Wanita warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, semalam atas kesalahan mempromosikan pelacuran melalui aplikasi media sosial MiChat, bulan lalu.
Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Nurlela, 32, selepas tertuduh mengaku bersalah dan mensabitkannya seperti pertuduhan serta memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 29 Julai lalu.
Mengikut pertuduhan, Nurlela berasal dari Batam, Indonesia didapati mempromosikan pelacuran melalui Michat menggunakan akaun bernama 'Wawa' dengan menawarkan perkhidmatan seks kepada orang awam bagi maksud eksploitasi seksual.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bilik sebuah hotel di Jalan Tun Sri Lanang, Pengkalan Rama Tengah pada 29 Julai lalu, kira-kira jam 8.35 malam.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372 (1) (e) Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pada tarikh kejadian sepasukan anggota dari Cawangan D7, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka menjalankan Ops E-Noda di hotel itu susulan risikan aktiviti pelacuran melalui aplikasi MiChat.
Hasil serbuan, Nurlela ditahan di sebuah bilik hotel dan telefon bimbitnya dirampas bagi membantu siasatan.
Pemeriksaan ke atas telefon bimbit milik tertuduh mendapati akaun MiChat atas nama 'Wawa' digunakannya untuk menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan dengan bayaran antara RM130 hingga RM250.
Terdapat kandungan perbualan antara tertuduh dengan beberapa individu berlainan membabitkan rundingan harga, lokasi pertemuan, kaedah pembayaran tunai serta pertukaran gambar dan maklumat diri sebelum urusan diteruskan.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan denda dan tidak dipenjarakan kerana itu kesalahan pertamanya dan turut menanggung ibu di kampung.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh sebagai pengajaran dan menghujahkan penjara adalah mandatori di bawah Seksyen 372 (1) (e) KK.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bermula dari tarikh ditangkap dan tertuduh kelihatan menangis sejurus prosiding kesnya selesai.

EmoticonEmoticon