Jumaat, 25 Disember 2020

Disangka babi liar, pemilik ladang tertembak pekerja sendiri


Rembau: Seorang pemilik ladang tidak menyangka sasaran tembakan ke atas kelibat yang disangka babi liar mahu memakan buah nangka yang gugur dari pokok rupa-rupanya mengenai pekerjanya sendiri, dalam kejadian di sebuah kebun di kawasan Kota, di sini, semalam.


Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa iaitu warganegara Indonesia berusia 30-an terus dibawa ke Hospital Tampin bagi rawatan lanjut.


Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam, berkata pekerja Indonesia berusia 30-an itu cedera di kaki terkena peluru kekacang senapang Shot Gun jenis Bennely milik lelaki berusia 70-an itu.


"Hasil siasatan awal mendapati pengadu dalam kes ini adalah juga suspek sendiri yang melepaskan satu tembakan menggunakan selaras senapang Shot Gun jenis Bennelli miliknya," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.


Katanya, sejurus melepaskan tembakan, suspek terdengar suara lelaki menjerit dan kemudian menghampiri lokasi itu dan mendapati pekerjanya seorang lelaki warganegara Indonesia yang terkena tembakan di kaki.


"Kemudian dia (suspek) membawa mangsa ke Hospital Tampin untuk rawatan yang mengalami kecederaan di peha serta kaki kiri.


"Mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan akan menjalani pembedahan untuk mengeluarkan peluru penabur di bahagian peha dan kakinya," katanya.


Anuar berkata, suspek mempunyai lesen pemilikan senjata api. Polis dengan bantuan Pasukan D10 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan menjalankan siasatan di tempat kejadian.


"Pihak polis sudah membuat tangkapan terhadap suspek serta merampas selaras 'Shotgun Bennely Army System' 12 Bore S/B, sebuah beg sandang warna hitam, sebuah buku lesen memiliki senjata dan peluru 17 butir peluru penabur pelbagai jenama," katanya.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 yang jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.


“Polis memohon kepada sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini tampil memberikan maklumat kepada pegawai penyiasat, Inspektor Ramlah Alidin di talian 011-10944096 atau pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau di talian 06-6851999.


EmoticonEmoticon