Ahad, 2 Jun 2024

Pembinaan Menara Jeddah setinggi 1 kilometer disambung semula, siap menjelang 2029

Pembinaan Menara Jeddah setinggi 1 kilometer disambung semula, siap menjelang 2029


Sebuah projek bagi membina bangunan tertinggi di dunia dijangka disambung se­mula selepas kerja pembinaannya terhenti enam tahun lalu, lapor akhbar The Sun pada 31 Mei 2024.


Bangunan pencakar langit setinggi 1 kilometer di bandar pelabuhan Arab Saudi, Jeddah itu semakin hampir menjadi kenyataan menjelang akhir dekad ini.


Menara Jeddah itu telah lama dinanti-nantikan. Struktur tersebut bakal menggantikan Burj Khalifa setinggi 830 meter yang terletak di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu sebagai bangunan tertinggi di dunia.


Projek menara Jeddah bermula lebih sedekad lalu tetapi terhenti pada tahun 2018 berikutan usaha untuk menghapuskan gejala rasuah dalam kerajaan Arab Saudi.


Tokoh-tokoh penting berkaitan projek itu telah ditangkap pada akhir tahun 2017, manakala pandemik ­Covid-19 turut menambahkan lagi kelewatan pembinaannya.


Firma Seni Bina Andrian Smith dan Gordon Gill yang membina bangunan pencakar langit itu memberitahu Architectural Digest: "Reka bentuk untuk Menara Jeddah berakar umbi pada simbolisme Arab Saudi sambil melihat ke arah masa depan dan memperlihatkannya dari sudut teknologi."


Apabila siap, bangunan pencakar langit futuristik itu ditetapkan untuk menjadi bangunan pertama yang pernah dibuat dengan ketinggian lebih daripada satu kilometer. - Sumber The Sun.


Rupa bentuk Menara Jeddah apabila siap sepenuhnya. - Foto Firma Seni Bina Adrian Smith dan Gordon Gill.

Jumaat, 31 Mei 2024

Cuaca panas ekstrem landa India, suhu cecah 52.3 darjah Celsius ragut puluhan nyawa

Cuaca panas ekstrem landa India, suhu cecah 52.3 darjah Celsius ragut puluhan nyawa


India kini dicengkam gelombang haba luar biasa ketika fenomena El Nino diramalkan beralih pada fasa neutral pada hujung pertengahan tahun ini.


Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak berkuasa India bertindak mengeluarkan amaran kesihatan kerana bimbang keadaan itu berpotensi meragut nyawa.


Malah suhu di ibu negara India, New Delhi melonjak ke paras tertinggi sepanjang masa pada Rabu.


"Stesen cuaca Mungeshpur di Delhi pada Rabu merekodkan suhu maksimum 52.3 darjah Celsius. Ini adalah suhu maksimum tertinggi di Delhi setakat ini," kata pegawai di Jabatan Meteorologi India, Kuldeep Srivastava, lapor Agensi Anadolu.


Suhu tertinggi pernah direkodkan di Delhi ialah 45.6 darjah Celsius pada 29 April 1941.


Beberapa bandar lain di India pada Selasa turut mencatat suhu melebihi 49 darjah Celsius dengan Churu di negeri Rajasthan barat mencapai 50.5 darjah Celsius.


Jabatan Meteorologi India berkata, 'gelombang haba kepada keadaan gelombang haba teruk' dijangka berkurangan secara beransur-ansur di Barat Laut dan Tengah India mulai Khamis.


Gelombang haba telah menjejaskan perniagaan ternakan ayam di beberapa tempat, dengan ayam pedaging mati dalam suhu panas terik.


Disebabkan peningkatan suhu, Leftenan Gabenor New Delhi, Vinai Kumar Saxena pada Rabu menggesa kerajaan mengambil tindakan segera untuk melindungi buruh dengan peraturan seperti menyediakan air dan kawasan teduh di tapak pembinaan, selain cuti berbayar buat pekerja pada tengah hari hingga 3 petang.


Seorang anggota Pasukan Keselamatan Sempadan (BSF) yang bertugas di Rajasthan di sempadan India-Pakistan meninggal dunia akibat strok haba.


Gelombang haba telah meragut puluhan nyawa dalam beberapa hari kebelakangan ini di pelbagai bahagian di India.


