Sabtu, 5 September 2026

Baru dua hari menyundal, wanita Thailand ditahan di Batu Pahat


Seorang wanita warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat, semalam atas tuduhan terbabit dalam kegiatan persundalan serta melanggar syarat pas perjalanan untuk melakukan aktiviti tidak bermoral.


Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Nanthicha Bunrod, 28, yang baru dua hari melakukan 'kerja' itu, selepas mendakwa dia tidak faham Bahasa Melayu di hadapan Majistret, Aimi Nawwar Mohamad Othman.


Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu yang masih bujang didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan di sebuah hotel dekat Jalan Abu Bakar, Batu Pahat pada jam 6.30 petang, 31 Ogos lalu.


Pertuduhan ini dikemukakan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang mana boleh dipenjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya.


Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melanggar syarat pas perjalanan untuk melakukan aktiviti persundalan dengan kejadian berlaku pada tarikh, waktu serta lokasi sama.


Kesalahan itu dilakukan mengikut Peraturan 11 (7), Peraturan Imigresen 1963 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 39 (b).


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shahzleen Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan.


Mahkamah menetapkan 9 September ini untuk sebutan kehadiran jurubahasa Thailand dan tiada tawaran ikat jamin dibenarkan.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon