Khamis, 9 Julai 2026

Polis tumpas geng samun gudang didalangi etnik Rohingya di Melaka


Polis menumpaskan satu kumpulan samun didalangi etnik Rohingya dipercayai terbabit dalam kejadian samun sebuah gudang penyimpanan barangan pembinaan di Sungai Udang, bulan lalu, susulan penahanan enam lelaki dalam operasi khas dikenali sebagai Op Kargo.


Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek berusia antara 18 hingga 38 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dalam serbuan di sekitar Kajang, Selangor pada 19 Jun lalu.


Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian samun itu berlaku jam 2 pagi pada 15 Jun apabila sekumpulan lelaki dipercayai warga asing menceroboh sebuah gudang penyimpanan barangan pembinaan di Sungai Udang.


"Suspek mengikat tangan dan kaki pengawal keselamatan sebelum melarikan aluminium formwork yang disimpan di gudang berkenaan.


"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian dianggarkan kira-kira RM200,000," katanya dalam kenyataan semalam.


Menurutnya, hasil risikan dan maklumat yang diperoleh membawa kepada pelancaran Op Kargo sebelum enam lelaki etnik Rohingya berjaya diberkas.


Katanya, polis turut merampas dua lori, tiga guni bongkah aluminium serta dua salinan resit jualan barangan lusuh bernilai RM27,440 dan RM101,816 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan hasil samun berkenaan.


"Semua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Ayer Keroh hari ini bagi menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun secara berkumpulan," katanya.


Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon