Sabtu, 26 Disember 2020

Tiga pekerja pembersihan loji kumbahan maut terhidu gas


Kuala Lumpur: Mangsa pekerja pembersihan terdiri daripada enam lelaki termasuk empat warga asing, tiga daripada mangsa tersebut maut selepas dipercayai terhidu gas dari loji kumbahan di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, pada petang Jumaat (25 Disember 2020), semalam.


Komander Operasi, Penguasa Bomba Muhammad Ridhwan Kamarulzaman, berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 2.41 petang dan terus menggerakkan 40 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai, Hang Tuah dan Jalan Tun Razak ke lokasi.


Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila enam pekerja pembersihan itu sedang melakukan kerja pembersihan dalam tangki loji kumbahan terbabit. Bagaimanapun semua mereka kemudian mengalami masalah sesak nafas selepas terhidu gas di dalam tangki loji.


"Dua mangsa warga Bangladesh berjaya menyelamatkan diri dengan keluar dari loji terbabit sebelum pasukan bomba sampai ke lokasi dengan empat mangsa masih berada di dalam loji kumbahan terbabit," katanya dalam kenyataan, semalam.


Katanya, tiga mangsa terdiri daripada dua lelaki tempatan dan seorang warga Bangladesh maut, dan seorang lagi mengalami sesak nafas selepas terhidu gas di dalam loji kumbahan berkenaan.


"Seorang mangsa berjaya diselamatkan dan dihantar ke hospital manakala tiga lagi mangsa disahkan meninggal dunia berjaya dinaikkan pasukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).


"Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dari BBP Jalan Tun Razak yang tiba di lokasi melakukan kerja-kerja bacaan udara dan pengudaraan di lokasi bagi memastikan keadaan kualiti udara didalam keadaan selamat," katanya.


Tambah beliau, pasukan penyelamat seterusnya melaksanakan proses dekontaminasi sebelum mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Kerja penyelamatan selesai pada jam 5.25 petang dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti jenis gas yang menyebabkan kejadian itu.


EmoticonEmoticon