Memaparkan catatan dengan label Kemalangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kemalangan. Papar semua catatan

Jumaat, 27 November 2020

Operator kilang maut, dilanggar pemandu mabuk dari belakang

Operator kilang maut, dilanggar pemandu mabuk dari belakang


Kuala Lumpur: Seorang operator kilang berusia 37 tahun maut selepas motosikalnya dilanggar kereta dari arah belakang dipercayai dipandu lelaki mabuk, di Kilometer 4 Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Kajang dekat sini, awal pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata dalam kejadian jam 1.15 pagi itu, pemandu kereta jenis Mercedes Benz berkenaan dalam perjalanan dari Kajang menghala ke Plaza Tol LEKAS.


"Pemandu berusia 41 tahun itu dikatakan gagal mengawal kenderaan selepas dipercayai memandu dalam keadaan laju dan berada di bawah pengaruh alkohol.


"Ia mengakibatkan kereta itu merempuh sebuah motosikal jenis Modenas dinaiki mangsa dari belakang yang berada di laluan motosikal, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Pemandu berkenaan tidak cedera akibat kemalangan itu. 


"Saksi kejadian memaklumkan kereta itu dipandu dalam keadaan 'zig zag' selepas melepasi Plaza Tol LEKAS sebelum merempuh motosikal mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Mohd Zaid berkata, ujian alkohol dilakukan terhadap pemandu itu mendapati terdapat kandungan arak melebihi paras dibenarkan, manakala ujian saringan air kencing lelaki berkenaan didapati negatif dadah.


Hasil soal siasat dilakukan terhadap pemandu terbabit membawa kepada pengakuan ada minum alkohol sebelum kejadian itu berlaku.


Beliau berkata, dua kenderaan terbabit dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM). Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Selasa, 24 November 2020

Puteri Aishah cedera terpotong jari kelingking

Puteri Aishah cedera terpotong jari kelingking


Kuala Lumpur: Siapa tidak kenal Puteri Aishah, pelakon filem 'Pulang' seorang yang berbakat besar sering jadi buruan peminat dan wartawan. Petang semalam, dia dikabarkan mengalami kecederaan pada bahagian jari kelingking tangan kiri akibat kemalangan, dan dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta.


Mengesahkan kejadian itu, pengurus Puteri Aishah, Iman Tang memaklumkan jari kelingking artis jagaannya itu terkoyak selepas terkena hirisan pisau pada kejadian yang berlaku.


"Ketika kejadian, Puteri mahu memotong buah. Mungkin disebabkan buah terlalu keras dan pisau pula licin, lantas menghiris jari kelingking sebelah kiri hingga terkoyak dan mengalirkan banyak darah.


"Dengan dibantu seorang teman, Puteri kemudiannya di bawa ke sebuah hospital swasta di Ampang untuk mendapatkan rawatan. Mengikut laporan doktor, kecederaan di jarinya agak serius. Untuk mengelakkan kesan jangka panjang, Puteri perlu menjalani pembedahan segera," katanya.


Iman berkata, Puteri kini berada dalam keadaan stabil dan meminta peminat mendoakan kesejahteraannya agar segera sembuh.


"Saya masih belum berkesempatan bertemu dengannya kerana ada urusan ketika kejadian berlaku. Lagipun, waktu melawat sudah tamat. Keadaannya stabil mungkin disebabkan doktor memberi ubat tahan sakit ketika di bilik kecemasan.


"Insya-Allah, esok saya akan melawat Puteri Aishah dan akan maklumkan perkembangan terkini. Mujur, dia baru selesai menjalani penggambaran. Kalau tidak, susah juga. Kepada peminat Puteri, sama-samalah mendoakan supaya dia segera sembuh," katanya.

Ahad, 22 November 2020

Lelaki maut digilis kereta api di Beaufort

Lelaki maut digilis kereta api di Beaufort


Beaufort: Seorang lelaki maut dipercayai digilis kereta api dalam kejadian di Batu 62 1/2, di sini, petang semalam. Kejadian itu disedari oleh pemandu kereta api yang berpatah balik ke Beaufort selepas menurunkan penumpang di stesen Halogilat.


Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 5.20 petang. Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa dikenali sebagai Sabiri Idong, 56, ditemui dalam keadaan kecederaan parah pada leher dan dada.


Polis menerima laporan kejadian daripada pemandu kereta api Johan James, 47, pada 5.20 petang hari kejadian yang mendakwa tidak menyedari berlaku kemalangan hinggalah dimaklumkan oleh ketua stesen.


"Pemandu terbabit memberitahu, dia dimaklumkan Ketua Stesen Keretapi Beaufort bahawa terdapat satu mayat ditemui di landasan dipercayai digilis kereta api.


"Mayat itu ditemui seorang lagi pemandu kereta api dari Stesen Beaufort ke Stesen Halogilat pada kira-kira 1.30 tengah hari dan selepas menurunkan penumpang, dia berpatah balik ke Beaufort dan tiba di stesen itu kira-kira 3 petang," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Azmir berkata, mangsa yang parah di bahagian leher dan dada disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat dibawa ke Hospital Beaufort untuk di bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Khamis, 19 November 2020

Cari paku aji, lelaki maut jatuh gaung ketika daki gunung

Cari paku aji, lelaki maut jatuh gaung ketika daki gunung


Baling: Seorang lelaki yang mendaki gunung maut selepas terjatuh dari cerun setinggi kira-kira 100 meter di Gunung Gua Sireh, Baling, pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, Amir Hakimi Md Ali, 22, dari Kampung Padang Che Mas, Pulai dekat ini, bersama sepupunya memanjat gunung tersebut untuk mencari pokok paku aji yang tumbuh di celahan batu gunung.

Menurut Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.

"Mangsa pergi ke kawasan gunung itu untuk mencari pokok tersebut kira-kira pukul 10 pagi, mangsa kemudian dipercayai terjatuh pada ketinggian 100 meter kira-kira sejam kemudian dan dia disahkan maut di lokasi kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulim (HK) untuk bedah siasat. Kes diklafisikasi sebagai mati mengejut dan tidak ada unsur jenayah," katanya di sini.

Mangsa memperoleh pendapatan dengan menjual pokok berkenaan bagi menampung perbelanjaan keluarga.

Sementara itu, ibu saudara mangsa, Siti Bunga Ayob, 55, berkata, mangsa sering menaiki gunung tersebut untuk mendapatkan pokok paku aji yang cantik dan tinggi nilainya.

Tambahnya, perubahan terakhir arwah apabila dia menyatakan tidak mahu lagi memanjat gunung itu dan hari ini merupakan kali terakhir dia berbuat demikian.

Selasa, 17 November 2020

Pemandu Myvi maut kereta terbabas dalam gaung

Pemandu Myvi maut kereta terbabas dalam gaung


Kluang: Seorang lelaki yang memandu Perodua Myvi terbabas ke dalam gaung sedalam kira-kira tiga meter di Kilometer 85.5 Jalan Kota Tinggi- Kluang, tengah malam tadi. Mangsa telah di hantar ke hospital sebelum disahkan mati.


Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner, Low Hang Seng berkata, Hairul Hilman Rizal, 22, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Wad Kecemasan Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini, kira-kira jam 8.20 pagi tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu turut menyebabkan rakannya yang berumur 21 tahun cedera ringan.


"Siasatan mendapati kereta dinaiki mangsa dari arah Kota Tinggi ke Bandar Kluang itu terbabas selepas pemandu hilang kawalan.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan punca kemalangan dipercayai berlaku akibat daripada pemandunya hilang kawalan," katanya melalui kenyataan kepada media hari ini.


Sumber: Harian Metro

Ahad, 15 November 2020

Kanak-kanak maut tertusuk pisau pada malam Deepavali

Kanak-kanak maut tertusuk pisau pada malam Deepavali


Sitiawan: Seorang budak lelaki 7 tahun dilaporkan maut akibat tertusuk pisau pada malam Deepavali di sebuah rumah di Taman Cempaka, Kampung Koh dekat sini, pada kelmarin.


Dalam kejadian pada 10.20 malam itu, mangsa, J Adithiyan, 7, dilaporkan tertusuk pisau di dadanya ketika berada di rumah ibu saudaranya.


