Khamis, 15 Oktober 2026

Pemandu BYD didakwa memandu berbahaya sebabkan kematian kanak-kanak perempuan 5 tahun


Pemandu kereta elektrik BYD yang terbabit kemalangan sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak perempuan lima tahun, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini, atas tiga tuduhan termasuk memandu secara berbahaya.


Tertuduh, Raeven Goh Wey Haur, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan dan meminta dibicarakan sebaik dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Aliaa Anwar.


"Tidak mengaku salah," katanya ketika berdiri di dalam kandang tertuduh.


Mengikut tuduhan pertama, Wey Haur yang juga pegawai bank didakwa memandu kereta BYD Seal secara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian Asiah Ahmad Syahir, 5.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Kuching, dari arah pusat bandar menghala ke Segambut, Kuala Lumpur, pada jam 3.44 petang, 10 Oktober lalu.


Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.


Bagi tuduhan kedua, lelaki itu didakwa memandu secara berbahaya di lokasi dan waktu sama, mengikut Seksyen 42(1) APJ, memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun serta denda antara RM5,000 hingga RM15,000, jika sabit kesalahan.


Dia juga didakwa gagal berhenti selepas terbabit kemalangan jalan raya di lokasi dan waktu sama, mengikut Seksyen 52(1) APJ, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 119(2) akta sama.


Jika sabit kesalahan, Wey Haur boleh didenda tidak kurang RM2,000 atau dipenjara maksimum enam bulan.


Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry mencadangkan supaya mengenakan jaminan RM50,000 bagi ketiga-tiga tuduhan.


Beliau turut memohon mahkamah menggantung lesen memandu tertuduh sehingga kes selesai, selaras Seksyen 41(5) APJ, selain pasportnya diserahkan kepada mahkamah.


Sementara itu, peguam bela tertuduh, Kailash Sharma memohon supaya anak guamnya diberikan jaminan minimum mengambil kira keluarganya memberikan kerjasama kepada pihak polis sejak hari kejadian.


Beliau berkata, bapa tertuduh yang berusia 55 tahun dan menjalankan perniagaan selama 26 tahun, dicadangkan sebagai penjamin.


Majistret Aliaa membenarkan Wey Haur diikat jamin RM36,000 bagi ketiga-tiga tuduhan dengan seorang penjamin, dan memerintahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah serta lesen memandu digantung mulai hari ini sehingga kes selesai.


Aliaa juga menetapkan 19 November ini bagi tarikh sebutan untuk serahan dokumen. Prosiding hari ini turut dihadiri ahli keluarga mangsa bersama peguam pemerhati, Nur A'minahtul Mardiah Md Nor.






EmoticonEmoticon