Selasa, 6 Oktober 2026

Ambulans bawa pesakit nazak dihalang, kenderaan VIP diutamakan cetus kemarahan netizen

Ambulans bawa pesakit nazak dihalang, kenderaan VIP diutamakan cetus kemarahan netizen


Sebuah video tular di Indonesia memaparkan detik cemas dan kemarahan seorang lelaki apabila ambulans membawa bapanya yang sedang nazak dihalang bagi memberi laluan kepada konvoi kenderaan pegawai kerajaan, lapor halaman berita Kompas.


Kejadian berlaku di kawasan Lubang Buaya, Jakarta Timur pada Khamis lalu semasa laluan disekat bagi acara rasmi negara.


Dalam rakaman itu, seorang penunggang motosikal memakai baju kelabu dan topi hitam dilihat menjerit ke arah kenderaan rasmi yang sedang beratur menuju ke kawasan Monumen Pancasila Sakti.


"Bapak saya sudah nazak, sudah hendak meninggal dunia, bagi jalan. 


"Bagi jalan untuk rakyat, yang kaya makin kaya, yang susah makin susah," jerit lelaki itu ke arah konvoi kenderaan.


Dia dipercayai mengiringi ambulans yang membawa bapanya menuju ke hospital berdekatan.


Pihak berkuasa tempatan mengesahkan kejadian tersebut. 


Ketua Polis Sektor Cipayung, AKP Elka Rudolf menjelaskan bahawa penutupan jalan hanya bersifat sementara bagi mengawal keselamatan laluan orang kenamaan.


Insiden tersebut mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial Indonesia, dengan rata-rata netizen mengkritik keutamaan laluan bagi pegawai kerajaan berbanding kes kecemasan melibatkan nyawa rakyat biasa.

Suri rumah dihukum penjara 1 tahun, didenda RM8,000 kerana menyamar pegawai imigresen

Suri rumah dihukum penjara 1 tahun, didenda RM8,000 kerana menyamar pegawai imigresen


Suri rumah dihukum penjara 12 bulan dan didenda sebanyak RM8,000 selepas didapati bersalah menyamar sebagai pengarah kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).


Pengarah JIM Melaka Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, wanita berkenaan mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 di Mahkamah Sesyen Alor Gajah, Melaka, semalam.


Menurut beliau, wanita tempatan itu didapati memiliki dokumen mengikut Akta Imigresen 1959/63 yang sudah dipalsukan.


"Mahkamah kemudiannya menjatuhi hukuman penjara sselama 12 bulan berkuat kuasa daripada tarikh tangkapan selain dikenakan denda," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Menurut Anirwan, tertuduh tidak diwakili peguam sepanjang prosiding pendakwaan yang dijalankan JIM Negeri Melaka.


Katanya, JIM Negeri Melaka memandang serius sebarang cubaan menyamar sebagai pegawai imigresen atau memalsukan dokumen berkaitan perkhidmatan jabatan itu.


"Perbuatan sedemikian bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh mengelirukan orang awam serta menjejaskan keyakinan terhadap integriti dan kewibawaan JIM.


"JIM akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam perbuatan sedemikian," katanya.


Media sebelum ini melaporkan, kegiatan penyamaran wanita itu terbongkar selepas ditahan dalam Op Serkap ketika menjalankan kegiatan berkenaan di sebuah kafe di Taman Malim Jaya, Melaka pada 29 September lalu.


Ibu lima anak itu dipercayai menyamar sebagai pegawai kanan imigresen dan menawarkan perkhidmatan menguruskan permohonan pas kerja warga asing tanpa mereka perlu hadir ke pejabat imigresen.


Dalam serbuan itu, JIM merampas sebuah kereta Honda Civic, tiga telefon bimbit, sepasang pakaian seragam hitam bersama aksesori, sepasang tanda pangkat pegawai kanan imigresen, 'collar badge' JIM, lencana integriti, tanda nama, lanyard perkhidmatan, lencana Setia Berjasa dan sepasang kasut kerja berwarna hitam.

Penyelamat bingung, anjing 'hidup semula' ketika dibawa untuk dikebumikan

Penyelamat bingung, anjing 'hidup semula' ketika dibawa untuk dikebumikan


Disangka sudah mati dan dibalut kain putih untuk dikebumikan, seekor anjing jantan mengejutkan pasukan penyelamat apabila tiba-tiba bangun selepas diletakkan di atas lori mereka, lapor portal Khaosod.


