Sabtu, 22 Januari 2022

Bakul berisi buah-buahan berusia 2,400 tahun ditemukan dalam runtuhan kota Thonis-Heracleion

Bakul berisi buah-buahan berusia 2,400 tahun ditemukan dalam runtuhan kota Thonis-Heracleion


Sebuah bakul anyaman berisi buah-buahan yang masih kelihatan elok sejak abad keempat sebelum Masihi ditemukan dalam runtuhan kota Thonis-Heracleion di pesisir pantai Mesir, lapor The Guardian pada 2 Ogos 2021 lalu.


Turut ditemukan adalah ratusan artifak seramik kuno dan khazanah gangsa. Artifak dan barangan itu tidak tersentuh sejak kota itu hilang di bawah gelombang air semasa abad kedua sebelum Masihi.


Kemudian, ia ditengggelamkan lebih jauh pada abad kelapan sebelum Masihi akibat bencana alam yang dahsyat termasuk gempa bumi dan ombak pasang surut.


Ahli Arkeologi Marin Perancis, Franck Goddio terkejut dengan penemuan baharu itu dan menganggapnya sebagai sesuatu yang luar biasa kerana belum pernah disentuh sejak lebih 2,000 tahun.


Katanya, bakul bersejarah itu masih dipenuhi buah doum dan anggur. Bakul itu berkemungkinan diletakkan dalam bilik bawah tanah sehingga menyebabkan ia mampu bertahan sehingga hari ini.



Thonis-Heracleion merupakan pelabuhan terbesar Mesir sejak berabad-abad di kepulauan Mediterranean sebelum Alexander The Great mendirikan Alexandria pada 331 sebelum Masihi.


Selepas itu, kewujudan kota Thonis-Heracleion telah dilupakan sehingga penemuan semula oleh ahli arkeologi marin Perancis Franck Goddio dua dekad yang lalu, dalam salah satu penemuan arkeologi yang paling hebat sejak kebelakangan ini.


BACA: Kota Thonis Hanya Dianggap Mitos Sebelum Ini Ditemui Terkubur Dasar Laut Mediterranean, Mesir.


Prasasti ini mendedahkan bahawa Thonis (Mesir) dan Heracleion (Greek) adalah bandar yang sama. - Foto Franck Goddio/Hilti Foundation.

Bakul berisi buah-buahan di bawa ke permukaan oleh sepasukan arkeologi. - Foto The Guardian.

Jumaat, 21 Januari 2022

Saintis 'boleh' ramal jangka hayat manusia menerusi imbasan retina

Saintis 'boleh' ramal jangka hayat manusia menerusi imbasan retina


Penyelidik di Australia telah mencipta program berteknologi kepintaran buatan (AI) baharu, bertujuan untuk meramalkan jangka hayat manusia dengan hanya mengimbas retina pada mata mereka - tisu di bahagian belakang mata, lapor laman berita Wion News pada 19 Januari 2022.


Penemuan yang diterbitkan pada hari Rabu (19 Januari) dalam British Journal of Ophthalmology, adalah berdasarkan kajian retina - didakwa oleh saintis bertindak sebagai 'jendela' yang membenarkan mereka untuk melihat dengan lebih mendalam tentang keadaan kesihatan seseorang.


Kumpulan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Mata Melbourne mendakwa bahawa algoritma AI boleh meramalkan usia retina dengan tepat. Mereka menganalisis hampir 19,000 imbasan fundus iaitu kawasan belakang mata dimana terletaknya retina.


"Retina menjadi 'jendela' yang unik dan boleh diakses untuk menilai punca serta kesan sesuatu penyakit yang berkaitan dengan saluran darah dan saraf yang dikaitkan dengan peningkatan risiko kematian," tulis pengarang kajian, Dr. Mingguang He yang merupakan profesor epidemiologi oftalmik di Universiti Melbourne dan Pusat Penyelidikan Mata di Australia.


