Memaparkan catatan dengan label Kemalangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kemalangan. Papar semua catatan

Selasa, 23 Mac 2021

Cedera leher dihiris tali layang-layang melintang di jalan

Cedera leher dihiris tali layang-layang melintang di jalan


SEBERANG PERAI - Seorang anggota polis yang menunggang motosikal cedera pada leher selepas terlanggar tali tangsi yang melintang atas jalan di Kilometer 129.6 dekat Plaza Tol Sungai Dua di sini, Ahad lalu.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata ketika mangsa tiba di lokasi, dia menyedari lehernya tersangkut pada 'benda melintang' sehingga mengalami kecederaan. Mangsa sempat memberhentikan motosikalnya di tepi jalan sebelum dibantu orang awam.


"Selain cedera di leher, mangsa turut mengalami luka di jari tangan kiri dan bahu kanan, namun tiada kerosakan pada motosikal mangsa," ujar Noorzainy dalam kenyataan hari ini.


Noorzainy berkata, siasatan di lokasi kejadian kemudiannya menemui tali tangsi berselerak atas rumput di bahu kiri jalan yang tidak diikat pada mana-mana objek.



Sementara itu, anggota peronda PLUS memberitahu, kemungkinan tali layang-layang itu terputus dan terjatuh ke kawasan lebuh raya terbabit.


"Anggota peronda PLUS kemudiannya telah mengesan objek ditempat kejadian dan menjumpai tali tangsi dari atas pokok susur keluar Sungai Lokan hingga ke bahu kiri lebuh raya dan tidak merentang laluan lebuhraya," kata Noorzainy.


Katanya, anggota polis berusia 24 tahun yang cedera dibawa ke Hospital Kepala Batas, untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar. Siasatan pihaknya mendapati kejadian terbabit tiada unsur sabotaj.


"Ia dipercayai tali layang-layang yang tersangkut dan orang ramai diminta tidak gusar kerana siasatan polis dan pengendali lebuh raya mendapati tiada unsur khianat," katanya.


Terdahulu, kejadian sekitar pukul 4.30 petang itu tular di media sosial selepas pengguna memuat naik video yang memaparkan rakaman berkenaan kejadian itu.


Menerusi rakaman itu ia memaparkan keadaan mangsa yang luka pada leher akibat tersangkut tali tangsi ketika menunggang motosikal di lorong kiri, dari Hospital Bukit Mertajam menuju ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Seberang Perai Utara (SPU).

Jumaat, 19 Mac 2021

Pengunjung tak endah notis, jambatan gantung runtuh lebih 10 orang terjatuh

Pengunjung tak endah notis, jambatan gantung runtuh lebih 10 orang terjatuh


JELI - Pengunjung tidak mengendahkan notis amaran mungkin disebabkan teruja dengan kewujudan jambatan gantung baru itu, menyebabkan lebih 10 orang terjatuh ke dalam anak sungai apabila jambatan dalam pembinaan itu tiba-tiba runtuh di Lata Keding di sini.


Dalam kejadian sekitar 1.30 tengah hari tadi, jambatan sepanjang lebih kurang 40 meter itu dipercayai runtuh akibat gagal menampung kapasiti pengunjung yang berlebihan.


Difahamkan, notis pemberitahuan jambatan itu dalam pembinaan sudah ditampal, namun tidak dipatuhi segelintir pengunjung ke pusat peranginan itu.


Ketika kejadian, pekerja yang terbabit membina jambatan gantung itu juga tidak berkerja menyebabkan pengunjung mengambil kesempatan menaiki jambatan berkenaan, ada antaranya merakamkan gambar sebelum jambatan itu tiba-tiba runtuh.


Ketua Polis Daerah Jeli Deputi Superintendan Ahmad Arifin berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu dan bergegas ke lokasi peranginan yang dimiliki pihak persendirian itu. Katanya, maklumat yang diterima kira-kira 10 pengunjung berada di atas jambatan gantung setinggi 4.5 meter itu.


"Secara tiba-tiba jambatan yang dalam pembinaan itu runtuh menyebabkan kesemua mereka terjatuh ke anak sungai dan binaan itu juga turut terkena pengunjung lain yang sedang mandi.


"Notis mengenai pemberitahuan bahawa jambatan itu sedang dalam pembinaan sudah ditampal namun ada juga pengunjung yang tidak mengendahkannya mungkin disebabkan teruja dengan kewujudan jambatan gantung itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Ahmad berkata, ada beberapa daripada mangsa cedera dan sudah dibawa ke Hospital Jeli untuk rawatan lanjut.


Pengunjung yang terjatuh akibat jambatan gantung yang sedang dalam pembinaan runtuh tiba-tiba di Lata Keding di sini, tengah hari tadi.

Khamis, 4 Mac 2021

Hasil bedah siasat, kes kanak-kanak lemas dalam besen tiada unsur jenayah

Hasil bedah siasat, kes kanak-kanak lemas dalam besen tiada unsur jenayah


Bayan Lepas: Polis mengesahkan tiada unsur jenayah berhubung kematian seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai lemas di dalam besen di rumah pengasuhnya di Permatang Damar Laut, Bayan Lepas pada Selasa lalu.


Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, Pengesahan itu diperoleh selepas proses bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) pada jam 9.25 pagi, Khamis selama tiga jam 35 minit.


Katanya, hasil bedah siasat mendapati berlaku kebocoran pada organ perut menyebabkan pendarahan dan pembekuan sistem darah.


"Kecederaan itu kemungkinan berdasarkan usaha pengasuh ketika memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) bagi menyelamatkan mangsa selepas terlangkup dalam besen berisi air.


"Tiada unsur jenayah atau kecederaan mencurigakan dikesan pada mangsa," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Wan Farhan reda dengan pemergian anak bongsunya.
Sophia disahkan meninggal dunia pada jam 2 pagi
Rabu selepas dirawat di HPP.


Pada kejadian Selasa lalu, mangsa, Sophia Fateha Wan Farhan Danial, ditemukan terlangkup dalam besen berisi air selepas ditinggalkan sementara di dalam bilik air di rumah pengasuh, ketika wanita berkenaan mahu mengambil tuala.


Ketika ditemukan, mangsa masih sedarkan diri, namun beransur lemah setengah jam kemudian sebelum dihantar menaiki ambulans ke HPP. Selepas beberapa jam dalam keadaan kritikal, kanak-kanak terbabit disahkan meninggal dunia pada 2 pagi Rabu.


Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Matang, Permatang Damar Laut, pada 3.30 petang hari ini.


Pengasuh berusia 43 tahun itu direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 7 Mac bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

Jumaat, 19 Februari 2021

Ditemui tinggal tengkorak selepas 10 bulan terbabit kemalangan

Ditemui tinggal tengkorak selepas 10 bulan terbabit kemalangan


Seorang mangsa ditemukan hanya tinggal tengkorak selepas dipercayai hampir 10 bulan terbabit dalam kemalangan di Kilometer 122.4 Lebuhraya Utara Selatan arah Yong Peng-Pagoh, di Batu Pahat, dekat sini, hari ini.


Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, polis menerima maklumat daripada pekerja penyelenggaraan lebuh raya yang sedang melakukan kerja pembersihan longkang mengenai penemuan sebuah kereta dan satu tengkorak manusia di cerunan tepi sebelah kiri lebuh raya pada 1.10 tengah hari.


"Siasatan awal mendapati kedudukan kereta berkenaan agak terlindung di sebalik semak yang bercerun dengan jarak lebih kurang 67 meter dari lebuh raya, manakala tengkorak pula dijumpai berhampiran dengan kereta berkenaan.


"Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta itu hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh di bawah cerunan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, malam ini.


Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku pada Mei atau awal Jun tahun lalu. Pemilik kereta Hyundai Sonata itu sudah dikenal pasti dan sudah dihubungi pihak polis serta sedang menunggu waris untuk siasatan lanjut.


"Kami sedang berusaha untuk mengenalpasti identiti mangsa melalui pemilik kenderaan yang dikenal pasti dan akan dipanggil bagi membantu siasatan.


"Kami sedang menyiasat mengenai satu laporan polis orang hilang dibuat pada Jun tahun lalu yang mungkin ada kaitan dengan kemalangan berkenaan.


"Tengkorak manusia itu kemudian dibawa ke Jabatan Patalogi Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.


Sehubungan itu, Ismail menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati semasa memandu dan menunggang kenderaan.


Katanya, mereka perlu memaklumkan pergerakan kepada ahli keluarga terdekat supaya mudah dihubungi atau dikesan jika berlaku perkara tidak diingini.



Tengkorak manusia dan kereta ditemui di kawasan
cerun di sebelah kiri Lebuhraya Utara Selatan arah
Yong Peng-Pagoh, hari ini. - Foto ihsan Polis

Sabtu, 6 Februari 2021

3 maut bertembung trak tentera, kemalangan membabitkan 3 kenderaan di Tuaran

3 maut bertembung trak tentera, kemalangan membabitkan 3 kenderaan di Tuaran


Tuaran: Tiga maut manakala tujuh individu yang menaiki trak tentera Hino tiga tan, termasuk pemandu dilaporkan tidak mengalami kecederaan. Kemalangan membabitkan tiga kenderaan itu termasuk trak tentera bertembung di Simpang Marabahai Spurs, Jalan Berungis - Tenghilan, di sini, hari ini.


Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, penunggang motosikal Yamaha Ego S Jul Amri Shamsudin, 25, bersama pembonceng yang juga abang angkatnya, IL Yasa Shamsudin, 35, dan seorang anggota polis Shamsully Adly, 45, memandu kereta Perodua Kancil disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.


Difahamkan, Shamsully dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud dilaporkan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Bolong, Tuaran selepas tamat bertugas.


Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, kemalangan berlaku apabila trak tentera bertembung dengan motosikal yang tiba-tiba keluar dari simpang jalan sebelum merempuh kereta Perodua Kancil di laluan bertentangan.


"Siasatan awal mendapati trak tentera itu dipandu dari arah Tamparuli menghala ke Tenghilan, bagaimanapun sebaik tiba di lokasi, motosikal dinaiki dua lelaki keluar dari simpang Jalan Marabahai Spurs menyebabkan pemandu trak berusia 24 tahun tidak sempat mengelak lalu merempuh motosikal terbabit.


"Akibat pertembungan itu, penunggang dan pembonceng motosikal terseret ke laluan susur sebelum trak hilang kawalan ke laluan bertentangan kemudian bertembung dengan kereta Perodua Kancil yang dipandu dari arah Kota Belud," katanya dalam kenyataannya, hari ini.


Dua mangsa menaiki motosikal maut di lokasi kejadian

akibat parah di kepala dan badan. - Gambar Ihsan Pembaca


Mohd Hamizi berkata, dua mangsa menaiki motosikal itu maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan, begitu juga anggota polis memandu kereta Perodua Kancil yang turut terkorban dalam kemalangan itu selepas terperangkap di tempat duduk pemandu.


"Tiga mangsa yang maut dihantar ke hospital Tuaran untuk bedah siasat manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 8.08 pagi berhubung kejadian itu. Katanya, seramai lapan anggota dikerah ke lokasi dengan sebuah jentera dan kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).


"Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mengambil masa 24 minit mengeluarkan pemandu kereta Perodua Kancil yang tersepit.


"Semua mangsa terselamat menjalani pemeriksaan kesihatan, manakala mangsa yang disahkan meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan 9.29 pagi," katanya.

Rabu, 27 Januari 2021

Ferrari 430 hangus terbakar di Lebuhraya Butterworth-Kulim, pemandu selamat

Ferrari 430 hangus terbakar di Lebuhraya Butterworth-Kulim, pemandu selamat


Sebuah kereta berprestasi tinggi jenis Ferrari 430 hangus dijilat api dalam kebakaran di susur keluar Permatang Pauh di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), di sini, hari ini.


