Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 33 individu termasuk pegawai penguat kuasa dan penjawat awam kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen.
Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan itu antara tahun 2021 hingga 2026.
Ia membabitkan kesalahan melindungi warga asing tanpa dokumen perjalanan sah, penyalahgunaan pas lawatan sosial untuk bekerja, serta mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu bagi permohonan kuota pekerja asing.
Menurut sumber, penahanan itu hasil operasi bersepadu bermula semalam hasil risikan sejak Jun tahun lalu oleh Bahagian Perisikan dan SPRM empat negeri.
Katanya, operasi berkenaan dijalankan di Putrajaya (Op Layer), Selangor (Op Dalang), Negeri Sembilan (Op Raider) dan Melaka (Op Genuine).
Kata sumber, melalui operasi itu, SPRM menahan seramai 38 individu termasuk orang awam dan warga asing, bagaimanapun lima lagi dibebaskan dengan jaminan.
"Semua suspek terdiri daripada 25 lelaki dan sembilan wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an.
"Mereka ditahan antara jam 10 pagi hingga 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di empat pejabat SPRM di negeri terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut sumber, seramai 10 pegawai penguat kuasa yang ditahan dipercayai menerima rasuah sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pekerja syarikat yang melanggar Akta Imigresen, selain mengeluarkan visa, pas, dan permit tanpa melalui prosedur yang ditetapkan.
Susulan penahanan itu, 33 suspek dibawa ke mahkamah majistret hari ini, bagi permohonan perintah reman.
Di Mahkamah Majistret Putrajaya, Majistret Ezrene Zakariah membenarkan perintah reman selama lima hari sehingga 13 Julai ini terhadap enam suspek.
Sementara, di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor, Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin membenarkan 14 suspek direman selama empat hari sehingga 12 Julai.
Di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan pula, Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah membenarkan reman ke atas sembilan suspek.
Lima daripadanya direman empat hari sehingga 12 Julai, dua suspek selama lima hari sehingga 13 Julai, manakala dua lagi direman selama sehari.
Selain itu, di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin membenarkan empat suspek direman selama tujuh hari sehingga 15 Julai ini.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(A), 17(a), 17(b) dan 18 Akta SPRM 2009.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa siri tangkapan susulan akan dibuat untuk tujuan itu.

EmoticonEmoticon