Isnin, 27 Mei 2024

Isteri hilang sabar tamatkan riwayat suami miliki 5 kekasih gelap


Seorang isteri di wilayah Lampang, Thailand menikam suaminya hingga mati selepas hilang sabar dengan sikap lelaki berkenaan yang berlaku curang bersama lima wanita lain, lapor laman berita Asean Now pada 22 Mei 2024.


Suspek yang dikenali sebagai Porn Kruathanu, 62, memukul kepala suaminya, Dech Kruathanu, 63, menggunakan tukul sebelum menikam mangsa.


Polis berkata, sejurus anggota-anggotanya tiba di lokasi kejadian iaitu rumah pasangan tersebut di daerah Bo Haeo, mereka menemui mayat mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah.


Suspek tidak melarikan diri, sebaliknya dengan tenang menunggu polis di dalam rumah mereka.


Siasatan awal mendapati suspek mengaku bahawa rumah tangga mereka bermasalah dan pasangan berkenaan kerap bertengkar disebabkan kecurangan Dech.


Wanita itu turut berkata, si suami cuba menyerangnya terlebih dahulu, menyebabkan dia terpaksa memukul kepala mangsa dengan tukul.


Mangsa kemudian berlari ke luar rumah dan rebah di jalan raya, di mana suspek mengekorinya kemudian menikam mangsa.


Insiden mengejutkan itu telah menyerlahkan isu dalam rumah tangga mereka, tetapi polis menegaskan bahawa siasatan sedang dijalankan untuk menentukan motif penuh di sebalik pembunuhan itu.


Siasatan itu bertujuan untuk mengetahui sama ada faktor asas lain menyumbang kepada kejadian tragis ini. - Sumber Asean Now.


Suspek menikam mangsa selepas memukul kepalanya menggunakan tukul. - Foto Asean Now.


EmoticonEmoticon