Kajian itu menganalisis lebih 130,000 imej retina daripada sampel yang diambil daripada lebih 500,000 responden,  berusia antara 40 tahun hingga 69 tahun yang menyertai kajian jangka panjang tajaan kerajaan Britain itu, UK BioBank.


Kajian sama turut mendapati berlakunya peningkatan risiko punca kematian sebanyak 2 peratus pada setiap satu tahun perbezaan usia sebenar dengan usia yang dikenal pasti menerusi retina mata. - Sumber Wion News.


Jangka hayat manusia kini boleh diketahui menerusi imbasan retina pada mata. - Foto Getty.
Tidak mandi selama 67 tahun dan makan bangkai haiwan, lelaki ini kekal sihat

Tidak mandi selama 67 tahun dan makan bangkai haiwan, lelaki ini kekal sihat


Para saintis keliru setelah mendapati seorang lelaki di Iran berada dalam keadaan sihat walaupun tidak mandi selama 67 tahun, dan hidup dengan memakan bangkai haiwan, lapor akhbar Mirror UK pada 19 Januari 2022.


Amou Jaji, 87, mendakwa bahawa dia tidak mandi selama beberapa dekad kerana percaya perbuatan itu akan menyebabkan dirinya bernasib malang dan membunuhnya.


Pemakanan lelaki itu terdiri daripada haiwan-haiwan yang terbunuh di jalan raya seperti landak. Dia turut meminum air daripada lopak jalan untuk menghilangkan dahaga.


Gaya hidup yang luar biasa dipilih oleh Jaji menyukarkannya untuk berkawan, atau mencari teman wanita. Dia lebih dipinggir disebabkan aktiviti kegemarannya pada masa lalu kerana suka menghisap rokok paip yang diisi dengan najis haiwan, jelas lapor akhbar Daily Star.


Penduduk di kampung Dejgah, Iran yang prihatin terhadap gaya hidup Jaji, telah berkerjasama membina sebuah pondok kecil sebagai ganti kepada lubang yang dijadikan tempat berteduh.


Pakar-pakar perubatan yang melawat pondoknya mendapati lelaki itu sangat sihat dan tidak mempunyai penyakit serius atau bakteria. Bukan itu sahaja, mereka mengesahkan bahawa Jaji tidak mempunyai parasit pada badan walaupun kurang menjaga kebersihan.


Profesor Dr. Gholamreza Molavi yang menjalankan ujian kesihatan tersebut mendakwa bahawa lelaki itu kekal sihat kerana mempunyai sistem imunisasi badan yang sangat kuat. Pakar perubatan yang mengujinya, hanya menemui jangkitan trikinosis tanpa gejala.


Lelaki itu juga sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan membincangkan peristiwa seperti Revolusi Rusia dan Revolusi Perancis dengan mereka yang melawatnya. Walaupun jiran menghormatinya, tetapi ada orang luar kadang-kadang mengejeknya dan membaling batu.


Lelaki yang tinggal di Iran ini tidak mandi selama 67 tahun dan hidup dengan memakan bangkai haiwan namun kekal sihat. - Foto CEN.

Khamis, 20 Januari 2022

'Muncul' pasir biru bercahaya yang kelihatan seperti lagun di Gurun Sahara

'Muncul' pasir biru bercahaya yang kelihatan seperti lagun di Gurun Sahara


Laman sosial Reddit memaparkan satu penemuan menakjubkan di Gurun Sahara, iaitu sebuah kawasan yang berkilauan dengan warna biru kelihatan seperti air, namun ada pembentukan pasir tepat di atasnya, lapor akhbar Daily Star pada 17 Januari 2022.


Seperti yang kita tahu bahawa sekitar 65 peratus daripada planet ini belum diterokai, sama ada kawasan landskap bawah air yang luas, atau bahagian hutan hujan Amazon. Banyak perkara yang hanya boleh kita lihat menggunakan teknologi Google Maps.