Kejadian pelik itu dirakam dan tular di media sosial sehingga meraih lebih empat juta tontonan dalam tempoh semalaman dengan rata-rata warga maya terhibur dengan insiden itu.


Pengguna Facebook, Namta Khon Lew, memuat naik video itu dengan kapsyen: "Tolong! Kejadian menakutkan pada siang hari. Penyelamat dihantui anjing hantu."


Insiden lucu itu bermula apabila Persatuan Penyelamat Kamphaeng Phet Khao Phap menerima panggilan daripada seorang penduduk tempatan untuk mengambil apa yang kelihatan seperti bangkai anjing sebelum meminta mengebumikannya.


Pada Ahad, sukarelawan Persatuan Penyelamat Kamphaeng Phet Khao Phap, Theera Phuengphat, 53, berkongsi kejadian berkenaan ketika ditemui di pejabat persatuan itu di daerah Nakhon Chum, daerah Mueang.


Theera berkata kejadian itu berlaku kira-kira jam 2.30 petang di Moo 1, di belakang Universiti Rajabhat Kamphaeng Phet.


Seorang penduduk meminta pasukan penyelamat mengambil anjing jantan yang terbaring tidak bergerak di hadapan sebuah rumah dan kelihatan seperti sudah mati.


Sukarelawan membalut anjing itu dengan kain putih dan membawanya ke pejabat mereka dengan niat untuk mengebumikannya.


Kira-kira lima minit selepas anjing itu diletakkan di atas kenderaan, ia tiba-tiba hidup semula menyebabkan pasukan penyelamat terpaksa memberhentikan kenderaan dan menurunkan anjing berkenaan sebelum ia terus berlari pergi.


Kejadian itu kemudian dimuat naik ke internet dan dengan pantas meraih jutaan tontonan serta komen.


Theera berkata pengalaman pelik itu menyebabkan pasukan penyelamat kebingungan dan ia kes pertama seumpamanya yang pernah mereka hadapi.

Tipu syarikat lebih RM6.2 juta, bekas pegawai pemasaran dipenjara 5 tahun

Tipu syarikat lebih RM6.2 juta, bekas pegawai pemasaran dipenjara 5 tahun


Bekas pegawai pemasaran dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan maksimum 24 sebatan oleh Mahkamah Majistret Tawau, pada Isnin selepas didapati bersalah atas 26 pertuduhan menipu syarikat tempatnya bekerja membabitkan kerugian lebih RM6.2 juta, tiga tahun lalu.


Majistret Don Stiwin Malanjum menjatuhkan hukuman itu terhadap Mok Chuang Leon, 38, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadapnya melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.


Bagi setiap 26 pertuduhan, tertuduh dikenakan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan, dengan semua hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak.


Bagaimanapun, mahkamah menetapkan maksimum 24 sebatan sahaja boleh dilaksanakan selaras dengan Seksyen 288(5) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).


Mok didakwa dengan curangnya menipu dan memperdaya kerani syarikat tempatnya bekerja supaya menyerahkan wang berjumlah RM6,212,266.84 dengan mengemukakan penyata bulanan jualan buah kelapa sawit yang tidak benar oleh dua syarikat miliknya iaitu Ampel Agent dan Sawit Borneo Sdn Bhd.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Perdana Square Commercial Centre, Batu 3½, Jalan Apas, Tawau antara Februari 2023 hingga Februari 2024.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.


Perbicaraan kes itu bermula pada 24 April 2025 dengan pihak pendakwaan memanggil 24 saksi untuk memberi keterangan, manakala pihak pembelaan hanya memanggil tertuduh sebagai saksi tunggal.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wildan Firdaus Ahmad Fazly, manakala tertuduh diwakili peguam Chen Wen Jye.


Dalam rayuan mitigasi sebelum hukuman dijatuhkan, peguam memaklumkan kira-kira RM1.2 juta daripada jumlah terbabit sudah dikembalikan yang menurut pembelaan adalah faktor mitigasi penting dalam menilai kesan kewangan kesalahan serta usaha tertuduh membuat bayaran balik.


Pembelaan turut memohon mahkamah memberikan hukuman ringan dengan mengambil kira keadaan peribadi tertuduh yang juga bapa tunggal dan menyara seorang anak lelaki berusia 10 tahun.


Pembelaan turut memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara rayuan sabitan difailkan di Mahkamah Tinggi.


Mahkamah kemudian membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman, dengan syarat notis rayuan difailkan semalam.


Bagaimanapun, jumlah jaminan dan syarat jaminan sedia ada dikekalkan sehingga rayuan berkenaan diputuskan.

Isnin, 5 Oktober 2026

Ibu dan nenek sedang tidur di ruang tamu, pasangan kekasih berkhalwat dalam bilik

Ibu dan nenek sedang tidur di ruang tamu, pasangan kekasih berkhalwat dalam bilik


Pasangan kekasih ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana disyaki berkhalwat dalam rumah di Plentong, Johor Bahru, awal pagi tadi, ketika ibu dan nenek wanita berkenaan sedang tidur.


JAINJ dalam satu kenyataan berkata, pemeriksaan kira-kira jam 3.15 pagi itu dilakukan sepasukan penguat kuasa selepas menerima aduan awam berhubung kegiatan pasangan berkenaan.


"Pemeriksaan di rumah kampung berkembar mendapati pintu utama rumah tidak berkunci, manakala pintu gril juga didapati tidak berkunci sebelum penguat kuasa memasuki rumah untuk menjalankan pemeriksaan," katanya.


Menurut kenyataan itu lagi, pemeriksaan di ruang tamu rumah itu kemudiannya menemukan dua wanita berusia 50-an dan 70-an yang juga ibu dan nenek wanita itu sedang tidur.


Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas sebuah bilik yang tertutup dan berkunci kemudiannya mendapat terdapat wanita dan lelaki dalam bilik berkenaan.


"Pasangan terbabit mengaku bukan suami isteri, sebaliknya mendakwa hanya berkawan dan lelaki berkenaan kerap datang ke rumah berkenaan untuk makan serta minum," katanya.


Beliau berkata, lelaki berusia 29 tahun dan berstatus bujang itu berasal dari negeri lain serta bekerja di Singapura manakala wanita berusia 24 tahun berasal dari daerah ini, tidak bekerja dan menjaga neneknya yang uzur.


"Siasatan lanjut mendapati lelaki berkenaan mengaku kerap datang ke rumah itu sejak berpindah ke bandar raya ini termasuk tiga hingga empat kali seminggu sehingga lewat malam atau awal pagi.


"Lelaki terbabit turut mengaku membiayai perbelanjaan rumah berkenaan termasuk bayaran sewa, selain membantu menanggung wanita yang tidak bekerja," katanya.


Menurut kenyataan itu, lelaki itu mendakwa mereka merancang untuk berkahwin pada hujung tahun ini, namun pemeriksaan mendapati tiada permohonan pernikahan dibuat di pejabat kadi setakat ini.


Pasangan terbabit ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat dan akan didakwa di Mahkamah Syariah.

Pindaan Akta 333: Hukuman penjara menanti 'mat rempit' mulai 1 November

Pindaan Akta 333: Hukuman penjara menanti 'mat rempit' mulai 1 November


Hukuman lebih berat, termasuk hukuman penjara, terhadap kegiatan samseng jalanan atau 'mat rempit' akan mula berkuat kuasa pada 1 November ini susulan pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).


Pengarah Kanan Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pindaan berkenaan sudah diluluskan Parlimen dan kini menunggu proses pewartaan akhir.


Beliau berkata, pindaan itu akan membolehkan anggota penguat kuasa mengambil tindakan lebih tegas terhadap individu yang terbabit dalam perlumbaan haram dan aktiviti menunggang secara berbahaya.


"Pindaan terhadap Akta 333 sudah diluluskan Parlimen dan jika semuanya berjalan lancar, ia akan dikuatkuasakan mulai 1 November.


"Kita akan mengenakan hukuman yang jauh lebih berat, termasuk hukuman penjara, terhadap kesalahan 'mat rempit'.


"Di bawah Seksyen 42(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987, pindaan itu juga akan memudahkan pegawai penyiasat mengambil tindakan," katanya.


Kifli berkata, JPJ kini menunggu pandangan Jabatan Peguam Negara, manakala proses yang masih berbaki adalah pewartaan pindaan berkenaan.


Beliau berkata, isu kegiatan 'mat rempit' adalah kebimbangan di peringkat nasional dan memerlukan tindakan penguatkuasaan berterusan oleh agensi berkaitan.


