan Tun Siew Sin, Kuala Lumpur.

Rabu, 20 Mei 2026

Ibu seorang anak didakwa sewa, urus rumah persundalan untuk dua migran Indonesia

Ibu seorang anak didakwa sewa, urus rumah persundalan untuk dua migran Indonesia


Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Batu Pahat hari ini, atas pertuduhan membantu menguruskan rumah persundalan yang menempatkan dua wanita Indonesia, bulan lalu.


Ummu Marssietah Sazubir, 21, yang juga ibu kepada seorang anak bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menguruskan sebuah rumah persundalan yang menempatkan dua wanita Indonesia berusia 38 dan 41 tahun di sebuah premis di Taman Maju Bistari, Parit Raja.


Kesalahan itu dilakukan pada jam 6 petang, 9 April lalu dan didakwa mengikut Seksyen 373 (1) (a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 373 (1) kanun sama.


Hukumannya ialah pemenjaraan sehingga 15 tahun dan juga denda jika disabitkan dengan kesalahan.


Berdasarkan laporan dibuat, tertuduh menyewa sebuah rumah yang mana dia bertindak sebagai pengurus kepada migran yang memasuki negara ini menggunakan pas sosial.


Tertuduh kemudian akan menawarkan pekerjaan sebagai pelacur kepada migran terbabit dengan bayaran RM250. Daripada jumlah diterima itu, tertuduh akan mengambil RM150 manakala bakinya diserahkan kepada migran sebagai komisyen.


Semua bayaran akan dibuat menerusi akaun tertuduh. Perbuatan itu terbongkar apabila polis menyerbu premis terbabit dan menahan dua migran wanita kerana terbabit dalam aktiviti persundalan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Razak Sharif.


Terdahulu, Mohd Razak memohon mahkamah menggunakan budi bicara bagi mengenakan ikat jamin paling minimum memandangkan tertuduh tidak bekerja selain masih menyusu anaknya berusia enam bulan.


Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan. Kes disebut semula pada 16 Jun ini untuk serahan dokumen.

Ahad, 17 Mei 2026

Pasangan kekasih laku persediaan persetubuhan haram dalam kereta disebat empat kali

Pasangan kekasih laku persediaan persetubuhan haram dalam kereta disebat empat kali


Sepasang kekasih memilih untuk dikenakan hukuman sebatan syariah berbanding meringkuk di dalam penjara selepas mengaku bersalah atas pertuduhan persediaan melakukan persetubuhan luar nikah pada Disember tahun lalu.


Tertuduh, Muhammad Syahmi Faris Latif, 25, dan pasangannya, Hafiqah Qurratu Aini Azlan, 23, membuat pilihan itu atas alasan tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk menjelaskan denda, selain mahu mengelakkan diri daripada dihukum penjara.


Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof kemudiannya menjatuhi hukuman empat sebatan terhadap kedua-dua tertuduh selepas pengakuan bersalah direkodkan.


Mengikut pertuduhan, pasangan berkenaan yang merupakan pemandu lori dan pembantu kedai makan ditangkap dalam keadaan separuh bogel di dalam sebuah kereta di belakang sebuah bangunan di daerah Marang, jam 10.45 malam pada 4 Disember 2025.


Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 iaitu perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah.


Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan, atau mana-mana kombinasi hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.


Nik Mohd Shahril kemudiannya memerintahkan hukuman sebatan terhadap kedua-dua tertuduh dilaksanakan pada 7 Jun ini di Penjara Marang, sebaik sahaja tamat tempoh rayuan.


Pendakwaan bagi kes tersebut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Syarie, Jabatan Pendakwaan Syariah Terengganu, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.


Muhammad Syahmi Faris Latif dan pasangannya, Hafiqah Qurratu Aini Azlan dijatuhkan hukuman empat sebatan atas tuduhan persediaan melakukan persetubuhan luar nikah.

Jumaat, 15 Mei 2026

Imigresen gempur pusat pelacuran di Bukit Bintang, harga sebuah bilik cecah RM100,000

Imigresen gempur pusat pelacuran di Bukit Bintang, harga sebuah bilik cecah RM100,000


Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membongkar kegiatan tidak bermoral berselindung di sebalik sebuah hotel tiga bintang di Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang menawarkan pakej pelacuran warga asing dengan harga bilik mencecah RM100,000.


Hotel itu menjadi tumpuan pelanggan warga asing terutama dari China kerana terdapat pusat hiburan bertaraf lima bintang yang menawarkan pakej pelacuran warga asing di tingkat satu hingga enam bangunan berkenaan.


Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan dijalankan Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Malaysia, Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selepas risikan dilakukan selama dua minggu.


Menurutnya, operasi bermula kira-kira jam 1.30 pagi semalam membabitkan 131 pegawai pelbagai pangkat bersama empat pegawai agensi sahabat.


"Seramai 243 individu telah diperiksa dalam operasi ini, membabitkan 194 warga asing dan 49 warga tempatan telah diperiksa dalam operasi ini.


"Hasil pemeriksaan, JIM menahan seramai 152 warga asing yang terdiri daripada 129 warganegara China, dua Taiwan, lima Vietnam, lima Myanmar, lapan Bangladesh serta masing-masing seorang warganegara Indonesia, Turki dan Vanuatu.


"Kesemua individu yang berumur di antara 21 hingga 32 tahun ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Perkara 39(b) Peraturan Imigresen 1963," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan sebanyak 17 saman kepada saksi (Borang 29) semasa operasi itu dijalankan.


Mengulas lanjut, Zakaria berkata, modus operandi premis yang beroperasi sejak tiga bulan lalu itu dikawal ketat pengawal keselamatan tempatan dan hanya pelanggan berstatus VVIP dibenarkan memasuki premis berkenaan.


"Harga bagi sebuah bilik bermula daripada RM50,000 dan mencecah RM100,000 bagi sebuah bilik eksklusif yang boleh dilanggan lebih dari 24 jam.


"Ketika serbuan dibuat, beberapa warga asing berada dalam keadaan khayal dan leka dengan alunan muzik yang kuat sehingga tidak menyedari kehadiran pegawai di lokasi tersebut," katanya.


Katanya, kesemua warga asing itu ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 dan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.


Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi sama sekali terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalah guna pas di negara ini.


"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI)," katanya.