India tidak asing dengan musim suhu panas melampau, namun penyelidikan saintifik dijalankan berulang kali mendapati perubahan iklim menyebabkan gelombang haba menjadi lebih lama, lebih kerap dan terik.


Seorang kakitangan hospital mencurah air di muka pesakit yang mengalami strok haba di hospital kerajaan di New Delhi. - Foto AFP.

Khamis, 30 Mei 2024

Beruang masuk beberapa rumah curi biskut jenama Oreo

Beruang masuk beberapa rumah curi biskut jenama Oreo


Seekor beruang dirakam memecah masuk ke dalam sebuah rumah dan mencuri sebungkus biskut jenama Oreo, lapor agensi United Press International pada 29 Mei 2024.


Kejadian itu berlaku pada hari Jumaat, 24 Mei, di kawasan kejiranan Canyon Crest Drive di Monrovia, California.


Kini penduduk telah memberinya nama panggilan yang sesuai Oreo.


Rakaman memaparkan aksi beruang tersebut yang memasuki rumah berkenaan melalui tingkap.



Tidak lama kemudian, ia keluar dengan satu bungkusan biskut Oreo yang digonggong di mulutnya.


Jiran pemilik rumah itu, Vina Khoury berkata, beruang yang dinamakan Oreo oleh penduduk setempat itu juga pernah memasuki garajnya.


Lebih mengejutkan apabila Oreo hanya mencuri kek coklat daripada peti sejuk.


"Saya rasa kami tidak boleh membiarkan tingkap terbuka kerana beruang ini akan masuk. Hal ini sedikit membimbangkan saya," kata Khoury kepada stesen penyiaran KABC-TV. - Sumber UPI.


Tangkap layar beruang yang memecah masuk sebuah rumah dan mencuri sebungkus biskut Oreo. - Foto NBC.

Rabu, 29 Mei 2024

Jepun berjaya bina satelit kayu pertama di dunia, dilancar ke angkasa lepas September depan

Jepun berjaya bina satelit kayu pertama di dunia, dilancar ke angkasa lepas September depan


Penyelidik Jepun pada Selasa berkata mereka telah berjaya membina satelit kayu pertama di dunia, dengan objek berbentuk kiub kecil itu dijangka dihantar ke angkasa lepas menggunakan roket SpaceX yang dilancarkan dari Amerika Syarikat, kemungkinan pada September, lapor Agensi Berita Kyodo, semalam.


'LignoSat' gabungan perkataan ligno, awalan yang bermaksud kayu dan satelit, adalah hasil usaha pembangunan selama kira-kira empat tahun oleh sebuah pasukan yang melibatkan Universiti Kyoto dan Sumitomo Forestry Co., bertujuan memanfaatkan kelebihan kayu yang mesra alam sekitar dan kos yang rendah dalam pembangunan angkasa lepas.


Satelit kayu dilihat sebagai lebih baik untuk alam sekitar apabila terbakar semasa memasuki semula atmosfera Bumi pada akhir operasinya, berbanding satelit konvensional yang dibuat daripada logam, kerana ia boleh mencipta zarah alumina, yang boleh memberi kesan negatif terhadap cuaca dan komunikasi, menurut pasukan itu.


LignoSat adalah kiub berukuran 10 sentimeter yang dibuat daripada panel kayu magnolia setebal 4 hingga 5.5 milimeter, dengan rangka sebahagiannya dibina daripada aluminium. Ia mempunyai panel solar yang dilekatkan pada beberapa sisi dan berat kira-kira satu kilogram.



Ia dibina berdasarkan teknik tradisional Jepun yang tidak menggunakan sebarang skru atau bahan pelekat.


Pasukan tersebut menyatakan bahawa mereka telah mengesahkan ketahanan bahan kayu itu walaupun dalam persekitaran yang keras di angkasa lepas.


"Kami ingin mencipta satelit, termasuk bahagian substrat elektronik (yang terkandung di dalamnya), sepenuhnya diperbuat daripada kayu pada masa hadapan," kata Takao Doi, seorang angkasawan yang berkhidmat sebagai profesor khusus program di Universiti Kyoto.