Dalam penemuan misteri terbaharu, pengguna aplikasi pemetaan Google Maps telah menemui bahagian aneh di Gurun Sahara, yang dipercayai belum pernah diteroka oleh manusia secara fizikal.


Kawasan tersebut diberi nama Blue Upside Nike kerana berbentuk muncung terbalik dan menampilkan warna biru berkilauan.



Kawasan pelik itu sebenarnya boleh dilihat oleh sesiapa sahaja yang menaiki penerbangan ke rantau itu menggunakan laluan Aeroport Regional De Reggane, yang terletak kira-kira satu kilometer(km) dari tapak penemuan tersebut.


Pengguna Reddit yang menemui kawasan itu, OutOfBounds_Matrix, menyifatkannya sebagai hamparan nilam bercahaya biru yang indah.


"Kawasan yang menarik di Sahara. Kelihatan pasir terapung. Kawasan biru kelihatan seperti nilam bercahaya atau sejenis pasir bercahaya biru.


"Grid di sekelilingnya kelihatan seperti buatan manusia, terbentang lebih daripada 75km dari utara ke selatan dan 200 meter di antara setiap garisan grid," jelasnya.


Kawasan yang lebih asing boleh dilihat hanya beberapa ratus meter di utara pembentukan hamparan pasir biru. - Foto Google Maps.
NASA temui planet bersaiz 120 kali lebih besar daripada Bumi berada sekitar 379 tahun cahaya

NASA temui planet bersaiz 120 kali lebih besar daripada Bumi berada sekitar 379 tahun cahaya


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) dilaporkan menemui sebuah planet baharu, bersaiz 120 kali lebih besar daripada Bumi atau tiga kali ganda lebih besar daripada Musytari, lapor akhbar Mirror UK pada 17 Januari 2022.

Planet itu dinamakan TOI-2180 b setelah ditemui oleh seorang saintis negara Tom Jacobs, dia menggunakan data yang dikumpul oleh Satelit Transiting Exoplanet Survey (TESS) milik NASA.

Gergasi gas itu mengorbit bintangnya hanya dalam tempoh 261 hari berbanding Musytari yang mengambil sekitar 12 tahun mengikut masa Bumi untuk mengelilingi Matahari.

Jacobs membuat penemuan itu ketika menjalankan inisiatif Pemburu Planet dengan melihat data yang dikumpul. Penemuan itu kemudian dilaporkan menerusi Jurnal Astronomi.

Menurut beliau, dia melihat sesuatu yang asing pada Februari 2020 sebelum disahkan oleh dua saintis lain.

"Menemui dan mendokumentasikan penemuan planet TOI-2180 b menunjukkan bahawa kumpulan ahli professional dan saintis negara boleh bekerjasama dengan jayanya. Ia adalah sinergi yang baik," jelasnya.

Para saintis mengatakan bahawa planet itu berkedudukan sekitar 379 tahun cahaya dari Bumi, dan mempunyai kira-kira 105 unsur Bumi yang lebih berat daripada hidrogen dan helium.

Kira-kira 4,800 exoplanet telah disahkan dengan berbilion-bilion lagi dipercayai berada di galaksi kita. Eksoplanet merupakan istilah yang digunakan untuk menggambarkan mengenai planet yang berada di luar sistem suria.

Planet baharu itu dikatakan mempunyai 105 unsur yang didapati di Bumi. - Foto Getty Images/Science Photo Libra.

Rabu, 19 Januari 2022

Seorang lelaki bisu dan lumpuh dakwa pulih selepas terima vaksin Covid-19

Seorang lelaki bisu dan lumpuh dakwa pulih selepas terima vaksin Covid-19


Seorang lelaki yang lumpuh dan bisu selama empat tahun di India, mendakwa bahawa dirinya kembali pulih selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 Covieshield, lapor akhbar Mirror UK pada 17 Januari 2022.


Dularchand Munda, 55, cedera parah pada tulang belakang dalam satu kemalangan kereta pada 2017 yang menyebabkan dia terlantar dan tidak boleh bercakap.


Namun, selepas menerima suntikan vaksin pada 4 Januari lalu, Dularchand memberitahu, dia dapat menggerakkan semula kakinya selepas beberapa jam menerima vaksin Covieshield, dia juga boleh berjalan perlahan-lahan dengan bantuan tongkat.


Dalam masa sama, lelaki yang sudah empat tahun tidak boleh bercakap itu mampu bersuara buat kali pertama sejak kemalangan itu, lapor Mirror UK dipetik dari laporan NDTV.



"Saya sangat gembira kerana terpilih mengambil vaksin ini kerana ia mengembalikan semula kemampuan saya untuk berjalan dan bercakap.


Seorang pakar kesihatan, Dr. Jitendra Kumar berkata, situasi itu adalah satu keajaiban yang mengagumkan, namun menegaskan masih banyak yang perlu dikaji mengenai keberkesanan vaksin ke atas penyakit lain selain virus Covid-19.


Tambahnya, ramai yang kagum melihat perkara ini tetapi ia perlu dipastikan oleh saintis, pulih secara tiba-tiba selepas mengambil suntikan vaksin adalah sukar dipercayai.


"Jika vaksin dikatakan memberi kesan positif ke atas kecederaan yang baru berlaku beberapa hari, ia boleh difahami secara perubatan. Namun bagi keadaan yang sudah berlarutan empat tahun seperti Dularchand, kita perlu lakukan kajian lanjut," katanya.


Vaksin Covishield dihasilkan oleh Institut Serum India dan menggunakan formula sama untuk menghasilkan vaksin Oxford-AstraZeneca. - Sumber Mirror UK.


Dularchand mendakwa boleh berjalan dan bercakap semula selepas 24 jam menerima vaksin Covishield. - Foto The Mirror.
Saintis temui koloni pembiakan 60 juta ekor ikan di laut ais terbesar di dunia

Saintis temui koloni pembiakan 60 juta ekor ikan di laut ais terbesar di dunia


Sebuah koloni pembiakan seluas 240 kilometer (km) persegi mengandungi kira-kira 60 juta ekor ikan ditemui di Laut Weddell, Antartika, dengan saintis menyifatkan penemuan itu sebagai sebuah ekosistem yang unik.


Menurut lapor stesen penyiaran CNN pada 13 Januari 2022, koloni yang dipercayai terbesar di dunia itu menempatkan ikan ais spesies Neopagetopsis ionah, yang juga dinamakan 'icefish' (ikan ais). Ikan itu mempunyai rangka dan darah yang boleh dilihat dari luar.


Ikan ais adalah satu-satunya haiwan vertebrata yang tidak mempunyai sel darah merah. Bagi membolehkannya kekal hidup pada suhu sejuk ekstrem, haiwan itu mengembangkan protein antibeku dalam darah lutsinarnya yang menghalang kristal ais daripada terus 'tumbuh'.


Koloni pembiakan itu ditemukan pada Februari 2021 oleh kapal penyelidikan Jerman, Polarstern yang meneliti dasar laut menggunakan sistem kamera bersaiz kereta. Sistem kamera itu merakam gambar keadaan di bawah laut ketika ia ditarik oleh kapal.



"Kami melihat sarang pembiakan ikan yang besar selama empat jam, saya tidak pernah melihat sesuatu seumpama itu selama 15 tahun menjadi saintis maritim.


"Koloni itu meliputi kawasan seluas 240 km persegi, dengan secara purata, terdapat satu sarang ikan bagi setiap tiga meter persegi. Koloni itu juga dianggarkan mengandungi kira-kira 60 juta sarang aktif," kata penyelidik dari Institut Alfred Wegener di Jerman, Autun Purser.


Menurutnya, setiap sarang berukuran kira-kira 15 sentimeter (sm) dalam, dan 75 sm bagi diameter. Ia mengandungi sebanyak 1,735 telur secara purata, dengan kebanyakannya diawasi oleh seekor ikan dewasa.


Setiap sarang mempunyai sebanyak 1,735 telur secara purata, dengan kebanyakannya diawasi oleh seekor ikan dewasa. - Foto Institut Alfred Wegener.

Penemuan itu dibuat oleh pasukan di atas kapal penyelidikan kutub Jerman, Die Polarstern vor A74. - Foto CNN.

Isnin, 17 Januari 2022

Pelukis guna wanita sebagai berus lukisan, dakwa ia teknik luar biasa

Pelukis guna wanita sebagai berus lukisan, dakwa ia teknik luar biasa


Seorang pelukis di Rusia mempunyai cara tersendiri lagi unik untuk mewarnakan karyanya dengan menjadikan badan wanita sebagai berus lukisan, lapor laman Oddity Central pada 10 Januari 2022.


Albert Zakirov mula melukis pada usia awal dan menghabiskan sebahagian besar zaman kanak-kanaknya dengan persediaan untuk ke kolej seni lukisan. Selepas belajar dengan seorang guru cemerlang selama beberapa bulan di gred sepuluh (pengetahuan yang diperlukan), dia akhirnya diterima masuk di kolej tersebut.


Ketika belajar di kolej itu, dia secara senyap-senyap mempelajari asas-asas sambil bereksperimen dengan pelbagai teknik dan medium yang luar biasa. Dia tidak lulus di kolej tersebut, tetapi di sanalah dia pertama kali menggunakan tubuh wanita untuk melukis di atas kanvas.


"Saya pertama kali melakukan teknik lukisan ini dengan seorang wanita ketika saya berada di kolej pada tahun 1980-an. Ketika itu, teknik menggunakan badan wanita sebagai berus dibuat secara rahsia kerana ia terlalu kontroversi untuk dipersembahkan kepada umum.


"Hanya pada tahun 2000, saya mula melakukan proses melukis menggunakan badan wanita termasuk wanita bogel secara terang-terangan," kata Zakirov.


Menurutnya, pemilihan wanita sebagai 'berus manusia' bukan di atas alasan peribadi seperti hubungan intim dengannya tetapi atas kesanggupan model tersebut.


"Namun sekarang, bagi wanita yang mahu menjadi 'berus manusia', mereka diminta untuk memakai pelitup muka agar identiti mereka dilindungi bagi mengelak timbul masalah di masa hadapan.


"Ini kerana kebanyakan teman lelaki wanita-wanita ini tidak begitu menggemari idea kekasih mereka menjadi berus lukisan," jelasnya.


Jika anda tertanya-tanya bagaimana Albert Zakirov melukis dengan badan manusia, prosesnya agak mudah. Dia biasanya bermula dengan menyapu badan berus manusianya dengan minyak, untuk memudahkan proses pembersihan.


Dia kemudian menyapu pelbagai warna pada bahagian badan model dengan cat akrilik, mengambil orang itu, dan meletakkannya pada kanvas. Albert Zakirov tidak menggunakan model itu sebagai berus cat sepenuhnya, kadangkala menambahkan sentuhannya sendiri pada karya seni.


Dia mendakwa bahawa berus unik memindahkan sejenis tenaga kepada lukisan itu. Dakwanya, apabila dia mengangkat seorang wanita, tenaga ditukar semasa interaksi dua badan.


"Idea, komposisi warna - semuanya disatukan semasa proses. Sebelum ketibaan model, saya tidak tahu apa yang akan saya lukis di atas kanvas. Saya tidak membuat persediaan awal, model memberi inspirasi kepada saya," jelasnya. - Sumber Oddity Central.


