Memaparkan catatan dengan label Kemalangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kemalangan. Papar semua catatan

Khamis, 22 Oktober 2026

Honda City dipandu melulu langgar empat kenderaan: Pemandu disahkan positif dadah

Honda City dipandu melulu langgar empat kenderaan: Pemandu disahkan positif dadah


Seorang lelaki yang memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 25 Jalan Seremban-Kuala Pilah hari ini didapati positif dadah.


Video kejadian itu turut tular di media sosial yang memaparkan sebuah Honda City dipandu secara melulu sebelum merempuh sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki dan kemudiannya melarikan diri.


Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad yang mengesahkan kejadian berkenaan memaklumkan, hasil ujian saringan air kencing terhadap pemandu berusia 39 tahun itu didapati positif dadah jenis methamphetamine.


Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian kira-kira jam 7.45 pagi itu berlaku ketika kereta terbabit dari arah Kuala Pilah menghala ke Seremban.


"Pemandu berkenaan tidak memberhentikan kenderaannya, sebaliknya meneruskan perjalanan sebelum melanggar pula tembok jambatan di sebelah kiri jalan ketika melalui satu selekoh," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, pelanggaran tersebut menyebabkan Honda City terbabit telah berpusing dan melintang di jalan dan pada masa yang sama, sebuah Proton Exora, Honda CRV dan motosikal jenis Yamaha 135LC yang melalui laluan berkenaan tidak sempat mengelak lalu melanggar kenderaan tersebut.


Tambahnya, pemandu Honda City mengalami kecederaan patah pada bahagian tangan kanan, manakala penunggang motosikal mengalami cedera ringan, manakala mangsa lain tidak cedera.


"Hasil pemeriksaan kenderaan Honda City terbabit turut menjumpai satu paket plastik mengandungi serbuk putih lutsinar dipercayai dadah jenis ketamin.


"Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan jalan 1987 dan orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Khamis, 15 Oktober 2026

Pemandu BYD didakwa memandu berbahaya sebabkan kematian kanak-kanak perempuan 5 tahun

Pemandu BYD didakwa memandu berbahaya sebabkan kematian kanak-kanak perempuan 5 tahun


Pemandu kereta elektrik BYD yang terbabit kemalangan sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak perempuan lima tahun, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini, atas tiga tuduhan termasuk memandu secara berbahaya.


Tertuduh, Raeven Goh Wey Haur, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan dan meminta dibicarakan sebaik dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Aliaa Anwar.


"Tidak mengaku salah," katanya ketika berdiri di dalam kandang tertuduh.


Mengikut tuduhan pertama, Wey Haur yang juga pegawai bank didakwa memandu kereta BYD Seal secara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian Asiah Ahmad Syahir, 5.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Kuching, dari arah pusat bandar menghala ke Segambut, Kuala Lumpur, pada jam 3.44 petang, 10 Oktober lalu.


Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.


Bagi tuduhan kedua, lelaki itu didakwa memandu secara berbahaya di lokasi dan waktu sama, mengikut Seksyen 42(1) APJ, memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun serta denda antara RM5,000 hingga RM15,000, jika sabit kesalahan.


Dia juga didakwa gagal berhenti selepas terbabit kemalangan jalan raya di lokasi dan waktu sama, mengikut Seksyen 52(1) APJ, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 119(2) akta sama.


Jika sabit kesalahan, Wey Haur boleh didenda tidak kurang RM2,000 atau dipenjara maksimum enam bulan.


Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry mencadangkan supaya mengenakan jaminan RM50,000 bagi ketiga-tiga tuduhan.


Beliau turut memohon mahkamah menggantung lesen memandu tertuduh sehingga kes selesai, selaras Seksyen 41(5) APJ, selain pasportnya diserahkan kepada mahkamah.


Sementara itu, peguam bela tertuduh, Kailash Sharma memohon supaya anak guamnya diberikan jaminan minimum mengambil kira keluarganya memberikan kerjasama kepada pihak polis sejak hari kejadian.


Beliau berkata, bapa tertuduh yang berusia 55 tahun dan menjalankan perniagaan selama 26 tahun, dicadangkan sebagai penjamin.


Majistret Aliaa membenarkan Wey Haur diikat jamin RM36,000 bagi ketiga-tiga tuduhan dengan seorang penjamin, dan memerintahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah serta lesen memandu digantung mulai hari ini sehingga kes selesai.


Aliaa juga menetapkan 19 November ini bagi tarikh sebutan untuk serahan dokumen. Prosiding hari ini turut dihadiri ahli keluarga mangsa bersama peguam pemerhati, Nur A'minahtul Mardiah Md Nor.





Selasa, 13 Oktober 2026

Anggota tentera maut dilanggar lori selepas tercampak dari jejambat

Anggota tentera maut dilanggar lori selepas tercampak dari jejambat


Seorang anggota tentera maut selepas tercampak dari atas jejambat ketika motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum dilanggar lori dalam kejadian di Jalan Lingkaran Tengah 2, berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Kuala Lumpur, hari ini.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian berlaku pada jam 8.04 pagi itu mendapati mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Bukit Jalil menuju ke tempat kerja di Kem Sungai Besi dengan menunggang motosikal Honda Wave.


Menurutnya, ketika melalui susur jejambat untuk membuat pusingan U, mangsa dipercayai telah hilang kawalan sebelum tercampak dari jejambat berketinggian kira-kira lima meter ke jalan raya di bawah, manakala motosikalnya berada di jejambat.


"Mangsa yang terjatuh telah menimpa seorang lelaki berusia 46 tahun yang sedang menunggang motosikal Honda Vario dari arah Cheras menghala ke Sungai Besi, menyebabkan kedua-duanya terjatuh di atas jalan raya.


"Pada masa sama, sebuah lori Isuzu yang dipandu lelaki berusia 46 tahun cuba mengelak kedua-dua mangsa namun tidak sempat lalu melanggar motosikal Honda Vario tersebut," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, akibat kemalangan, anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) berkenaan mengalami kecederaan parah di kepala dan badan serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Tambahnya, penunggang Honda Vario pula mengalami patah tangan kiri, kecederaan di muka serta pendarahan di kepala dan telah dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk rawatan lanjut.


"Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan. Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan," ujarnya.


Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Isnin, 12 Oktober 2026

Pemuda terbabit nahas ragut nyawa budak lima tahun dikesan polis dalam hospital swasta

Pemuda terbabit nahas ragut nyawa budak lima tahun dikesan polis dalam hospital swasta


Kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching, dari arah pusat bandar menghala ke Segambut, Kuala Lumpur.


Dalam kejadian pada jam 3.44 petang kelmarin, mangsa yang berada di tempat duduk penumpang belakang kereta Perodua Bezza disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan itu membabitkan lima kereta dan sebuah motosikal ketika aliran trafik bergerak perlahan.


"Siasatan awal mendapati kereta Perodua Bezza dipandu bapa mangsa berusia 30 tahun dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta model BYD Seal.


"Rempuhan itu turut membabitkan sebuah motosikal sebelum kenderaan mangsa berpusing ke lorong kanan dan melanggar tiga kenderaan lain iaitu kereta Nissan Almera, Kenderaan Serba Guna (MPV) Toyota Alphard dan Perodua Myvi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Mohd Zamzuri berkata, bapa mangsa mengalami luka di tangan kanan, manakala penunggang motosikal Yamaha 135LC berusia 33 tahun cedera di kepala. Kedua-dua mereka menerima rawatan di HKL.


"Polis berjaya mengesan pemandu kenderaan BYD Seal yang dilaporkan meninggalkan lokasi kejadian sejurus kemalangan berlaku.


"Pemandu BYD Seal itu adalah lelaki berusia 24 tahun. Dia kini sedang dirawat di sebuah hospital swasta di Damansara kerana mengalami kecederaan gegaran otak.


"Suspek kini masih dalam pemantauan pegawai penyiasat dan siasatan lanjut berhubung kejadian masih diteruskan," katanya.


Sementara itu, tiga lagi individu, iaitu pemandu Nissan Almera berusia 28 tahun, pemandu Toyota Alphard berusia 37 tahun serta pemilik Perodua Myvi berusia 30 tahun, dilaporkan terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.


Mohd Zamzuri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan.


"JSPT Kuala Lumpur turut menyeru orang ramai serta saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan tersebut untuk tampil membantu siasatan," katanya.

Ahad, 11 Oktober 2026

JPJ gantung sementara VTA, pendaftaran Chery Omoda 5

JPJ gantung sementara VTA, pendaftaran Chery Omoda 5


Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menggantung sementara Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) Chery Omoda 5 dan menangguhkan pendaftaran baharu susulan insiden gandar belakang sebuah kereta model itu tercabut di Johor Bahru, minggu lalu.


Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata penggantungan itu akan dilaksanakan secara bersasar terhadap model dan varian Chery Omoda 5 yang berpotensi terjejas.


Beliau berkata, tindakan itu diambil sebagai langkah pencegahan awal sehingga siasatan teknikal selesai dan risiko keselamatan kenderaan berkenaan dapat dikenal pasti.


"Chery Malaysia dikehendaki mengenal pasti semua unit kenderaan yang berpotensi terjejas berdasarkan nombor komponen, kelompok pengeluaran, nombor casis serta parameter teknikal berkaitan.


"Panggilan semula hendaklah dilaksanakan terhadap semua kenderaan yang dikenal pasti berisiko bagi tujuan pemeriksaan dan tindakan pembetulan sewajarnya," katanya dalam kenyataan hari ini.


Aedy Fadly berkata, jabatan itu juga akan menjalankan audit teknikal terhadap proses pengeluaran dan pemasangan Chery Omoda 5 serta pembekal komponen gandar berkaitan.


Audit berkenaan merangkumi pematuhan amalan pengilangan yang baik, sistem kawalan kualiti, prosedur pemeriksaan sambungan kimpalan dan tahap keselamatan komponen yang digunakan.


"JPJ tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.


"Pengeluar bertanggungjawab memastikan setiap kenderaan yang dipasarkan memenuhi piawaian keselamatan dan keperluan teknikal yang ditetapkan," katanya.


Menurutnya, penggantungan berkenaan hanya akan ditarik balik selepas semua tindakan pembetulan dan pencegahan dilaksanakan sepenuhnya.


Ia juga tertakluk kepada pengesahan teknikal JPJ segala risiko keselamatan sudah ditangani dengan sewajarnya.


Terdahulu, gambar dan video sebuah Chery Omoda 5 berwarna hitam yang mengalami kerosakan pada bahagian gandar belakang tular di media sosial selepas kejadian di Johor Bahru, minggu lalu.


Rakaman berkenaan memaparkan gandar belakang bersama kedua-dua roda belakang kenderaan itu terpisah daripada badan kereta.


Insiden itu turut mengundang perhatian susulan kejadian hampir sama pada April 2024 yang membawa kepada kempen pemeriksaan membabitkan 600 unit Chery Omoda 5.


Ketika itu, Chery Auto Malaysia mengenal pasti masalah penentukuran peralatan kimpalan di pihak pembekal komponen sebagai punca kerosakan gandar belakang.


Bagaimanapun, belum ada pengesahan insiden terbaharu mempunyai kaitan dengan masalah yang dikenal pasti pada 2024.

Sabtu, 10 Oktober 2026

Pemandu lori langgar 11 kenderaan di Shah Alam positif syabu, amphetamine

Pemandu lori langgar 11 kenderaan di Shah Alam positif syabu, amphetamine


Pemandu lori yang merempuh 11 kereta dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Alam Budiman, Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam, semalam, didapati positif amphetamine dan methamphetamine atau syabu.


Lelaki berusia 51 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan selepas ujian air kencing yang dijalankan terhadapnya mendapati dia positif kedua-dua jenis dadah berkenaan.


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah, berkata kemalangan kira-kira jam 4.20 petang itu membabitkan 12 kenderaan, termasuk lori dipandu lelaki terbabit.


"Berdasarkan siasatan awal, pemandu lori itu mendakwa kenderaannya mengalami masalah brek ketika menuruni bukit dari arah Puncak Perdana menghala ke Puncak Alam sebelum hilang kawalan.


"Lori itu kemudian terbabas ke laluan bertentangan sebelum melanggar 11 kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat.


"Ujian pernafasan bagi mengesan kadar alkohol dan ujian air kencing dijalankan ke atas pemandu lori dan mendapati positif amphetamine dan methamphetamine," katanya dalam kenyataan hari ini.



Sarudin berkata, kemalangan itu menyebabkan seorang lelaki berusia 58 tahun yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Subaru XV cedera parah di kepala dan dirawat di Zon Merah Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM Puncak Alam.


Katanya, isteri mangsa berusia 53 tahun dan cucu mereka, remaja lelaki berusia 17 tahun yang turut berada dalam kenderaan sama, juga menerima rawatan di hospital berkenaan, namun kedua-duanya dilaporkan stabil.


Seorang lagi mangsa, lelaki berusia 29 tahun yang memandu Perodua Myvi cedera pada badan dan turut dilaporkan stabil.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


Terdahulu, Media melaporkan empat individu cedera, termasuk seorang lelaki parah dalam kemalangan berkenaan.

Jumaat, 9 Oktober 2026

4 cedera, seorang kritikal dalam nahas 12 kenderaan di lampu isyarat Alam Budiman

4 cedera, seorang kritikal dalam nahas 12 kenderaan di lampu isyarat Alam Budiman


Empat individu cedera termasuk seorang lelaki parah dalam kemalangan membabitkan 12 kenderaan di lampu isyarat Alam Budiman, Jalan Mokhtar Dahari, Seksyen U10, Shah Alam, hari ini.


Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Ashbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.31 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong ke lokasi kejadian.


Katanya, Komander Operasi melaporkan kemalangan membabitkan 11 kereta dan sebuah lori.


"Terdapat mangsa yang tersepit dan mengalami kecederaan di kepala dalam keadaan kritikal.


"Tiga lagi mangsa terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita, dengan seorang lelaki mengalami kecederaan ringan, seorang lagi cedera di bahagian perut, manakala wanita berkenaan mengalami kecederaan di kepala dan dilaporkan separa kritikal," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, semua empat mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.


"Operasi menyelamat membabitkan lima anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan operasi menyelamat dilaporkan terkawal pada jam 5.28 petang," katanya.

Tiga beranak maut: Exora rempuh belakang lori yang berhenti di bahu kiri jalan - Polis

Tiga beranak maut: Exora rempuh belakang lori yang berhenti di bahu kiri jalan - Polis


Polis mengesahkan kemalangan maut membabitkan tiga beranak di Bukit Talang, Jalan Raja Musa, Kuala Selangor pada Khamis berlaku selepas Proton Exora dipandu seorang wanita merempuh belakang sebuah lori yang berhenti di bahu kiri jalan kerana tayar pecah.


Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan kira-kira jam 1.30 tengah hari itu berlaku ketika Proton Exora itu dalam perjalanan dari arah Bestari Jaya menghala ke Tanjong Karang.


"Akibat kemalangan itu, tiga mangsa daripada Proton Exora iaitu pemandu wanita berusia 44 tahun, penumpang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


"Seorang lagi penumpang Proton Exora mengalami kecederaan dan kesemua mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang," katanya dalam kenyataan, semalam.


Azaharudin berkata, polis menerima maklumat mengenai kemalangan maut itu kira-kira jam 2.39 petang.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh Pegawai Penyiasat, Inspektor Norzalikha Ghazali.


"Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Selangor atau mana-mana balai polis berhampiran.


"Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu atau menunggang kenderaan serta mematuhi peraturan jalan raya," tambah beliau.

Isnin, 5 Oktober 2026

Pekerja gudang didakwa mabuk tunggang motosikal langgar peserta KL Marathon

Pekerja gudang didakwa mabuk tunggang motosikal langgar peserta KL Marathon


Pekerja gudang sebuah syarikat e-dagang yang menunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol sebelum melanggar dua peserta Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) awal bulan ini didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.


Bagaimanapun, Muhammad Saiful Sabinee, 21, mengaku tidak bersalah sebaik dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aliaa Anwar.


Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menunggang motosikal secara melawan arus ketika berada di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan iaitu 184 miligram (mg) bagi setiap 100 mililiter darah.


Perbuatan itu didakwa menyebabkan kecederaan kepada peserta larian, Mazni Lamin, 50, dan Azwan Ibrahim, 41, di Jalan Munshi, berhampiran sebuah gedung pakaian, di Kuala Lumpur jam 6.14 pagi, 3 Oktober lalu.


Oleh itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum tujuh tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM30,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya, Nurbatrisyia Mohd Razib mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.


Bagaimanapun, Muhammad Saiful yang tidak memiliki lesen memandu diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) merayu supaya mahkamah menetapkan jaminan minimum atas alasan hanya berpendapatan RM1,500 sebulan dan perlu menanggung empat adik beradiknya yang masih bersekolah.


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin. Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 7 Januari depan.


Sebelum ini, kejadian berkenaan tular selepas video menunjukkan dua peserta KLSCM terbaring di atas jalan selepas dilanggar sebuah motosikal.


Kejadian itu dilaporkan berlaku selepas penunggang motosikal terbabit menceroboh laluan yang ditutup dengan kon dan cuba melarikan diri secara melawan arus selepas diarahkan berhenti oleh anggota bertugas.


Akibat kejadian, peserta lelaki dilaporkan mengalami kecederaan di leher, manakala peserta wanita cedera di lutut kanan dan tangan sebelum kedua-duanya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan.

Isnin, 21 September 2026

Pemandu Proton Wira tular himpit Axia di lebuhraya ditahan polis

Pemandu Proton Wira tular himpit Axia di lebuhraya ditahan polis


Pemandu Proton Wira yang dirakam memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan dekat Kilometer (KM) 278.3 Lebuhraya Utara- Selatan (PLUS), Nilai semalam, sudah ditahan polis.


Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, suspek berusia 35 tahun itu ditahan di Selangor, kira-kira 12.30 tengah malam tadi.


"Susulan kemalangan membabitkan Proton Wira dan Perodua Axia yang berlaku pagi semalam dan video kejadiannya tular di media sosial, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Nilai menjalankan siasatan dan memburu suspek terbabit.


"Pihak kami berjaya mengesan pemandu Proton Wira dan menahannya di rumahnya di Puchong, Selangor, tengah malam tadi, sebelum dibawa ke BSPTD Nilai untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, semakan rekod mendapati lelaki yang bekerja sebagai penghantar barang itu tidak mempunyai rekod jenayah.


"Lesen memandunya juga masih aktif, namun cukai dan perlindungan insurans kenderaan yang digunakan didapati sudah tamat tempoh pada Mei lalu. Bagaimanapun, suspek bukan pemilik kereta itu.


"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban pagi ini untuk direman bagi siasatan lanjut," katanya.


Media semalam melaporkan polis mengesan pemandu Proton Wira yang didapati memandu dalam keadaan berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan, yang videonya tular di media sosial.


Kejadian dipercayai berlaku 9.10 pagi semalam dan Proton Wira terbabit dipercayai seolah bersaing dengan sebuah lagi kereta sebelum dilihat menghimpit Perodua Axia.


Johari dilaporkan berkata, ia menyebabkan Perodua Axia berpusing dan terbabas ke bahu jalan, namun pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ahad, 20 September 2026

Polis cari pemandu Wira himpit Axia hingga berpusing

Polis cari pemandu Wira himpit Axia hingga berpusing


Polis sedang menjalankan siasatan dan mengesan pemandu kereta jenis Proton Wira yang didapati memandu dalam keadaan bahaya sehingga menyebabkan kemalangan di Kilometer (KM) 278.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Nilai, pagi tadi.


Dalam video yang tular, kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 9.10 pagi itu memaparkan Proton Wira dipercayai seolah bersaing dengan sebuah lagi kereta sebelum dilihat menghimpit kereta Jenis Perodua Axia lalu beredar begitu sahaja.


Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, pelanggaran itu menyebabkan Perodua Axia berpusing dan terbabas ke bahu jalan, namun pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan.


"Kira-kira jam 3.30 petang, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Nilai terkesan video tular berdurasi 60 saat yang di muat naik menerusi laman sosial Facebook.


"Ia berkaitan kemalangan jalan raya yang membabitkan dua kereta di KM 278.3 Lebuhraya PLUS arah utara," katanya dalam kenyataan hari ini.


Johari berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika sebuah Perodua Axia yang dipandu seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an sedang dalam perjalanan dari arah Seremban menuju ke Kuala Lumpur.


"Apabila tiba di lokasi kejadian, Perodua Axia itu dipercayai dilanggar sebuah Proton Wira yang dipandu seorang individu yang masih belum dikenal pasti identitinya," katanya.


Johari berkata, berdasarkan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang diperoleh, Proton Wira itu dipercayai dipandu pada kelajuan tinggi dan secara melulu serta berbahaya sehingga melanggar Perodua Axia itu.


"Akibat pelanggaran itu, Perodua Axia dikatakan berpusing sebelum terbabas ke bahu jalan. Pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.


Johari berkata, kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini, termasuk rakaman dashcam, diminta tampil," katanya.

Sabtu, 19 September 2026

Tiga remaja maut, sembilan cedera nahas libatkan 12 motosikal dan 3 kereta di Ipoh

Tiga remaja maut, sembilan cedera nahas libatkan 12 motosikal dan 3 kereta di Ipoh


Tiga remaja lelaki maut manakala sembilan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan 12 motosikal dan tiga kereta di Jalan Jelapang-Ampang, Ipoh awal pagi tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 3.35 pagi itu, dua mangsa masing-masing berusia 19 dan 20 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.


Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian daripada orang awam sebelum anggota polis dikejarkan ke lokasi.


"Siasatan awal mendapati kesemua kenderaan terbabit sedang bergerak dari arah Meru Raya menghala ke Tambun sebelum terlibat dalam kemalangan.


"Seramai sembilan penunggang motosikal lain berusia lingkungan 19 hingga 25 tahun mengalami kecederaan yang belum dikenal pasti dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam kenyataan hari ini.



Muhammad Najib berkata, seorang lagi mangsa lelaki berusia 19 tahun yang menerima rawatan kemudiannya disahkan meninggal dunia di Zon Merah, Jabatan Kecemasan dan Trauma HRPB.


"Ini menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang meninggal dunia seramai tiga orang, manakala sembilan penunggang motosikal yang lain mengalami kecederaan.


"Ketiga-tiga pemandu kereta yang terlibat pula dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.


Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.


"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.


"Polis turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, mengawal kelajuan kenderaan dan mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya," katanya.

Rabu, 9 September 2026

Kes rempuh Myvi guna Toyota Vellfire di Kulai: Seorang didakwa bunuh, dua cubaan membunuh

Kes rempuh Myvi guna Toyota Vellfire di Kulai: Seorang didakwa bunuh, dua cubaan membunuh


Kes kemalangan yang mengorbankan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di Kulai bulan lalu memasuki perkembangan mengejutkan apabila seorang suspek akan didakwa atas tuduhan membunuh, manakala dua lagi atas kesalahan cubaan membunuh.


Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, seramai 21 suspek ditahan, terdiri daripada 20 lelaki dan seorang wanita berusia antara 15 hingga 31 tahun, dalam beberapa operasi di Johor Bahru, Kulai dan Selangor.


Katanya, kesemua suspek dijangka didakwa di Mahkamah Majistret Kulai hari ini.


"Seorang suspek akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh, manakala dua lagi berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 307 atas kesalahan cubaan membunuh dan empat lagi mengikut Seksyen 426 atas kesalahan khianat.


"Seramai 14 suspek yang lain akan menjadi saksi pendakwaan dan dibebaskan dengan jaminan mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah," katanya, hari ini.


Rahaman berkata, seramai 14 daripada 21 suspek mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian air kencing awal terhadap kesemua suspek didapati negatif.


Katanya, polis melengkapkan kertas siasatan dan merujuknya kepada Pejabat Pendakwaan Negeri Johor Isnin lalu, sebelum arahan untuk pertuduhan dikeluarkan semalam.


Dalam kejadian jam 12.38 tengah malam pada 25 Ogos lalu, mangsa berusia 17 tahun yang sudah tidak bersekolah maut dalam kemalangan di Lingkaran Bulatan Persiaran Indahpura 4, Kulai.


Mangsa ketika itu menaiki sebuah Perodua Myvi bersama empat rakannya selepas makan malam apabila beberapa kenderaan dipercayai mula mengekori mereka.


Polis sebelum ini memaklumkan sebuah Toyota Vellfire berwarna hitam dipercayai merempuh Perodua Myvi di bulatan terbabit, menyebabkan mangsa yang duduk di kerusi penumpang hadapan tercampak keluar dari kenderaan.


Mangsa dipercayai dilanggar oleh Vellfire berkenaan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.


Kes itu pada mulanya disiasat sebagai kemalangan jalan raya sebelum diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh susulan siasatan polis serta keterangan yang diperoleh daripada suspek.


Dalam siasatan berkenaan, polis turut merampas sebuah Toyota Vellfire, Kia Forte, Toyota Hilux, 12 telefon bimbit dan dua batang besi, termasuk baton serta kayu besbol.


Beliau dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati kejadian berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan konflik antara dua kumpulan kongsi gelap yang aktif di sekitar Johor Bahru.

Selasa, 1 September 2026

Dua RXZ bergesel dan dilanggar SUV, seorang penunggang maut tercampak ke longkang

Dua RXZ bergesel dan dilanggar SUV, seorang penunggang maut tercampak ke longkang


Penunggang motosikal Yamaha RXZ maut selepas motosikalnya bergesel dengan sebuah lagi motosikal sebelum dilanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 406.4 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Kuala Berang, malam tadi.


Dalam kejadian pada 11.45 malam itu, Mohd Yusri Rusdi, 38, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.


Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah Honda HR-V dan dua motosikal Yamaha RXZ yang dalam perjalanan dari arah Ajil menghala ke Telemong.


Menurutnya, siasatan awal mendapati ketiga kenderaan berkenaan dalam perjalanan pulang dari Cherating, Pahang menuju ke Kuala Terengganu.


"Ketika tiba di lokasi kejadian, dua motosikal berkenaan dipercayai bergesel sesama sendiri sebelum terjatuh ke atas jalan raya.


"SUV yang datang dari arah belakang kemudian melanggar penunggang motosikal yang terjatuh di lorong kanan," katanya.


Menurutnya, mangsa kemudiannya tercampak ke longkang di sebelah kiri jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Katanya, mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk proses bedah siasat," katanya.


Beliau berkata, seorang lagi penunggang motosikal yang berusia 34 tahun mengalami patah tangan kanan serta luka pada badan dan menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Hulu Terengganu.


Katanya, pemandu Honda HR-V dan penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihaknya menasihati pengguna jalan raya lebih berwaspada terutama ketika musim cuti persekolahan berikutan pertambahan jumlah kenderaan," katanya.

Khamis, 20 Ogos 2026

Pemandu lori Imigresen langgar mati tiga sekeluarga dibebaskan, bayar wang jaminan RM60,000

Pemandu lori Imigresen langgar mati tiga sekeluarga dibebaskan, bayar wang jaminan RM60,000


Pemandu lori Jabatan Imigresen (Imigresen), Mohd Akbar Zainol yang didakwa atas lima pertuduhan dalam kemalangan maut di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur dibebaskan selepas membayar wang jaminan. Peguamnya, Izzat Amir Saharudin, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi hari ini.


Mohd Akbar, 43, dibenarkan ikat jamin RM60,000 oleh Majistret Aliaa Anwar, hari ini, selepas dia mengaku tidak bersalah terhadap kesemua lima pertuduhan yang dihadapinya.