Satelit itu akan diserahkan kepada Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun pada 4 Jun. Ia akan dilancarkan dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida, menuju ke Stesen Angkasa Antarabangsa.


Ia akan dilepaskan ke angkasa lepas kira-kira sebulan selepas tiba di makmal orbit, menurut siaran akhbar. Pasukan itu merancang untuk meneroka potensi kayu dengan menganalisis data yang dihantar dari satelit baharu itu, kata mereka. - Sumber Kyodo News.


Prototaip satelit kayu dibangunkan Universiti Kyoto dan Sumitomo Forestry Co. - Foto The Asahi Shimbun.

Selasa, 28 Mei 2024

Dipercayai lemas terhidu asap, 6 kucing mati ketika kebakaran 4 rumah

Dipercayai lemas terhidu asap, 6 kucing mati ketika kebakaran 4 rumah


Enam kucing peliharaan mati dipercayai lemas terhidu asap ketika empat rumah di Jalan Pantai Mereka, Taman Seri Kota Kuala Muda, terbakar, petang tadi.


Pasukan Bomba sudah berusaha menyelamatkan nyawa kucing berkenaan dengan memberi rawatan awal namun selepas itu kesemua mereka akhirnya mati.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Syukri Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 5.53 petang.


Menurutnya, sepasukan anggota dari BBP Tikam Batu yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mihat Jaafar tiba di lokasi tidak lama kemudian.


"Operasi turut disertai BBP Kota Kuala Muda, BBP Sungai Petani, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Petani dan Bakar Arang.


"Setibanya di lokasi, didapati empat rumah kelas A sedang terbakar dan operasi pemadaman sedang dilakukan ketika itu.


"Api berjaya dikawal pada jam 6.36 petang dari merebak ke rumah lain" katanya dalam kenyataan hari ini.


Muhammad Syukri berkata, anggaran peratus kebakaran empat rumah terbabit sekitar 10 hingga 85 peratus.


Bagaimanapun katanya, punca dan kerugian masih dalam siasatan bomba ketika ini. - Sumber Harian Metro.


Anggota Bomba memberi rawatan awal terhadap beberapa kucing yang kemudian mati akibat lemas dipercayai terhidu asap. - Foto Bomba.

Isnin, 27 Mei 2024

Isteri hilang sabar tamatkan riwayat suami miliki 5 kekasih gelap

Isteri hilang sabar tamatkan riwayat suami miliki 5 kekasih gelap


Seorang isteri di wilayah Lampang, Thailand menikam suaminya hingga mati selepas hilang sabar dengan sikap lelaki berkenaan yang berlaku curang bersama lima wanita lain, lapor laman berita Asean Now pada 22 Mei 2024.


Suspek yang dikenali sebagai Porn Kruathanu, 62, memukul kepala suaminya, Dech Kruathanu, 63, menggunakan tukul sebelum menikam mangsa.


Polis berkata, sejurus anggota-anggotanya tiba di lokasi kejadian iaitu rumah pasangan tersebut di daerah Bo Haeo, mereka menemui mayat mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah.


Suspek tidak melarikan diri, sebaliknya dengan tenang menunggu polis di dalam rumah mereka.


Siasatan awal mendapati suspek mengaku bahawa rumah tangga mereka bermasalah dan pasangan berkenaan kerap bertengkar disebabkan kecurangan Dech.


Wanita itu turut berkata, si suami cuba menyerangnya terlebih dahulu, menyebabkan dia terpaksa memukul kepala mangsa dengan tukul.


Mangsa kemudian berlari ke luar rumah dan rebah di jalan raya, di mana suspek mengekorinya kemudian menikam mangsa.


Insiden mengejutkan itu telah menyerlahkan isu dalam rumah tangga mereka, tetapi polis menegaskan bahawa siasatan sedang dijalankan untuk menentukan motif penuh di sebalik pembunuhan itu.


Siasatan itu bertujuan untuk mengetahui sama ada faktor asas lain menyumbang kepada kejadian tragis ini. - Sumber Asean Now.


Suspek menikam mangsa selepas memukul kepalanya menggunakan tukul. - Foto Asean Now.

Ahad, 26 Mei 2024

Objek pelik jatuh dari angkasa ditemui di kawasan pergunungan

Objek pelik jatuh dari angkasa ditemui di kawasan pergunungan


Seorang penyenggara menemui sebuah objek berbentuk aneh dipercayai dari angkasa lepas, di sepanjang satu laluan terpencil di pergunungan Carolina Utara, Amerika Syarikat, lapor portal berita New York Post pada 25 Mei 2024.


Justin Clontz dan rakan sekerjanya mengendalikan kerja-kerja penyelenggaraan di sekitar Glamping Collective iaitu tapak perkhemahan mewah di daerah Haywood. Mereka terkejut apabila menemui objek besar itu.


"Ia berlaku sekali dalam seumur hidup anda. Ia tidak berlaku pada setiap hari," kata Clontz kepada saluran televisyen WLOS.


Objek aneh itu diselaputi gentian karbon yang terbakar, kira-kira setebal 2.54 sentimeter dan hampir 1.21 meter tinggi, demikian menurut WLOS.



Kedua-dua lelaki itu mengalihkan objek berat tersebut dengan mengikatnya pada mesin pemotong rumput.


Walaupun objek itu mempunyai kesan terbakar, Clontz berkata, kawasan di sekitarnya tidak menunjukkan sebarang kesan kerosakan sekali gus menimbulkan lebih banyak persoalan tentang bagaimana kepingan logam misteri itu berada jauh di dalam hutan.


Clontz berkata tiada sesiapa di tapak glamping yang dilaporkan mendengar sebarang bunyi luar biasa.


Serpihan hangus yang kelihatan serupa ditemui di ladang petani di Saskatchewan, Kanada, pada bulan Februari lalu.


Pakar membuat spekulasi objek itu mungkin jatuh ke bumi dari kapal angkasa Crew Dragon SpaceX, menurut Space.com.


Pun begitu, SpaceX tidak mengesahkan sama ada objek yang ditemui di Kanada adalah dari kraf mereka. - Sumber New York Post.


Objek ganjil yang ditemui di tapak perkemahan mewah di daerah Haywood, California. - Foto YouTube/WLOS News 13.

Sabtu, 25 Mei 2024

Pertama kali dalam sejarah, ikan laut dalam bergigi tajam terdampar di pantai Oregon

Pertama kali dalam sejarah, ikan laut dalam bergigi tajam terdampar di pantai Oregon


Seekor spesies ikan laut dalam yang sukar ditemui terdampar di pantai Oregon buat pertama kali dalam sejarah, lapor laman berita Fox News pada 21 Mei 2024.


Menurut Akuarium Seaside yang terletak di bandar Seaside, ikan dikenali sebagai 'footballfish' itu ditemui pada 18 Mei lalu oleh seorang penduduk tempatan berhampiran Pantai Cannon.


"Ia hidup dalam kegelapan sepenuhnya, pada kedalaman antara 609 hingga 1,005 meter. Ikan ini jarang dilihat," jelas pusat akuarium tersebut.


"Malah, hanya 31 spesimen telah direkodkan di seluruh dunia," tambahnya lagi.



Pusat akuarium itu memberitahu saluran berita Fox News Digital bahawa penemuan spesies tersebut merupakan kali ke-32 yang pernah dilihat oleh manusia.


Penemuan ikan berkenaan sebelum ini direkodkan di New Zealand, Jepun, Russia, Hawaii, Ecuador, Chile dan California. Namun, ia merupakan penemuan pertama di pantai negeri Oregon.


Dalam pada itu, Akuarium Seaside berkata, pakarnya tidak pasti faktor ikan itu terdampar di tepi pantai. - Sumber Fox News.


Footballfish Pasifik yang hidup di kedalaman antara 609 hingga 1,005 meter, di mana cahaya matahari tidak menembusi. - Foto Seaside Aquarium via Facebook.

Jumaat, 24 Mei 2024

Bulu burung cipta rekod paling mahal di dunia selepas dijual pada harga RM133,739

Bulu burung cipta rekod paling mahal di dunia selepas dijual pada harga RM133,739


Sehelai bulu Burung Huia New Zealand yang kini sudah pupus, mencipta rekod dunia selepas dijual pada harga NZ$46,521.50 (kira-kira RM133,739.71) dalam satu lelongan, baru-baru ini, lapor laman berita BBC News pada 22 Mei 2024.


