Isu etnik Rohingya di negara ini bukan hanya memerlukan tindakan pihak berkuasa, malah masyarakat turut memainkan peranan untuk tampil melaporkan kewujudan penempatan pelarian berkenaan.
Aktivis masyarakat, Michael Tay Chee Boon berkata, tidak dinafikan kewujudan penempatan etnik itu di negeri Johor termasuk di Kangkar Tebrau, Johor Bahru, sejak lebih sedekad lalu menimbulkan kebimbangan masyarakat setempat.
Menurutnya, penduduk mendakwa pelbagai permasalahan timbul termasuk isu kebersihan dan keselamatan.
Namun katanya, permasalahan itu dapat dielakkan sekiranya pemilik rumah atau tanah tidak sewenang-wenangnya menyewakan kepada golongan berkenaan.
"Apabila mereka semakin ramai di sesuatu kawasan, ia menimbulkan pelbagai masalah terutama apabila wujudnya generasi kedua dan ketiga.
"Ia juga boleh mewujudkan kartel memonopoli sesuatu perniagaan termasuk perusahaan besi buruk dan sebagainya. Malah ada juga segelintir etnik Rohingya mengemis bagi meneruskan kehidupan dan ia bukan sesuatu yang sihat," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, setiap ahli masyarakat setempat perlu memainkan peranan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya keselamatan, keselesaan terjejas kesan kewujudan golongan itu.
"Negara kita memberi perlindungan kepada pelarian atas dasar perikemanusiaan namun apabila komuniti itu keterlaluan, mereka juga seharusnya dikenakan tindakan.
"Ia memberi kesedaran kepada mereka supaya tidak memperlekehkan peraturan dan undang-undang negara ini," katanya.
Sementara itu, mantan Pengerusi Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Rohsawal Nizam Abd Ghafar berkata, masalah timbul apabila penempatan Rohingya di Kangkar Tebrau adalah kawasan memiliki geran.
Menurutnya, berdasarkan aduan yang diterima dari penduduk, tindakan penguatkuasaan sudah dijalankan beberapa kali selain kawasan itu juga sentiasa di bawah pemantauan.
"Suatu tindakan lebih telus perlu diambil bagi mengelakkan kawasan itu didominasi etnik Rohingya.
"Komuniti berkenaan dipercayai sudah berkembang serta populasi mereka juga semakin bertambah. Penduduk mengharapkan isu pelarian ini diatasi kerajaan.
"Penduduk mencadangkan penggubalan akta berkaitan pelarian bagi membolehkan pemantauan dan pengurusan pelarian yang lebih sistematik," katanya.

EmoticonEmoticon