Tertuduh didakwa atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana didakwa menyebabkan kematian Shaik Mohd Firdaus Shaik Yahya, 53, serta dua anak perempuannya, Siti Norshazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12.


Dia turut didakwa mengikut Seksyen 43(1) akta sama kerana didakwa memandu tanpa kecermatan dan perhatian yang sewajarnya sehingga menyebabkan kecederaan kepada seorang pejalan kaki, Nor Hayati Rozali, 55.


Pertuduhan kelima pula dibuat mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana didakwa gagal mematuhi isyarat lalu lintas apabila melanggar lampu merah di persimpangan Jalan Sultan Ismail.


Mahkamah menetapkan 27 Oktober depan untuk sebutan semula kes.


Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi semalam, lori Imigresen berkenaan didakwa memasuki persimpangan Jalan Sultan Ismail ketika lampu isyarat berwarna merah.


Sebuah Proton Saga yang sedang melalui persimpangan itu ketika lampu isyarat berwarna hijau kemudian bertembung dengan lori berkenaan.


Pelanggaran itu menyebabkan lori terbabit terbabas sebelum melanggar empat pejalan kaki serta sebuah kereta Inokom Matrix.

Rabu, 19 Ogos 2026

Tiga sekeluarga maut selepas lori Imigresen langgar lampu merah, langgar empat pejalan kaki

Tiga sekeluarga maut selepas lori Imigresen langgar lampu merah, langgar empat pejalan kaki


Tiga sekeluarga termasuk kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun maut selepas lori Jabatan Imigresen dipercayai melanggar lampu merah sebelum merempuh sebuah kereta dan melanggar pejalan kaki di persimpangan Jalan Sultan Ismail, awal pagi tadi.


Mangsa ialah lelaki berusia 53 tahun dan dua anak perempuannya masing-masing berusia 25 dan 12 tahun yang meninggal dunia di lokasi kejadian selepas kemalangan kira-kira jam 1 pagi di persimpangan lampu isyarat Maju Junction.


Isteri mangsa berusia 55 tahun yang juga ibu kepada dua anak perempuan berkenaan cedera di kepala, tangan kanan dan kedua-dua kaki. Mangsa kemudian dikejarkan ke zon merah Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata kemalangan membabitkan sebuah lori Isuzu milik Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang kosong, Proton Saga, Inokom Matrix dan empat pejalan kaki.


Siasatan awal mendapati lori Imigresen itu dipandu lelaki berusia 43 tahun yang dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit.


"Suspek dalam perjalanan ke sana untuk mengambil tahanan selepas operasi terhadap pendatang tanpa dokumen di kawasan berkenaan.


"Lori itu dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat bagi laluannya berwarna merah, dengan lampu beacon dan siren diaktifkan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Pada masa sama, Proton Saga dipandu lelaki berusia 50 tahun sedang bergerak terus melalui persimpangan selepas lampu isyarat bagi laluannya bertukar hijau.


Mohd Zamzuri berkata pemandu Saga dipercayai tidak sempat mengelak lori Imigresen berkenaan sebelum berlaku pelanggaran di tengah persimpangan.


"Impak pelanggaran menyebabkan lori Imigresen hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar empat pejalan kaki yang semuanya adalah anggota keluarga sama.


"Lori itu turut melanggar sebuah Inokom Matrix yang dipandu lelaki berusia 38 tahun dan berhenti di persimpangan lampu isyarat," katanya.


Beliau berkata ketiga-tiga pemandu terbabit tidak cedera.


"Polis kemudian menahan pemandu lori Imigresen berusia 43 tahun dan pemandu Proton Saga berusia 50 tahun bagi membantu siasatan.


"Ujian pernafasan bagi mengesan alkohol dan saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap kedua-dua pemandu mendapati keputusan negatif," katanya.


Mohd Zamzuri berkata, polis sudah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian, mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan sedang mengesan saksi bebas.


"Kenderaan yang terbabit turut dibawa untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau berbahaya," katanya.


Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.


Beberapa video dan gambar kenderaan yang remuk dalam kemalangan itu turut tular di media sosial.