Zakirov memulakan teknik 'berus manusia' ini sejak tahun 80-an ketika menuntut di kolej seni lukisan. - Foto Oddity Central.

Ahad, 16 Januari 2022

Letusan gunung berapi dasar laut kedengaran lebih 800 kilometer jauhnya cetuskan tsunami

Letusan gunung berapi dasar laut kedengaran lebih 800 kilometer jauhnya cetuskan tsunami


Letusan gunung berapi dasar laut di Pasifik Selatan pada Sabtu mencetuskan gelombang tsunami ke negara Tonga berdekatan utara Jepun, selain amaran gelombang laut berbahaya dikeluarkan sejauh pantai barat Amerika Syarikat (AS).


Menurut pegawai di Suva City, letusan terbaru gunung berapi itu terlalu kuat sehingga kedengaran seperti guruh di Fiji, lebih 800 kilometer jauhnya. Ia mula memuntahkan abu, debu dan asap sejak pagi Jumaat lalu.


Imej satelit menunjukkan letusan gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha'apai yang panjang dan bergemuruh menyebabkan kepulan asap kelihatan seperti cendawan besar, selain abu bertebaran ke udara merentasi perairan sekitarnya.


Gelombang tsunami berukuran 1.2 meter berlaku di ibu negara Tonga, Nuku'alofa yang terletak 65 kilometer dari gunung berapi tersebut, menurut Biro Meteorologi Australia.



Agensi Meteorologi Jepun mengeluarkan amaran tsunami setinggi 3 meter mungkin melanda beberapa pulau di barat daya Jepun. Di Fiji, penduduk juga diminta supaya menutup tangki pengumpulan air sekiranya berlaku hujan berasid.


"Gelombang ombak setinggi 1.2 meter sudah sampai ke pulau terpencil di selatan Amami Oshima dan kawasan lain di sepanjang pantai Pasifik Jepun dengan ombak yang lebih kecil," kata agensi itu.


Penduduk di Tonga, Mere Taufa berkata, ketika kejadian dia bersiap-siap untuk makan malam di rumahnya sebelum gunung berapi di dasar laut itu meletus sehingga menyebabkan air melimpah ke rumahnya.


"Ia sangat besar, tanah bergegar, rumah kami bergegar. Ia datang dalam gelombang. Adik saya menyangka bom meletup di kawasan berhampiran," kata Taufa kepada laman web berita Stuff.


Dia berkata, air memenuhi rumah mereka beberapa minit kemudian dan dia melihat dinding rumah jiran runtuh.


"Kami tahu ia adalah tsunami apabila air mencurah masuk ke dalam rumah kami. Kamu mendengar jeritan di mana-mana, orang menjerit supaya semua pergi ke tempat yang lebih tinggi," katanya.


Letusan gunung berapi itu berlangsung sekurang-kurangnya lapan minit dan menyebabkan kepulan gas, abu dan asap bertebaran beberapa kilometer ke udara.


Susulan itu, amaran tsunami dikeluarkan untuk Samoa Amerika, New Zealand, Fiji, Vanuatu, Chile dan Australia yang mana pihak berkuasa berkata, sebahagian kawasan pantai, termasuk di Sydney, mungkin dilanda tsunami.


Amaran tsunami juga sudah dikeluarkan untuk seluruh pantai barat AS - dari California hingga ke kepulauan Aleutian Alaska, manakala gelombang tsunami mencetuskan banjir kecil di Hawaii, menurut Pusat Amaran Tsunami Pasifik.


"Tsunami sedang berlaku. Ingat, gelombang pertama mungkin tidak begitu besar. Beralih dari pantai dan menuju ke tanah tinggi," kata Pusat Amaran Tsunami Kebangsaan AS.


Rakaman yang dikongsi di media sosial menunjukkan gelombang ombak kira-kira 0.3 meter melimpah masuk ke pantai di Oregon.