Difahamkan, ketika kejadian mangsa dikatakan berlari masuk ke dalam rumah dan terlanggar sepupunya berusia 11 tahun yang sedang memegang pisau dan secara tidak sengaja tertusuk pisau di dada.


Mangsa yang dibawa ke Hospital Seri Manjung kemudian disahkan meninggal dunia.


Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan proses bedah siasat dijalankan hari ini.


Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi ketika dihubungi mengesahkan kejadian. Katanya, kes masih dalam siasatan dan pihaknya masih menunggu laporan penuh kes berkenaan. 

Sabtu, 14 November 2020

Posmen maut terlanggar lori, isteri sarat hamil anak pertama

Posmen maut terlanggar lori, isteri sarat hamil anak pertama


Kuala Lumpur: Tular di laman media Facebook, seorang Posmen yang menaiki motosikal terlibat dalam satu kemalangan, barangan yang sepatutnya dihantar bersepah di tengah jalan. Mangsa tersebut dikatakan maut di tempat kejadian Kilometer 301.1 Lebuhraya KL-Seremban menghala utara, semalam.


Dalam kejadian 11.30 pagi itu, mangsa Muhammad Radzi, 28, terlanggar bucu lori dan meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah. Menerusi salah satu komen, dikatakan isteri mangsa kini sedang sarat hamil dan hanya menanti masa untuk bersalin anak pertama mereka.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, mangsa yang maut menaiki motosikal jenis Modenas.


"Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang di lorong kecemasan terlanggar bucu sebelah kanan sebuah lori yang mengalami masalah enjin dan sedang bergerak perlahan dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun.


"Lori yang mengalami masalah kerosakan enjin itu turut menyalakan lampu kecemasan, juga berada di lorong kecemasan.


"Ketika kejadian mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan menghantar barangan PosLaju di kawasan Bandar Seri Mahkota, Bangi," katanya.


Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala, tangan dan peha patah serta meninggal dunia di tempat kejadian. Jenazah dihantar ke Unit Forensik Hospital Serdang dan bedah siasat dilakukan hari ini.


Sementara itu, kenderaan yang terbabit dalam kemalangan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan Puspakom. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987.

Jumaat, 13 November 2020

Lelaki larikan kenderaan Nissan Navara ditemui mati reput dalam ladang sawit

Lelaki larikan kenderaan Nissan Navara ditemui mati reput dalam ladang sawit


Hulu Terengganu: Mayat seorang lelaki berusia 31 tahun ditemui di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Cherang Nibong di Ajil dekat sini, hari ini. Mayat lelaki berkenaan dipercayai sudah meninggal dunia sejak tiga minggu lalu.


Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, seorang penternak lembu, Yusoff Mat Nih, 60, yang sedang mencari haiwan ternakannya terkejut dengan penemuan satu mayat sudah reput di tempat duduk pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara. 


Menurut Yusoff, dia terpanggil untuk menghampiri kenderaan itu berikutan curiga dengan kedudukannya yang tidak berubah sejak kali pertama dilihat pada petang Selasa lalu.


"Pada mulanya saya sangka mangsa berehat dalam kereta tetapi petang tadi, saya dapati kenderaan dan mangsa masih berada di tempat sama jadi saya cuba mengampirinya.


"Saya terkejut melihat lelaki dihurung lalat dan segera maklumkan kepada orang kampung dan menghubungi pihak polis," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superitenden Mohd. Adli Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat tersebut kira-kira pukul 5 petang.


Beliau berkata, si mati ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap dan dompet abang iparnya juga ditemui di dalam kenderaan pacuan empat roda tersebut.


"Mangsa didapati melarikan kenderaan pacuan empat roda itu tiga minggu lalu ketika dibawa abang iparnya ke Balai Polis Ajil berhubung kes dadah," katanya.


Menurut Mohd. Adli, mayat mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kematian. Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Khamis, 12 November 2020

Pandu kereta lawan arus, sebabkan kemalangan suspek ditahan

Pandu kereta lawan arus, sebabkan kemalangan suspek ditahan


Tapah: Tindakan berbahaya seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun, memandu kereta Perodua Axia secara melawan arus di Lebuhraya PLUS semalam menyebabkan kemalangan, membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah treler. 


Video yang dirakam saksi berdurasi 16 saat tular di Facebook, menunjukkan Axia tersebut dipandu secara melawan arus sebelum bertembung dengan kereta Toyota Rush. Sebuah lori yang berada di lorong kiri tidak sempat mengelak lalu merempuh kedua-dua kereta itu kira-kira jam 6.06 petang.


Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati, lelaki itu yang dalam perjalanan dari Klang menghala ke Bidor.


"Bagaimanapun tiba di susur masuk Sungkai, suspek bertindak berpatah balik dipercayai mahu lari dari sekatan jalan raya di tol berkenaan.


"Lelaki itu memandu di lorong kanan secara melawan arus sejauh 1.4 kilometer dari susur masuk tol Sungkai sehingga Kilometer 355.4 lebuh raya tersebut," katanya.



Menurutnya, tiba di lokasi berkenaan, sebuah kereta jenis Toyota Rush yang berada di lorong kanan dan treler muatan mesin sarung tangan di lorong kiri lebuh raya tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan kenderaan suspek.


"Pertembungan menyebabkan kereta Toyota Rush dipandu lelaki berusia 25 tahun berpusing beberapa kali, namun tiada sebarang kecederaan berlaku," katanya.


Beliau berkata, semakan lanjut kemudiannya mendapati, suspek baru sahaja selesai membuat ujian pengesanan koronavirus (Covid-19) di Klang dan mahu pulang ke kampungnya di Bidor sempena cuti Deepavali.


Katanya, suspek telah ditahan di kediamannya di Bidor kira-kira jam 11 pagi tadi bagi membantu siasatan.

Ahad, 8 November 2020

Nahas helikopter, mangsa dikenal pasti

Nahas helikopter, mangsa dikenal pasti


Ampang: Polis sudah mengenal pasti identiti empat mangsa yang terbabit dalam kejadian kemalangan helikopter yang menyebabkan satu helikopter terhempas di Taman Melawati di sini, hari ini.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, mangsa yang maut adalah Mohamed Sabri Baharom, 56, dan Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, 44.


Menurutnya, dua lagi penumpang yang selamat dikenali sebagai Datuk Ahmad Jauhari Yahya, 66, dan Tan Chai Eian, 51.


"Polis kini sedang menyiasat kemungkinan ada penumpang lain yang terbabit dalam kejadian ini.


"Dua helikopter ini daripada syarikat yang sama dan dipercayai dalam penerbangan dari Subang menuju ke Genting Sempah," katanya dalam sidang media di lokasi.


Beliau berkata, siasatan polis setakat ini memfokuskan kepada punca kematian.


Katanya, punca kemalangan membabitkan dua helikopter akan dijalankan Jabatan Penerbangan Awam (DCA).


Sumber: Harian Metro

Selasa, 3 November 2020

Bertembung lori balak dua pelajar menaiki motosikal maut

Bertembung lori balak dua pelajar menaiki motosikal maut

 

Bentong: Dua sahabat baik yang dalam perjalanan ke sekolah maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori balak di Kilometer 26 Jalan Utama Felda Mempaga di sini hari ini.


Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 pagi (02/11/2020), penunggang motosikal Modenas Kriss, Muhammad Fikrie Mohd. Azhari,15, meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemboncengnya, Muhammad Haziq Iskandar Khairul Amir, 15, meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Mempaga. 


Ketua Polis daerah, Superintenden Yusof Unis berkata, semasa kejadian kedua-dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sertik itu dalam perjalanan dari Felda Mempaga ke Sertik.


"Apabila sampai di tempat kejadian selepas selekoh dipercayai penunggang motosikal hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan mengakibatkan berlaku pelanggaran dengan lori yang datang dari arah hadapan.


"Akibat kemalangan tersebut penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng dibawa menerima rawatan di klinik kesihatan berhampiran,” katanya di sini hari ini.


Tambah Yusof, pembonceng motosikal dilaporkan meninggal dunia kira-kira pukul 10 pagi ketika mendapat rawatan di Klinik Mempaga.


Beliau berkata, kes di siasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih giat dilakukan.