Isnin, 5 Oktober 2026

Lelaki warga Vietnam ditahan disyaki terbabit 200 kes pecah rumah di Jepun


Polis Metropolitan Tokyo menahan seorang lelaki warga Vietnam yang disyaki terbabit dalam rangkaian kes pecah rumah secara besar-besaran di ibu negara dan 10 wilayah lain di Jepun membabitkan 69 juta yen (kira-kira RM1.79 juta), lapor Tokyo Reporter.


Menurut laporan media tempatan, suspek dikenali sebagai Tran Thanh Hai, 31, yang tidak bekerja dan tidak mempunyai kediaman tetap.


Dia dipercayai bertindak sebagai pemandu khas bagi kumpulan penjenayah yang turut dianggotai sekurang-kurangnya tiga lagi lelaki warga Vietnam.


Tran ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes pecah rumah dan mencuri susulan kejadian di sebuah kediaman di Bandar Sanjo, wilayah Niigata pada Oktober tahun lalu yang menyaksikan wang tunai kira-kira 100,000 yen (kira-kira RM2,500) dilarikan.


Ketika disoal siasat, Tran mengaku melakukan perbuatan berkenaan dan memberitahu bahawa dia direkrut menyertai kumpulan itu ketika berada di sebuah premis permainan pachinko.


"Saya direkrut di sebuah premis pachinko di wilayah Gunma oleh seseorang yang menawarkan 'pekerjaan memandu jarak jauh'.


"Saya memandu ke seluruh Jepun dan menerima ganjaran antara 60,000 yen (kira-kira RM1,500) hingga 100,000 yen (kira-kira RM2,500) bagi setiap perjalanan," katanya kepada pegawai penyiasat.


Polis mendapati Tran datang ke Jepun pada 2022 menerusi program latihan teknikal anjuran kerajaan, namun menetap di negara itu secara haram selepas tinggal lebih masa sejak tahun berikutnya.


Pihak berkuasa percaya kumpulan berkenaan aktif menyasarkan dan menceroboh rumah tidak berpenghuni sejak awal Jun tahun lalu.


Kumpulan itu disyaki terbabit dalam lebih 200 kes pecah rumah di Tokyo, Saitama, Chiba, Gunma, Tochigi, Ibaraki, Fukushima, Niigata, Nagano, Yamanashi dan Shizuoka.


Secara keseluruhan, siri kecurian berkenaan mengakibatkan kerugian wang tunai dan barangan berharga yang dianggarkan bernilai 69 juta yen (kira-kira RM1.79 juta).


Polis kini meneruskan siasatan terhadap kes jenayah lain yang mungkin dilakukan kumpulan berkenaan selain aktif mengesan rakan subahat Tran yang masih bebas.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon