Selasa, 14 Julai 2026

Tetamu majlis kahwin merusuh, berang hidangan kambing diganti dengan ayam


Sebuah majlis perkahwinan di daerah Saharsa, Bihar, India bertukar kecoh apabila berlaku pergaduhan antara keluarga pengantin lelaki dan perempuan yang dipercayai berpunca daripada pertikaian mengenai menu hidangan.


Kejadian berlaku di bandar Simri Bakhtiyarpur apabila tetamu daripada pihak pengantin lelaki mendakwa mereka dijanjikan hidangan daging kambing, namun hanya disajikan hidangan ayam.


Pertikaian itu kemudian menjadi pergaduhan apabila kedua-dua pihak berbalas serangan menggunakan kayu dan batang besi, lapor media tempatan.


Sekurang-kurangnya 12 individu dilaporkan cedera dalam kejadian itu dan menerima rawatan di Hospital Sub-Divisional Simri Bakhtiyarpur.


Menurut laporan, majlis akad nikah antara Chand dengan anak perempuan Moto berlangsung pada petang Khamis dalam keadaan aman.


Namun, keadaan menjadi tegang ketika jamuan selepas majlis apabila tetamu daripada pihak pengantin lelaki mendakwa hidangan yang disediakan tidak menepati janji asal.


Pertengkaran mulut antara tetamu dan tuan rumah kemudian bertukar menjadi pergaduhan fizikal.


Rakaman video kejadian yang tular di media sosial menunjukkan beberapa individu dilihat memukul tetamu menggunakan kayu, manakala seorang lagi didakwa mengacukan pedang ketika kekecohan berlaku.


Polis yang tiba di lokasi berjaya mengawal keadaan dan membuka kertas siasatan berhubung kejadian berkenaan.


Bagaimanapun, pihak berkuasa memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar pergaduhan termasuk sebab hidangan daging kambing ditukar kepada ayam serta sama ada tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap individu terbabit.


Pertikaian berkaitan makanan dalam majlis perkahwinan bukan perkara asing di beberapa kawasan di India, terutama apabila majlis besar lazimnya menghimpunkan ramai tetamu dan layanan terhadap tetamu dianggap sebagai perkara penting.


Di beberapa kawasan di utara India, daging kambing sering dianggap sebagai hidangan istimewa dan premium dalam majlis keraian, manakala ayam biasanya dilihat sebagai pilihan yang lebih murah.


Seorang lelaki dilihat mengacukan sebilah pedang ke arah seorang tetamu. - Foto NDTV.


EmoticonEmoticon