Seorang lelaki yang juga pengurus kelab malam dihukum penjara dua hari dan didenda RM17,000 oleh Mahkamah Majistret Tawau, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memandu kenderaan dalam keadaan mabuk pada awal pagi Jun lalu.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin terhadap Tan Tiong Peng, 37, selepas mahkamah menerima pengakuan bersalah dan rayuan tertuduh, selain mengambil kira fakta kes serta hujahan pihak pendakwaan.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh sabitan hari ini, selain menetapkan tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Lesen memandunya turut digantung selama dua tahun.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard dengan kadar kandungan alkohol dalam badan sebanyak 82 miligram (mg) bagi setiap 100 mililiter (ml) darah, iaitu melebihi had ditetapkan sebanyak 32 mg daripada kadar maksimum 50 mg per 100 ml darah.
Kesalahan itu dilakukan ketika satu operasi membanteras pemanduan dalam keadaan mabuk yang dijalankan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di Jalan Bintang Kubota pada 14 Jun lalu kira-kira jam 2.40 pagi.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2020 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda tidak kurang RM10,000 serta maksimum RM30,000, selain hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya dikenakan hukuman ringan dengan alasan dia sudah insaf, mengakui kesalahan dilakukan dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa BSPT IPD Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira kepentingan awam kerana kesalahan memandu dalam keadaan mabuk adalah serius dan boleh menyebabkan kehilangan nyawa.
Beliau berhujah tindakan tertuduh mewujudkan risiko tinggi terhadap nyawa dan keselamatan orang awam, selain hukuman berat wajar dikenakan sebagai mesej jelas bahawa mahkamah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memandu dalam keadaan membahayakan pengguna jalan raya.

EmoticonEmoticon