Jumaat, 21 Januari 2022

Saintis 'boleh' ramal jangka hayat manusia menerusi imbasan retina


Penyelidik di Australia telah mencipta program berteknologi kepintaran buatan (AI) baharu, bertujuan untuk meramalkan jangka hayat manusia dengan hanya mengimbas retina pada mata mereka - tisu di bahagian belakang mata, lapor laman berita Wion News pada 19 Januari 2022.


Penemuan yang diterbitkan pada hari Rabu (19 Januari) dalam British Journal of Ophthalmology, adalah berdasarkan kajian retina - didakwa oleh saintis bertindak sebagai 'jendela' yang membenarkan mereka untuk melihat dengan lebih mendalam tentang keadaan kesihatan seseorang.


Kumpulan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Mata Melbourne mendakwa bahawa algoritma AI boleh meramalkan usia retina dengan tepat. Mereka menganalisis hampir 19,000 imbasan fundus iaitu kawasan belakang mata dimana terletaknya retina.


"Retina menjadi 'jendela' yang unik dan boleh diakses untuk menilai punca serta kesan sesuatu penyakit yang berkaitan dengan saluran darah dan saraf yang dikaitkan dengan peningkatan risiko kematian," tulis pengarang kajian, Dr. Mingguang He yang merupakan profesor epidemiologi oftalmik di Universiti Melbourne dan Pusat Penyelidikan Mata di Australia.


Kajian itu menganalisis lebih 130,000 imej retina daripada sampel yang diambil daripada lebih 500,000 responden,  berusia antara 40 tahun hingga 69 tahun yang menyertai kajian jangka panjang tajaan kerajaan Britain itu, UK BioBank.


Kajian sama turut mendapati berlakunya peningkatan risiko punca kematian sebanyak 2 peratus pada setiap satu tahun perbezaan usia sebenar dengan usia yang dikenal pasti menerusi retina mata. - Sumber Wion News.


Jangka hayat manusia kini boleh diketahui menerusi imbasan retina pada mata. - Foto Getty.


EmoticonEmoticon