Dalam kejadian 2 petang itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan apabila pemandunya yang berusia 30-an sempat menyelamatkan diri.


Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.08 petang berhubung insiden terbabit.


Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Prai dengan bantuan BBP Penanti bergegas ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.


"Sebaik tiba, didapati Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Puyu sudah memadamkan kebakaran terbabit.


"Siasatan mendapati kereta mewah itu musnah 80 peratus dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan apabila pemandunya berjaya menyelamatkan diri," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, anggota membuat tindakan 'overhaul' bagi memastikan api padam sepenuhnya sebelum menamatkan operasi pada 2.59 petang. Menurutnya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.


Keadaan Ferrari 430 yang hangus terbakar di susur keluar Pematang Pauh dekat Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Seberang Jaya. (27 Januari 2021)

Selasa, 19 Januari 2021

7 lelaki direman tuduh polis tendang motosikal ditunggang 2 remaja

7 lelaki direman tuduh polis tendang motosikal ditunggang 2 remaja



Georgetown: Tujuh lelaki direman tiga hari sehingga 21 Januari ini bagi membantu siasatan berhubung kemalangan membabitkan dua remaja lelaki yang menunggang motosikal di persimpangan lampu isyarat Tanjung Tokong di sini, kelmarin.


Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Georgetown Nur Fadrina Zulkhairi pagi ini. Kesemuanya yang berusia 23 hingga 45 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas.


Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021.


Kesemua mereka ditahan di sekitar Jalan Patani dan Tanjong Tokong di sini, semalam. Selain mencetuskan provokasi terhadap anggota polis, kumpulan lelaki terbabit turut mendakwa anggota polis menendang motosikal ditunggang dua remaja itu menyebabkan mereka terbabit kemalangan.


Salah seorang mangsa yang cedera dalam kejadian itu.


Video dan gambar provokasi itu turut tular di media sosial sehingga menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. Polis turut menjalankan siasatan terhadap hantaran di Facebook dan aplikasi WhatsApp yang didapati tidak tepat dan berbaur fitnah sehingga menjejaskan imej polis.


Dalam kejadian itu, dua remaja terbabit dikatakan parah akibat terjatuh daripada motosikal itu. Menerusi video berkenaan, ada penduduk tidak berpuas hati dan mendakwa anggota polis menendang motosikal ditunggang dua remaja terbabit.


Pada masa sama, tular laporan polis dibuat anggota polis yang mendakwa remaja itu memecut laju dan melanggar lampu isyarat merah sebaik diarahkan berhenti, sebelum berlanggar dengan kereta. Anggota polis terbabit dikatakan membuat laporan kerana bimbang apabila dikerumuni orang ramai termasuk mengeluarkan kata-kata kesat terhadap mereka.


Kehadiran ramai anggota unit kereta peronda (MPV) dan unit rondaan bermotosikal (URB) membantu menenangkan keadaan.

Ahad, 10 Januari 2021

Nelayan dengar ledakan, lihat pesawat Sriwijaya Air terhempas

Nelayan dengar ledakan, lihat pesawat Sriwijaya Air terhempas


Jakarta: Beberapa nelayan sekitar Pulau Lanchang di Laut Jawa mendakwa melihat pesawat Sriwijaya Air terhempas ketika hujan lebat. Malah nelayan juga mendengar dua letupan kuat di lokasi sama tidak lama selepas itu.


Kompas.com melaporkan, tidak lama selepas itu nelayan juga menemui serpihan badan pesawat di perairan berkenaan kira-kira jam 2 petang waktu tempatan.


Ketua Bahagian Pemerintah dan Transit Daerah Kepulauan Seribu Selatan, Surachman mengesahkan pihaknya mendapat maklumat berkenaan daripada nelayan tempatan.


