Taktik sindiket penyeludupan migran menjadikan kediaman mewah di ibu negara sebagai rumah transit sementara terbongkar selepas serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi khas pada Selasa.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang bermula kira-kira jam 12.30 tengah malam itu dilaksanakan hasil maklumat awam dan risikan selama sebulan oleh sepasukan pegawai daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
"Serbuan ke atas dua premis kediaman mewah itu membawa kepada penahanan dua lelaki warga Bangladesh yang dipercayai berperanan sebagai penjaga premis selain enam lagi lelaki dan dua wanita warga negara sama berusia antara 23 hingga 43 tahun.
"Semakan awal mendapati seorang lelaki yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara bagi sektor pembinaan, manakala dua wanita pula didapati telah disenarai hitam oleh JIM dipercayai memasuki semula negara ini melalui pintu masuk yang tidak diwartakan," katanya dalam kenyataan semalam.
Zakaria berkata, individu lain ditahan pula gagal mengemukakan sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini.
"Pasukan operasi turut merampas tiga pasport Bangladesh milik individu lain selain wang tunai berjumlah RM1,595 yang dipercayai hasil daripada kegiatan berkenaan," katanya.
Belial berkata, siasatan mendapati sindiket menggunakan kediaman mewah sebagai rumah transit sementara bagi mengaburi pihak berkuasa sebelum warga asing yang dipercayai memasuki negara ini secara haram dihantar ke lokasi yang ingin dituju.
"Premis berkenaan dikawal oleh penjaga warga asing yang bertanggungjawab menguruskan penempatan sementara sehingga urusan pembayaran diselesaikan.
"Sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM700 hingga RM1,500 bagi setiap individu yang menggunakan perkhidmatan tersebut," katanya.
Zakaria berkata, kedua-dua penjaga premis warga Bangladesh itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 manakala warga asing lain disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama.

EmoticonEmoticon