Ahad, 26 Mei 2024

Objek pelik jatuh dari angkasa ditemui di kawasan pergunungan


Seorang penyenggara menemui sebuah objek berbentuk aneh dipercayai dari angkasa lepas, di sepanjang satu laluan terpencil di pergunungan Carolina Utara, Amerika Syarikat, lapor portal berita New York Post pada 25 Mei 2024.


Justin Clontz dan rakan sekerjanya mengendalikan kerja-kerja penyelenggaraan di sekitar Glamping Collective iaitu tapak perkhemahan mewah di daerah Haywood. Mereka terkejut apabila menemui objek besar itu.


"Ia berlaku sekali dalam seumur hidup anda. Ia tidak berlaku pada setiap hari," kata Clontz kepada saluran televisyen WLOS.


Objek aneh itu diselaputi gentian karbon yang terbakar, kira-kira setebal 2.54 sentimeter dan hampir 1.21 meter tinggi, demikian menurut WLOS.



Kedua-dua lelaki itu mengalihkan objek berat tersebut dengan mengikatnya pada mesin pemotong rumput.


Walaupun objek itu mempunyai kesan terbakar, Clontz berkata, kawasan di sekitarnya tidak menunjukkan sebarang kesan kerosakan sekali gus menimbulkan lebih banyak persoalan tentang bagaimana kepingan logam misteri itu berada jauh di dalam hutan.


Clontz berkata tiada sesiapa di tapak glamping yang dilaporkan mendengar sebarang bunyi luar biasa.


Serpihan hangus yang kelihatan serupa ditemui di ladang petani di Saskatchewan, Kanada, pada bulan Februari lalu.


Pakar membuat spekulasi objek itu mungkin jatuh ke bumi dari kapal angkasa Crew Dragon SpaceX, menurut Space.com.


Pun begitu, SpaceX tidak mengesahkan sama ada objek yang ditemui di Kanada adalah dari kraf mereka. - Sumber New York Post.


Objek ganjil yang ditemui di tapak perkemahan mewah di daerah Haywood, California. - Foto YouTube/WLOS News 13.


EmoticonEmoticon