Khamis, 9 Julai 2026

Pemilik premis 'disko retro' tepi Sungai Kelantan dikompaun RM25,000


Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mengeluarkan notis kesalahan dan tawaran kompaun berjumlah RM25,000 kepada pemilik sebuah premis perniagaan di tepi Sungai Kelantan semalam selepas didapati menganjurkan program hiburan tanpa lesen sah.


MPKB-BRI dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu diambil susulan penganjuran program hiburan bertemakan disko retro, hippie ala 60-an dan 70-an yang diadakan pada Jumaat lalu dan tular di media sosial.


Katanya, pihak MPKB-BRI melibatkan pegawai Jabatan Pelesenan dan Bahagian Penguatkuasaan telah mengadakan perjumpaan secara bersemuka bersama pemilik premis termasuk penganjur program itu bagi mendapatkan penjelasan berhubung penganjuran acara tersebut.


"Pertemuan itu bertujuan menyiasat dan memberi penjelasan mengenai kesalahan yang dilakukan oleh pihak penganjur khususnya di bawah Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025.


"Selain itu, beberapa kompaun lain turut dikeluarkan terhadap pemilik premis kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen sah seperti yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPKB-BRI) 2019," katanya.


Menurut kenyataan itu, MPKB-BRI akan terus memperkukuh penguatkuasaan terhadap individu atau pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang dan syarat pelesenan bagi memastikan setiap aktiviti hiburan serta perniagaan dijalankan mengikut peraturan yang berkuatkuasa.


Media semalam melaporkan, penganjur program hiburan bertemakan disko retro, hippie ala 60-an dan 70-an di sebuah restoran di tebing Sungai Kelantan, Kota Bharu pada Jumaat lalu berdepan hukuman denda sehingga RM60,000.


Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, selain itu, pihak penganjur juga boleh dipenjara lapan tahun jika disabitkan kesalahan.


Katanya, hukuman tersebut boleh dikenakan selepas penganjur didapati menganjurkan acara tersebut tanpa kelulusan MPKB-BRI.


"Siasatan mendapati, penganjur hiburan tersebut tidak pernah membuat sebarang permohonan kepada MPKB-BRI," katanya.Seni & Hiburan


Kelmarin, tular satu video berdurasi 40 saat yang memaparkan sekumpulan pengunjung menari beramai-ramai dalam program hiburan bertemakan disko retro dan hippie dipercayai berlangsung di sebuah restoran di tebing Sungai Kelantan.


Susulan daripada kejadian itu, Bahagian Perlesenan dan Kawalan Perniagaan bersama pasukan penguat kuasa MPKB-BRI telah menjalankan operasi dan siasatan petang semalam dengan mengambil keterangan daripada saksi termasuk pihak berkaitan.


Pegawai Jabatan Pelesenan dan Bahagian Penguatkuasaan MPKB-BRI mengadakan perjumpaan dengan pemilik premis perniagaan di tepi Sungai Kelantan semalam. - Foto MPKB-BRI.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon