Pekerja gudang sebuah syarikat e-dagang yang menunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol sebelum melanggar dua peserta Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) awal bulan ini didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.
Bagaimanapun, Muhammad Saiful Sabinee, 21, mengaku tidak bersalah sebaik dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aliaa Anwar.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menunggang motosikal secara melawan arus ketika berada di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan iaitu 184 miligram (mg) bagi setiap 100 mililiter darah.
Perbuatan itu didakwa menyebabkan kecederaan kepada peserta larian, Mazni Lamin, 50, dan Azwan Ibrahim, 41, di Jalan Munshi, berhampiran sebuah gedung pakaian, di Kuala Lumpur jam 6.14 pagi, 3 Oktober lalu.
Oleh itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum tujuh tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM30,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurbatrisyia Mohd Razib mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, Muhammad Saiful yang tidak memiliki lesen memandu diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) merayu supaya mahkamah menetapkan jaminan minimum atas alasan hanya berpendapatan RM1,500 sebulan dan perlu menanggung empat adik beradiknya yang masih bersekolah.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin. Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 7 Januari depan.
Sebelum ini, kejadian berkenaan tular selepas video menunjukkan dua peserta KLSCM terbaring di atas jalan selepas dilanggar sebuah motosikal.
Kejadian itu dilaporkan berlaku selepas penunggang motosikal terbabit menceroboh laluan yang ditutup dengan kon dan cuba melarikan diri secara melawan arus selepas diarahkan berhenti oleh anggota bertugas.
Akibat kejadian, peserta lelaki dilaporkan mengalami kecederaan di leher, manakala peserta wanita cedera di lutut kanan dan tangan sebelum kedua-duanya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan.

EmoticonEmoticon