Selasa, 19 Januari 2021

7 lelaki direman tuduh polis tendang motosikal ditunggang 2 remaja



Georgetown: Tujuh lelaki direman tiga hari sehingga 21 Januari ini bagi membantu siasatan berhubung kemalangan membabitkan dua remaja lelaki yang menunggang motosikal di persimpangan lampu isyarat Tanjung Tokong di sini, kelmarin.


Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Georgetown Nur Fadrina Zulkhairi pagi ini. Kesemuanya yang berusia 23 hingga 45 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas.


Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021.


Kesemua mereka ditahan di sekitar Jalan Patani dan Tanjong Tokong di sini, semalam. Selain mencetuskan provokasi terhadap anggota polis, kumpulan lelaki terbabit turut mendakwa anggota polis menendang motosikal ditunggang dua remaja itu menyebabkan mereka terbabit kemalangan.


Salah seorang mangsa yang cedera dalam kejadian itu.


Video dan gambar provokasi itu turut tular di media sosial sehingga menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. Polis turut menjalankan siasatan terhadap hantaran di Facebook dan aplikasi WhatsApp yang didapati tidak tepat dan berbaur fitnah sehingga menjejaskan imej polis.


Dalam kejadian itu, dua remaja terbabit dikatakan parah akibat terjatuh daripada motosikal itu. Menerusi video berkenaan, ada penduduk tidak berpuas hati dan mendakwa anggota polis menendang motosikal ditunggang dua remaja terbabit.


Pada masa sama, tular laporan polis dibuat anggota polis yang mendakwa remaja itu memecut laju dan melanggar lampu isyarat merah sebaik diarahkan berhenti, sebelum berlanggar dengan kereta. Anggota polis terbabit dikatakan membuat laporan kerana bimbang apabila dikerumuni orang ramai termasuk mengeluarkan kata-kata kesat terhadap mereka.


Kehadiran ramai anggota unit kereta peronda (MPV) dan unit rondaan bermotosikal (URB) membantu menenangkan keadaan.


EmoticonEmoticon