Lelaki warga emas didakwa di Mahkamah Majistret Kangar, hari ini, atas pertuduhan mengedar cecair dadah sintetik jenis fentanil seberat 39.9 liter pada awal bulan lalu.
Tertuduh Him Mat, 65, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama seorang lagi individu yang masih bebas, mengedar dadah berbahaya jenis fentanil seberat 39.9 liter pada 1 Julai lalu. Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah beralamat di Padang Besar, jam 5.50 petang.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum gantung, tertuduh boleh dikenakan minimum 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Alia Suzila Check Pi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pihak pendakwaan memaklumkan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh dan kes akan dipindahkan ke mahkamah berlainan untuk proses perbicaraan.
Mahkamah kemudian menetapkan 8 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan laporan kimia kes terbabit.
Selasa lalu, media melaporkan kejayaan polis Perlis menumpaskan sindiket pengedaran dadah sintetik menggunakan katrij cecair disyaki mengandungi Furanylfentanyl bernilai RM34.31 juta menerusi tiga serbuan berasingan.
Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, cecair dadah sintetik itu dipercayai dimasukkan ke dalam katrij peranti rokok elektronik bagi meningkatkan kesan khayal sebelum diseludup ke negara jiran.

EmoticonEmoticon