Khamis, 4 Mac 2021

Hasil bedah siasat, kes kanak-kanak lemas dalam besen tiada unsur jenayah


Bayan Lepas: Polis mengesahkan tiada unsur jenayah berhubung kematian seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai lemas di dalam besen di rumah pengasuhnya di Permatang Damar Laut, Bayan Lepas pada Selasa lalu.


Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, Pengesahan itu diperoleh selepas proses bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) pada jam 9.25 pagi, Khamis selama tiga jam 35 minit.


Katanya, hasil bedah siasat mendapati berlaku kebocoran pada organ perut menyebabkan pendarahan dan pembekuan sistem darah.


"Kecederaan itu kemungkinan berdasarkan usaha pengasuh ketika memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) bagi menyelamatkan mangsa selepas terlangkup dalam besen berisi air.


"Tiada unsur jenayah atau kecederaan mencurigakan dikesan pada mangsa," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Wan Farhan reda dengan pemergian anak bongsunya.
Sophia disahkan meninggal dunia pada jam 2 pagi
Rabu selepas dirawat di HPP.


Pada kejadian Selasa lalu, mangsa, Sophia Fateha Wan Farhan Danial, ditemukan terlangkup dalam besen berisi air selepas ditinggalkan sementara di dalam bilik air di rumah pengasuh, ketika wanita berkenaan mahu mengambil tuala.


Ketika ditemukan, mangsa masih sedarkan diri, namun beransur lemah setengah jam kemudian sebelum dihantar menaiki ambulans ke HPP. Selepas beberapa jam dalam keadaan kritikal, kanak-kanak terbabit disahkan meninggal dunia pada 2 pagi Rabu.


Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Matang, Permatang Damar Laut, pada 3.30 petang hari ini.


Pengasuh berusia 43 tahun itu direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 7 Mac bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.


EmoticonEmoticon