Rabu, 23 Disember 2020

Kanak-kanak maut dirempuh 4WD ketika melintas jalan


Kuala Pilah: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut selepas dirempuh kenderaan ketika melintas jalan di Kilometer 8, Jalan Kuala Pilah-Rembang Panas, dekat sini, hari ini.


Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani, berkata kejadian berlaku jam 10.50 pagi dan mangsa, Sofiya Umairah Ab Rahman, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.


Katanya, siasatan awal mendapati mangsa cuba melintas jalan menuju rumah ibu saudaranya, sebelum dirempuh pacuan empat roda (4WD) dari arah Bahau menuju Seremban.


"Kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux pula dalam perjalanan dari arah Bahau menuju Seremban.


"Sebaik tiba dilokasi mangsa dipercayai berlari melintas jalan sebelum dilanggar kenderaan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Amran berkata, akibat rempuhan itu, kanak-kanak terbabit tercampak ke bahu kiri jalan. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk menjalani proses bedah siasat.


Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


EmoticonEmoticon