Katanya, masalah berulang membabitkan 'mat rempit' di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu juga akan ditangani menerusi kerjasama lebih erat antara JPJ dan polis.


"Isu mat rempit di lapangan terbang Kota Bharu adalah masalah yang berulang dan JPJ akan bekerjasama dengan polis bagi memastikan tindakan penguatkuasaan diambil," katanya.


Beliau berkata, pindaan terbaharu terhadap Akta 333 itu bertujuan memperkukuh penguatkuasaan terhadap perlumbaan haram, samseng jalanan dan kesalahan lain yang membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.


Pindaan itu juga dijangka memberikan peruntukan undang-undang yang lebih kukuh kepada agensi penguat kuasa untuk mengambil tindakan terhadap individu yang terbabit dalam aktiviti pemanduan berbahaya.

Pekerja gudang didakwa mabuk tunggang motosikal langgar peserta KL Marathon

Pekerja gudang didakwa mabuk tunggang motosikal langgar peserta KL Marathon


Pekerja gudang sebuah syarikat e-dagang yang menunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol sebelum melanggar dua peserta Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) awal bulan ini didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.


Bagaimanapun, Muhammad Saiful Sabinee, 21, mengaku tidak bersalah sebaik dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aliaa Anwar.


Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menunggang motosikal secara melawan arus ketika berada di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan iaitu 184 miligram (mg) bagi setiap 100 mililiter darah.


Perbuatan itu didakwa menyebabkan kecederaan kepada peserta larian, Mazni Lamin, 50, dan Azwan Ibrahim, 41, di Jalan Munshi, berhampiran sebuah gedung pakaian, di Kuala Lumpur jam 6.14 pagi, 3 Oktober lalu.


Oleh itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum tujuh tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM30,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya, Nurbatrisyia Mohd Razib mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.


Bagaimanapun, Muhammad Saiful yang tidak memiliki lesen memandu diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) merayu supaya mahkamah menetapkan jaminan minimum atas alasan hanya berpendapatan RM1,500 sebulan dan perlu menanggung empat adik beradiknya yang masih bersekolah.


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin. Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 7 Januari depan.


Sebelum ini, kejadian berkenaan tular selepas video menunjukkan dua peserta KLSCM terbaring di atas jalan selepas dilanggar sebuah motosikal.


Kejadian itu dilaporkan berlaku selepas penunggang motosikal terbabit menceroboh laluan yang ditutup dengan kon dan cuba melarikan diri secara melawan arus selepas diarahkan berhenti oleh anggota bertugas.


Akibat kejadian, peserta lelaki dilaporkan mengalami kecederaan di leher, manakala peserta wanita cedera di lutut kanan dan tangan sebelum kedua-duanya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan.

Lelaki warga Vietnam ditahan disyaki terbabit 200 kes pecah rumah di Jepun

Lelaki warga Vietnam ditahan disyaki terbabit 200 kes pecah rumah di Jepun


Polis Metropolitan Tokyo menahan seorang lelaki warga Vietnam yang disyaki terbabit dalam rangkaian kes pecah rumah secara besar-besaran di ibu negara dan 10 wilayah lain di Jepun membabitkan 69 juta yen (kira-kira RM1.79 juta), lapor Tokyo Reporter.


Menurut laporan media tempatan, suspek dikenali sebagai Tran Thanh Hai, 31, yang tidak bekerja dan tidak mempunyai kediaman tetap.


Dia dipercayai bertindak sebagai pemandu khas bagi kumpulan penjenayah yang turut dianggotai sekurang-kurangnya tiga lagi lelaki warga Vietnam.


Tran ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes pecah rumah dan mencuri susulan kejadian di sebuah kediaman di Bandar Sanjo, wilayah Niigata pada Oktober tahun lalu yang menyaksikan wang tunai kira-kira 100,000 yen (kira-kira RM2,500) dilarikan.


Ketika disoal siasat, Tran mengaku melakukan perbuatan berkenaan dan memberitahu bahawa dia direkrut menyertai kumpulan itu ketika berada di sebuah premis permainan pachinko.


"Saya direkrut di sebuah premis pachinko di wilayah Gunma oleh seseorang yang menawarkan 'pekerjaan memandu jarak jauh'.


"Saya memandu ke seluruh Jepun dan menerima ganjaran antara 60,000 yen (kira-kira RM1,500) hingga 100,000 yen (kira-kira RM2,500) bagi setiap perjalanan," katanya kepada pegawai penyiasat.