Ketua Perkhidmatan Geologi Tonga, Taaniela Kula pula menggesa orang ramai tinggal di dalam rumah, memakai topeng jika mereka berada di luar dan menutup takungan air hujan dan sistem penuaian air hujan.


Kapal karam dipercayai akibat tsunami di Muroto, Kochi, Jepun. - Foto Reuters/Kyodo.

Foto tular menunjukkan tsunami di pantai Tonga. - Foto Twitter.
Tersalah bayar bil elektrik ke akaun lain sejak 6 tahun lalu, wanita menanggung hutang RM22,800

Tersalah bayar bil elektrik ke akaun lain sejak 6 tahun lalu, wanita menanggung hutang RM22,800


Seorang wanita di Knightswood, Glasgow, Scotland, terpaksa menanggung hutang bil elektrik sebanyak 4,000 pound sterling (kira-kira RM22,800) selepas tersalah bayar ke akaun lain, lapor akhbar The Sun pada 14 Januari 2022.


Lesley Hill, 43, terdiam selepas diberitahu dia terhutang besar kepada syarikat tenaga elektrik Scottish Power, dia turut didakwa menggunakan elektrik secara haram walaupun membuat pembayaran secara tambah nilai setiap minggu sejak enam tahun lalu.


Namun, bayaran itu dikatakan tidak diterima oleh syarikat pembekal tenaga elektrik tersebut. Dia mendakwa bayaran tambah nilai elektrik itu mungkin masuk ke dalam akaun lain.


"Mungkin meter saya sebenarnya didaftarkan ke premis lain. Jadi, ini bermakna selama beberapa tahun, wang yang saya belanjakan untuk elektrik telah pergi ke tempat lain.


"Setiap kali saya memasukkan wang ke dalamnya, ia terus ke alamat lain yang didaftarkan, bukan Scottish Power. Saya sentiasa menangis dan berasa seolah-olah saya sedang bertarung dengan kekalahan.


"Ia 'bermain' dalam otak saya 24 jam sehari dan saya sentiasa memikirkan bagaimana ia boleh diselesaikan, ia membuatkan saya tidak sihat. Seluruh keadaan adalah pelik - ke mana wang tunai saya pergi?" katanya kepada Glasgow Times.


Ibu tunggal itu menukar cara bayaran daripada bulanan kepada tambah nilai sejak 2015 selepas berpisah dengan suaminya. Jurutera dari syarikat tersebut kemudian memasang 'meter pembayaran' di rumahnya.


Bayaran yang dibuat secara konsisten dan meter elektrik berfungsi dengan baik untuk tempoh setahun saja. Selepas itu, dia mula menerima surat tuntutan hutang daripada syarikat penyediaan perkhidmatan.


"Saya kemudian membayar hutang itu secara ansuran namun terus menerima surat tuntutan hutang, mereka juga menghubungi saya untuk menuntut hutang, sedangkan saya menggunakan meter tambah nilai," katanya.


Menurut Hill, ketika dia mempersoalkan bilnya, Scottish Power memberitahunya bahawa mereka tidak mempunyai rekod pembayaran daripadanya sejak 2016.


Kes itu kini disiasat oleh pengawas penyedia tenaga, Ombudsman; "Kes ini dalam siasat Ombudsman tenaga, dan kami sedang bekerjasama dengan mereka (Scottish Power) dan Cik Hill untuk menyiasat kesnya dan mencapai penyelesaian yang semua pihak berpuas hati."


Menurut Hill, mereka mengatakan akan menyelesaikan masalahnya dalam tempoh terdekat, namun sehingga kini dia mendakwa masih menerima bil pembayaran dan Scottish Power mahu dia melangsaikan segera hutang itu.


Lesley Hill menanggung hutang bil elektrik sebanyak kira-kira RM22,800 kerana tersalah bayar ke akaun lain sejak 6 tahun lalu. - Foto The Sun.