"Nelayan sempat mendengar dua letupan kuat di lokasi dan hujan lebat ketika kejadian. Pelbagai barangan dipercayai milik penumpang juga ditemui seperti beg, pakaian dan serpihan kulit manusia namun belum dapat disahkan," katanya.


BBC News Indonesia melaporkan lelaki dikenali sebagai Solihin memaklumkan pesawat meluncur seperti petir dan terus menuju ke laut. Katanya, ia menyebabkan bunyi letupan bawah laut yang begitu kuat sehingga serpihan pesawat tercampak.


"Serpihan pesawat juga hampir terkena pada kapal saya," katanya.


Kontak terakhir pesawat itu dengan menara kawalan udara adalah pada jam 2.40 petang waktu Indonesia Timur. Pesawat itu dijadualkan tiba di Pontianak, jam 3.15 jam waktu Indonesia Timur (4.15 waktu Indonesia Barat).



Ahli keluarga berkumpul di lapangan terbang Supadio, Kalimantan Barat


Puluhan keluarga penumpang nahas pesawat Sriwijaya Air SJY182, berkumpul di Lapangan Terbang Supadio di Wilayah Kubu Raya, Kalimantan Barat, sejak malam tadi.


Seorang daripada keluarga mangsa Yaman Z Zai berkata, dia menunggu perkembangan lanjut mengenai isteri dan tiga anaknya. Dia yang menetap di Pontianak itu ternyata gagal mengawal kesedihan ketika bercerita lanjut kepada wartawan di Pontianak, lapor BBC News Indonesia.


"Ada empat ahli keluarga saya di dalam pesawat itu iaitu isteri dan tiga anak," katanya ketika ditemui pemberita. Dia memaklumkan baru setahun bekerja di Pontianak dan berhajat untuk membawa isteri dan anaknya bercuti.


Selain itu, ahli keluarga penumpang juga tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta, di sini, untuk mengetahui maklumat terkini nahas. Pesawat malang itu dalam penerbangan dari Jakarta menuju Pontianak sebelum dilaporkan putus hubungan di Kepulauan Seribu di Laut Jawa.


Kerajaan Indonesia mengarahkan 10 kapal Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI-AL) ke titik koordinasi terakhir pesawat itu untuk operasi pencarian. Pesawat berkenaan dalam keadaan 'layak terbang' mula beroperasi dengan Sriwijaya Air pada 1994.


Pengarah Sriwijaya Air, Jefferson Irwin Jauwena mengesahkan pesawat syarikat berkenaan dalam keadaan baik sebelum dibenarkan terbang.


"Keadaan pesawat baik untuk penerbangan ulang alik ke Pontianak dan seharusnya tiada masalah dan lancar.


"Kelewatan berlepas selama 30 minit bukan disebabkan masalah pesawat namun kerana cuaca hujan," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta.


Sabtu, 9 Januari 2021

Pesawat Sriwijaya Air terhempas, cebisan daging manusia, serpihan pesawat ditemukan

Pesawat Sriwijaya Air terhempas, cebisan daging manusia, serpihan pesawat ditemukan


Jakarta: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang digerakkan selepas pesawat Sriwijaya Air terhempas menemukan cebisan daging manusia dan serpihan pesawat di perairan Kepulauan Seribu. Cebisan daging berkenaan dipercayai milik penumpang pesawat berkenaan.


Tribunnews melaporkan, cebisan daging itu ditemui anggota kapal peronda Kementerian Perhubungan di lokasi yang didakwa menjadi titik pesawat Sriwijaya Air terhempas di Kepulauan Seribu. Kapten kapal, Eko berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati cebisan daging yang ditemukan dipercayai dari badan manusia.


Selain itu, Eko juga memaklumkan penemuan bahan bakar pesawat di lokasi kejadian. Pihak berkuasa Indonesia juga sudah mengesahkan insiden malang itu dan memaklumkan Presiden Indonesia mengarahkan gerakkan SAR secara besar-besaran dilakukan.



Terkini, Kedutaan Malaysia di Jakarta memaklumkan dalam kenyataannya bahawa tiada rakyat Malaysia dalam pesawat berkenaan.


Untuk rekod, Pesawat itu pada mulanya terputus hubungan setelah berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno Hatta pada Sabtu, 9hb Januari 2020 hari ini, ketika dalam penerbangan ke Pontianak di wilayah Kalimantan Barat.


Pesawat jenis Boeing 737-500 itu dilapor membawa 62 penumpang termasuk lima anak kapal dilaporkan terputus hubungan dengan kawalan lalu lintas udara selepas berlepas jam 2.36 petang waktu Indonesia Barat.


Kontak terakhir pesawat itu dengan menara kawalan adalah pada 2.40 petang waktu Indonesia Timur. Pesawat itu dijadualkan tiba di Pontianak, jam 3.15 jam waktu Indonesia Timur (4.15 waktu Indonesia Barat).

Isnin, 4 Januari 2021

Langgar jalan berlopak penghantar makanan maut di lokasi kejadian

Langgar jalan berlopak penghantar makanan maut di lokasi kejadian


Petaling Jaya: Seorang penghantar makanan maut selepas motosikal ditunggang melanggar lopak di bahu jalan sebelum terjatuh dalam kemalangan di Jalan PJU 7/2, di sini, hari ini.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 1.15 tengah hari ketika mangsa sedang dalam perjalanan menghantar makanan.


"Mangsa berusia 31 tahun berasal dari Kampung Cempaka terlanggar lubang di bahu jalan sebelum hilang kawalan dan terbabas di lorong kiri jalan.


"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecedaraan parah,"katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Nik Ezanee berkata, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat selepas mendapat keputusan ujian Covid-19.


"Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,"katanya.


Kejadian ini adalah kejadian kedua dalam tempoh dua hari berturut-turut yang menyebabkan penunggang motosikal maut akibat terlanggar lopak di jalan raya.


Semalam, lelaki warga emas maut selepas terjatuh apabila motosikal ditunggang melanggar lubang di Jalan Tengah menghala ke Jalan Syed Putra di sini. Mangsa Ho Yan Fee, 75, juga dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Jumaat, 1 Januari 2021

Cincin tersekat pada kemaluan lelaki, Bomba terpaksa dipanggil bantu keluarkan

Cincin tersekat pada kemaluan lelaki, Bomba terpaksa dipanggil bantu keluarkan


Alor Setar: Tindakan seorang lelaki menyarungkan cincin pada kemaluannya, mengundang malu besar, apabila aksesori itu tidak dapat ditanggalkan. Dia terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, pada 1hb Januari 2020 (Jumaat), hari ini.


Bagaimanapun khidmat bomba terpaksa dipanggil yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Ahmad Rusdi Lazim, untuk membantu mengeluarkan dua bentuk cincin berkenaan, daripada kemaluan lelaki berusia 38 tahun itu yang tersekat pada kemaluannya.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba Ahmad Naufal Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung khidmat khas itu pada jam 4.07 pagi.


Beliau berkata, anggotanya tiba di HSB dalam masa lima minit selepas menerima panggilan operasi itu, untuk melakukan operasi memotong cincin berkenaan.


"Operasi dilakukan dengan berhati-hati menggunakan alat pemotong cincin untuk mengelak kecederaan pada serius pada kemaluan mangsa.


"Mangsa berusia 38 tahun dan sudah berkahwin," katanya ketika dihubungi hari ini.


Ahmad Naufal berkata, operasi tamat pada jam 5.51 pagi tadi, ini adalah kes pertama membabitkan cincin tersangkut pada kemaluan pada awal tahun baru ini. Operasi disertai empat anggota dari BBP Alor Setar dan sebuah jentera EMRS.

Sembilan lemas, kereta terjunam dalam Sungai Batang Lupar di jeti feri Triso

Sembilan lemas, kereta terjunam dalam Sungai Batang Lupar di jeti feri Triso


Kuching: Tahun baharu 2021 di Sarawak bermula dengan tragedi apabila sembilan sekeluarga lemas selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terhumban ke dalam Sungai Batang Lupar di Jeti Feri Triso, kira-kira 120 kilometer (km) dari sini, hari ini.


Difahamkan, kesemua mangsa berkenaan terdiri daripada lima lelaki dan empat perempuan. Kejadian itu disahkan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Khirudin Drahman.


Semua sembilan mangsa termasuk seorang bayi yang terperangkap di dalam kenderaan dikeluarkan oleh orang awam, namun semuanya sudah lemas.


Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Khirudin Drahman, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 3.05 petang membabitkan lima lelaki dan empat perempuan.


Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 3.14 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok serta BBP Simunjan dikejarkan ke tempat kejadian kira-kira 60 kilometer dari balai. Menurutnya, setakat petang tadi identiti mangsa belum diperolehi.


Orang awam berusaha mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalam pikap.

Mangsa lemas selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki lapan sekeluarga jatuh ke dalam sungai di jeti di Betong, hari ini.

Ahad, 27 Disember 2020

Terhumban ke dalam parit gara-gara elak lubang, KJ kemalangan ketika berbasikal

Terhumban ke dalam parit gara-gara elak lubang, KJ kemalangan ketika berbasikal


Akibat gagal mengelak jalan berlubang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar atau juga mesra disapa dengan panggilan KJ mengalami kemalangan.


Berita itu kini diketahui umum setelah beliau memuat naik beberapa keping gambar di Twitter miliknya keadaannya yang bercalar di bahagian muka disebabkan terjatuh ketika menunggang basikal.


Beliau turut memuat naik gambar lubang dan parit terbabit di ruangan yang sama tetapi tidak dinyatakan di mana lokasi kejadian berlaku. Seperti yang diketahui ramai, KJ memang tidak asing lagi dengan aktiviti berbasikal dan gemar besukan.


Jika ada masa terluang beliau sering menunggang basikal dan menjadikan media sosial sebagai platformnya berkongsikan aktiviti yang dibuat.


Khairy turut berkongsi berita itu di IG Story dengan meletak kapsyen ringkas, menyatakan kecederaan dialami disebabkan terlanggar lubang ketika menunggang basikal hingga menyebabkannya terjatuh ke dalam parit.


Sementara itu, Setiausaha Akhbar Khairy, Raja Syahrir Bakar‏ melalui Twitternya memaklumkan, KJ hanya mengalami kecederaan ringan yang tidak serius dan telah menerima rawatan di hospital berdekatan.


"Terima kasih kepada rakan-rakan yang bertanya. Alhamdulillah Khairy Jamaluddin hanya alami kecederaan kecil dan tiada yang serius," katanya.


Menjengah ke ruang komen, ramai pengikutnya mendoakan agar KJ cepat sembuh dan terdapat juga beberapa pengguna di Twitter menggesa KJ untuk membawa isu jalan berlubang yang berbahaya kepada pengguna itu kepada pihak berwajib.

Sabtu, 26 Disember 2020

Tiga pekerja pembersihan loji kumbahan maut terhidu gas

Tiga pekerja pembersihan loji kumbahan maut terhidu gas


Kuala Lumpur: Mangsa pekerja pembersihan terdiri daripada enam lelaki termasuk empat warga asing, tiga daripada mangsa tersebut maut selepas dipercayai terhidu gas dari loji kumbahan di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, pada petang Jumaat (25 Disember 2020), semalam.


Komander Operasi, Penguasa Bomba Muhammad Ridhwan Kamarulzaman, berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 2.41 petang dan terus menggerakkan 40 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai, Hang Tuah dan Jalan Tun Razak ke lokasi.


Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila enam pekerja pembersihan itu sedang melakukan kerja pembersihan dalam tangki loji kumbahan terbabit. Bagaimanapun semua mereka kemudian mengalami masalah sesak nafas selepas terhidu gas di dalam tangki loji.