Polis mendapati Tran datang ke Jepun pada 2022 menerusi program latihan teknikal anjuran kerajaan, namun menetap di negara itu secara haram selepas tinggal lebih masa sejak tahun berikutnya.


Pihak berkuasa percaya kumpulan berkenaan aktif menyasarkan dan menceroboh rumah tidak berpenghuni sejak awal Jun tahun lalu.


Kumpulan itu disyaki terbabit dalam lebih 200 kes pecah rumah di Tokyo, Saitama, Chiba, Gunma, Tochigi, Ibaraki, Fukushima, Niigata, Nagano, Yamanashi dan Shizuoka.


Secara keseluruhan, siri kecurian berkenaan mengakibatkan kerugian wang tunai dan barangan berharga yang dianggarkan bernilai 69 juta yen (kira-kira RM1.79 juta).


Polis kini meneruskan siasatan terhadap kes jenayah lain yang mungkin dilakukan kumpulan berkenaan selain aktif mengesan rakan subahat Tran yang masih bebas.

12 individu ditahan disyaki ada kaitan dengan rangkaian pengganas di enam wilayah

12 individu ditahan disyaki ada kaitan dengan rangkaian pengganas di enam wilayah


Seramai 12 individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan rangkaian yang bergabung dengan Daulah Islamiyah dan rangkaian pengganas lain ditahan dalam beberapa operasi berasingan di enam wilayah di Indonesia.


Jurucakap unit antikeganasan Polis Nasional Indonesia, Detasmen Khas 88 (Densus 88), Mayndra Eka Wardhana berkata suspek berusia antara 22 hingga 52 tahun itu ditahan di Jawa Barat, Jawa Tengah, Sulawesi Tengah, Sulawesi Selatan, Riau dan Maluku Utara dalam operasi yang dijalankan sejak 2 Okt lepas.


Beliau berkata siasatan awal menemukan kaitan antara suspek meskipun kegiatan mereka merentasi wilayah berbeza, termasuk petunjuk mengenai indoktrinasi, pengukuhan rangkaian dan kegiatan lain.


"Satu daripada corak yang dikenal pasti membabitkan pertemuan dalam talian yang menghubungkan beberapa penyokong Daulah Islamiyah dari beberapa wilayah secara maya," katanya dalam satu kenyataan.


Mayndra berkata, penyiasat turut menemukan aktiviti yang disyaki sebagai latihan melibatkan beberapa individu yang ditahan, termasuk latihan fizikal dan menembak serta latihan lain yang dikaitkan dengan kegiatan pengganas.


Beliau berkata, siasatan masih diteruskan, dengan polis meneliti bahan bukti yang dirampas serta kemungkinan kaitan setiap suspek dengan individu atau rangkaian lain.


Katanya, penahanan itu adalah sebahagian daripada usaha pengesanan dan pencegahan awal terhadap kemungkinan tindakan pengganas dengan melumpuhkan kegiatan seperti pengukuhan rangkaian, propaganda, perekrutan dan latihan yang boleh membawa kepada keganasan.

Polis tahan 41 lelaki, rampasan RM114,211 kerana judi sabung ayam

Polis tahan 41 lelaki, rampasan RM114,211 kerana judi sabung ayam


Seramai 41 lelaki ditahan, selain pelbagai barangan serta wang berjumlah RM114,211 dirampas dalam serbuan membabitkan kegiatan judi sabung ayam di sebuah pondok di kebun durian di Papan, dekat Batu Gajah pada Sabtu.


Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, serbuan pada 7 malam itu diketuai Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dengan bantuan Bahagian D9 JSJ IPK Perak, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Batu Gajah serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak.


Individu ditahan membabitkan 40 lelaki tempatan dan seorang warga Indonesia.


"Antara yang ditahan adalah lelaki berusia 50 tahun yang mengaku sebagai penganjur dan pemilik premis, selain dua individu lain yang dipercayai bertindak sebagai pengadil dan pembantu penganjur.


"Kegiatan itu beroperasi sejak awal tahun ini dengan kadar pertaruhan mencecah sehingga RM20,000 bagi satu pusingan," katanya pada kenyataan, semalam.


Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953, Seksyen 32 Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.


Mohd Alwi menegaskan, PDRM Kontinjen Perak tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti perjudian haram serta penganiayaan haiwan.