Bulu burung itu pada mulanya dijangka mencecah harga jualan lelong sehingga AS$3,000 (kira-kira RM14,150.28), namun memecahkan rekod sebelumnya iaitu untuk bulu spesis yang sama sebanyak 450 peratus, kata Rumah Lelongan Webb.


Burung huia adalah suci kepada orang Māori. Bulu burung itu sering dipakai sebagai penutup kepala oleh ketua dan keluarga mereka selain turut menjadi barangan yang dihadiahkan atau diperdagangkan.


Penampakan terakhir burung huia yang disahkan adalah pada tahun 1907, tetapi penampakan yang tidak disahkan dilaporkan selama 20 hingga 30 tahun selepas itu, menurut Muzium New Zealand.



Huia ialah burung penyanyi kecil dari keluarga burung wattlebird di New Zealand dan terkenal dengan kebolehan melompat, dan memiliki bulu yang cantik berbeza dengan hujungnya berwarna putih.


Bulu burung yang dijual pada Isnin itu adalah "dalam keadaan yang indah", kata Ketua Seni Hiasan di Rumah Lelongan Webb, Leah Morris


"Ia masih mempunyai kilauan yang sangat jelas, dan tiada kerosakan serangga," katanya kepada BBC.


Dia menambah bahawa rumah lelongan itu membingkai item itu di sebalik kaca pelindung dan dengan kertas arkib, yang bermaksud ia akan mempunyai "hidup yang sangat panjang".


Bulu burung itu didaftarkan sebagai 'taonga asli' di bawah sistem untuk melindungi objek buatan Maori.


Hanya pengumpul yang mempunyai lesen dalam sistem dibenarkan membelinya, dan seseorang pengumpul itu tidak boleh meninggalkan negara tanpa kebenaran daripada Kementerian Kebudayaan dan Warisan. - Sumber BBC News.


Bulu Burung Huia itu dijual oleh Rumah Lelongan Webb. - Foto Rumah Lelongan Webb.
Melutut minta maaf, anak hina bapa di khalayak ramai tidak membelikannya iPhone

Melutut minta maaf, anak hina bapa di khalayak ramai tidak membelikannya iPhone


Perbuatan seorang gadis yang sanggup memalukan bapa sendiri di khalayak ramai hanya kerana tidak membelikannya telefon pintar iPhone menjadi tular di media sosial, lapor akhbar South China Morning Post pada 22 Mei 2024.


Rakaman kejadian dimuat naik oleh seorang pejalan kaki bernama Zhong yang berada di lokasi kejadian sekitar Taiyuan, wilayah Shanxi pada 4 Mei lalu.


Zhong berkata, perbualan dua beranak itu sangat kuat sehingga dia mendengar jelas butirannya.


Gadis itu menjerit sambil menghina bapa kandungnya. Dia berbuat demikian kerana lelaki itu gagal memenuhi permintaannya untuk memiliki iPhone seperti rakan-rakan lain.


"Ibu bapa lain boleh membelikan anak mereka iPhone. Kenapa awak tak ada duit?," kata gadis itu.


Si bapa melutut sambil menggelengkan kepala dan meminta maaf kepada anaknya kerana gagal menunaikan permintaan itu. 


Rata-rata netizen mengecam tindakan gadis itu, namun ada yang mengkritik lelaki itu kerana gagal mendidik anak perempuannya dengan wajar.


"Anak-anak terlalu mementingkan keselesaan sendiri tetapi tidak menghiraukan kesusahan ibu bapa. Ini adalah tragedi dalam masyarakat hari ini!" kata seorang netizen.


Insiden ibu bapa atau datuk nenek terlalu memanjakan anak-anak mereka sering menjadi tajuk utama di tanah besar China.


Pada 2019, seorang budak lelaki berusia 10 tahun di wilayah Jiangxi timur menarik rambut ibunya dengan kuat apabila ibunya enggan membelikannya mainan di pusat membeli-belah.


Tahun lepas, seorang remaja lelaki menendang dan memukul neneknya selepas dia menyuruhnya berhenti bermain permainan mudah alih dan menyerahkan semula gajet itu kepadanya. - Sumber South China Morning Post.


Tangkap layar gadis itu memarahi ayahnya yang tidak membelikannya Iphone. - Foto BAIDU.