"Dua mangsa warga Bangladesh berjaya menyelamatkan diri dengan keluar dari loji terbabit sebelum pasukan bomba sampai ke lokasi dengan empat mangsa masih berada di dalam loji kumbahan terbabit," katanya dalam kenyataan, semalam.


Katanya, tiga mangsa terdiri daripada dua lelaki tempatan dan seorang warga Bangladesh maut, dan seorang lagi mengalami sesak nafas selepas terhidu gas di dalam loji kumbahan berkenaan.


"Seorang mangsa berjaya diselamatkan dan dihantar ke hospital manakala tiga lagi mangsa disahkan meninggal dunia berjaya dinaikkan pasukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).


"Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dari BBP Jalan Tun Razak yang tiba di lokasi melakukan kerja-kerja bacaan udara dan pengudaraan di lokasi bagi memastikan keadaan kualiti udara didalam keadaan selamat," katanya.


Tambah beliau, pasukan penyelamat seterusnya melaksanakan proses dekontaminasi sebelum mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Kerja penyelamatan selesai pada jam 5.25 petang dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti jenis gas yang menyebabkan kejadian itu.

Rabu, 23 Disember 2020

Kanak-kanak maut dirempuh 4WD ketika melintas jalan

Kanak-kanak maut dirempuh 4WD ketika melintas jalan


Kuala Pilah: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut selepas dirempuh kenderaan ketika melintas jalan di Kilometer 8, Jalan Kuala Pilah-Rembang Panas, dekat sini, hari ini.


Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani, berkata kejadian berlaku jam 10.50 pagi dan mangsa, Sofiya Umairah Ab Rahman, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.


Katanya, siasatan awal mendapati mangsa cuba melintas jalan menuju rumah ibu saudaranya, sebelum dirempuh pacuan empat roda (4WD) dari arah Bahau menuju Seremban.


"Kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux pula dalam perjalanan dari arah Bahau menuju Seremban.


"Sebaik tiba dilokasi mangsa dipercayai berlari melintas jalan sebelum dilanggar kenderaan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Amran berkata, akibat rempuhan itu, kanak-kanak terbabit tercampak ke bahu kiri jalan. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk menjalani proses bedah siasat.


Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Jumaat, 27 November 2020

Lelaki khayal dadah, langgar polis didakwa

Lelaki khayal dadah, langgar polis didakwa


Ipoh: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menunggang motosikal di bawah pengaruh dadah, sehingga menyebabkan kemalangan dan kecederaan parah seorang anggota polis di satu sekatan jalan raya di sini Selasa lalu.


Mengikut pertuduhan, penganggur itu didakwa menunggang motosikal di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya dan mengakibatkan kecederaan kepada Koperal Mohd. Aizal Md. Lazim di satu sekatan jalan raya di Jalan Silibin di Ipoh pada pukul 11.15 pagi, 24 November lalu.


Tertuduh, Nor Azman Mat Salleh, 35 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Umzarul An Nur Umar. Dia didakwa mengikut Seksyen 44 (1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 44 (1A) akta yang sama.


Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum denda tidak kurang RM30,000 dan tidak lebih RM50,000 dan penjara selama tempoh tidak kurang tujuh tahun dan tidak lebih 10 tahun.


Timbalan Pendakwa Raya, Afiqah Izzati Mazlan menawarkan jaminan RM10,000 namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan dengan alasan isterinya sedang hamil. Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan lesen memandunya digantung sehingga kes selesai.


Mahkamah kemudiannya menetapkan 14 Januari tahun hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.


Dalam kejadian Selasa lalu, Mohd. Aizal dari Cawangan Penguatkuasaan Trafik, Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dilanggar seorang penunggang motosikal yang cuba meloloskan diri dari sekatan jalan raya (SJR).


Rempuhan motosikal dari arah belakang itu menyebabkan mangsa melambung sebelum terjatuh dan terseret sejauh lebih lima meter di atas jalan. Pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa cedera di kepala, muka, tangan dan badan.