Selasa, 14 Julai 2026

Yusof Haslam enggan ulas penahanan Tisha Shamsir, hanya titip doa terbaik


Penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam mendoakan yang terbaik buat pelakon, Tisha Shamsir yang kini berdepan dengan proses perbicaraan di mahkamah selepas ditahan dan disyaki positif dadah di sebuah pusat hiburan di ibu negara, baru-baru ini.


Yusof ketika dihubungi berkata, dia enggan mencampuri urusan peribadi pelakon terbabit dan mendoakan yang terbaik buatnya.


"Bagi saya, kes dia di mahkamah itu adalah urusan peribadi untuk dia selesaikan sendiri. Biarlah mahkamah yang memutuskan apa sahaja keputusannya nanti.


"Apa-apa sekalipun, jika dia didapati bersalah, dia kena reda dan membetulkan apa sahaja kesilapan yang telah dilakukan. Semua orang mungkin ada melakukan kesilapan. Saya sentiasa mendoakan yang terbaik buat dirinya," katanya.


Ditanya mengenai status watak Tisha dalam Gerak Khas 2.0 yang sedang ditayangkan, Yusof berkata tiada keperluan untuk menggantikan pelakon berkenaan memandangkan karakter yang dibawakannya hanyalah watak pembantu.


"Watak dia hanyalah watak pembantu, bukannya watak utama seperti Salina Saibi. Walaupun watak pembantu itu penting, tetapi memandangkan kami sudah pun menjalani penggambaran babak yang banyak, ketiadaan dia di saat akhir ini tidak menjadi masalah besar.


"Di mana-mana siri luar negara sekalipun perkara sebegini biasa berlaku. Memandangkan barisan pegawai polis dalam drama ini ramai, jadi logik untuk watak dia tidak kelihatan dalam kes-kes tertentu.


"Cuma untuk babak operasi di luar sahaja kami terpaksa 'menggantung' wataknya buat sementara waktu dan melihat kepada perkembangan kesnya terlebih dahulu," katanya lagi.


Bercerita lanjut mengenai perkembangan penggambaran drama Gerak Khas 2.0, Yusof meluahkan rasa syukur kerana projek yang memakan masa lebih setengah tahun itu kini sudah berada di fasa akhir.


"Penggambaran drama ini sudah berjalan agak lama iaitu melebihi enam bulan. Setakat ini, kami sudah menyiapkan sekitar 24 episod dan hanya berbaki dua episod sahaja lagi. Insya Allah, baki penggambaran ini dijangka selesai sepenuhnya menjelang hujung bulan ini," kongsinya.


Terdahulu, media melaporkan Pelakon wanita yang membintangi drama kepolisan itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret pada 10 Julai lalu atas pertuduhan memberikan tiga jenis dadah kepada diri sendiri pada 7 Julai.


Tisha atau nama sebenarnya Shanorbiah Shamsir Alam, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.


Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 8 Oktober depan.


EmoticonEmoticon