Jumaat, 21 Januari 2022

Tidak mandi selama 67 tahun dan makan bangkai haiwan, lelaki ini kekal sihat


Para saintis keliru setelah mendapati seorang lelaki di Iran berada dalam keadaan sihat walaupun tidak mandi selama 67 tahun, dan hidup dengan memakan bangkai haiwan, lapor akhbar Mirror UK pada 19 Januari 2022.


Amou Jaji, 87, mendakwa bahawa dia tidak mandi selama beberapa dekad kerana percaya perbuatan itu akan menyebabkan dirinya bernasib malang dan membunuhnya.


Pemakanan lelaki itu terdiri daripada haiwan-haiwan yang terbunuh di jalan raya seperti landak. Dia turut meminum air daripada lopak jalan untuk menghilangkan dahaga.


Gaya hidup yang luar biasa dipilih oleh Jaji menyukarkannya untuk berkawan, atau mencari teman wanita. Dia lebih dipinggir disebabkan aktiviti kegemarannya pada masa lalu kerana suka menghisap rokok paip yang diisi dengan najis haiwan, jelas lapor akhbar Daily Star.


Penduduk di kampung Dejgah, Iran yang prihatin terhadap gaya hidup Jaji, telah berkerjasama membina sebuah pondok kecil sebagai ganti kepada lubang yang dijadikan tempat berteduh.


Pakar-pakar perubatan yang melawat pondoknya mendapati lelaki itu sangat sihat dan tidak mempunyai penyakit serius atau bakteria. Bukan itu sahaja, mereka mengesahkan bahawa Jaji tidak mempunyai parasit pada badan walaupun kurang menjaga kebersihan.


Profesor Dr. Gholamreza Molavi yang menjalankan ujian kesihatan tersebut mendakwa bahawa lelaki itu kekal sihat kerana mempunyai sistem imunisasi badan yang sangat kuat. Pakar perubatan yang mengujinya, hanya menemui jangkitan trikinosis tanpa gejala.


Lelaki itu juga sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan membincangkan peristiwa seperti Revolusi Rusia dan Revolusi Perancis dengan mereka yang melawatnya. Walaupun jiran menghormatinya, tetapi ada orang luar kadang-kadang mengejeknya dan membaling batu.


Lelaki yang tinggal di Iran ini tidak mandi selama 67 tahun dan hidup dengan memakan bangkai haiwan namun kekal sihat. - Foto CEN.


EmoticonEmoticon