Selasa, 2 Disember 2025

Intel umum pelaburan tambahan RM860 juta - PM Anwar

Intel umum pelaburan tambahan RM860 juta - PM Anwar


Intel Corporation mengumumkan pelaburan tambahan bernilai RM860 juta untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi pemasangan dan ujian mereka, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Beliau berkata, pelaburan ini berdasarkan keyakinan terhadap perancangan jangka panjang negara, termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.


"Intel turut merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan kerajaan Malaysia, khususnya terhadap pembangunan Kilang Pembungkusan Termaju di Pulau Pinang yang melibatkan perbelanjaan modal RM12 bilion dan kini 99 peratus siap," kata beliau dalam catatan di laman media sosial semalam.


Terdahulu, Perdana Menteri menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif Intel Corporation, Lip-Bu Tan, anak Malaysia yang telah mengharumkan nama negara dalam industri semikonduktor dan perisian di persada global.


"Dalam pertemuan tersebut, kami membincangkan perkembangan sektor semikonduktor serta usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan berkualiti tinggi," kata beliau.


Anwar turut menyambut baik kerjasama Intel dengan institusi pendidikan dan latihan melalui mata pelajaran elektif serta projek penyelidikan dan pembangunan yang telah menerima komitmen pembiayaan RM2.8 juta dalam tempoh dua tahun.


"Segala pelaburan ini mencerminkan keyakinan sebuah syarikat global terhadap Malaysia sebagai rakan kongsi utama dalam memacu inovasi, mengukuhkan ekosistem bakat tempatan dan mengekalkan daya saing negara di pentas dunia," kata beliau.

JIM serbu sarang pelacuran 'tumpuan' warga asing di Klang, 17 orang ditahan

JIM serbu sarang pelacuran 'tumpuan' warga asing di Klang, 17 orang ditahan


Seorang lelaki dikenali sebagai 'Kevin' dikesan berselindung di sebalik nama syarikat pengurusan hartanah dan import eksport bagi mendalangi kegiatan pelacuran kepada warga asing dengan bayaran RM50 hingga RM80 setiap sesi.


Ia dibongkar hasil serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ke atas sarang pelacuran di sebuah rumah kedai tiga tingkat membabitkan warga asing di kawasan Klang Sentral, yang diuruskan lelaki warga Bangladesh dikenali 'Kapten'.


Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan dilakukan pada jam 10.25 malam semalam dan seramai 17 warga asing ditahan.


Katanya, serbuan susulan aduan awam dan risikan oleh Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat JIM, Putrajaya selama dua minggu.


Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diperolehi, pasukan operasi dengan kekuatan seramai 14 pegawai pelbagai pangkat diatur gerak ke kawasan terbabit.


"Seramai 21 individu terdiri daripada sembilan lelaki dan sembilan wanita warganegara asing serta satu lelaki dan dua kanak-kanak lelaki warganegara tempatan diperiksa dalam operasi ini.


"Hasilnya, seramai lapan lelaki warganegara Bangladesh dan sembilan wanita warganegara Vietnam berusia antara 21 hingga 32 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen," katanya dalam kenyataan hari ini.


Zakaria berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tinggal lebih masa dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.


"Modus operandi kegiatan tidak bermoral terbabit adalah dengan menyediakan tempat penginapan bagi wanita warganegara asing ini menjalankan aktiviti mereka dengan berselindung di sebalik nama syarikat pengurusan hartanah dan import eksport seperti yang dipamerkan menerusi papan tanda di luar bangunan tiga tingkat itu.


"Sarang pelacuran ini diuruskan oleh seorang lelaki warganegara Bangladesh yang bertindak sebagai 'kapten' atau penjaga premis di mana sasaran mereka adalah dalam kalangan warga asing yang berada di dalam kawasan berhampiran lokasi itu," katanya.


Beliau berkata, salah seorang pelanggan warga asing yang ditahan mengaku membayar sebanyak RM50 hingga RM80 kepada 'kapten' bagi setiap sesi perkhidmatan seks yang ditawarkan.


"Dianggarkan jumlah keuntungan yang diperolehi setiap wanita warga asing terbabit adalah sebanyak RM400 hingga RM600 sehari bergantung kepada jumlah pelanggan.


"Siasatan awal mendapati 'kapten' diupah untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral ini oleh seorang lelaki warganegara tempatan yang dikenali sebagai 'Kevin'.


"Pemeriksaan dalam setiap bilik wanita turut menemui sebilangan besar alatan untuk menjalankan kegiatan seks seperti kondom dan gel pelincir pelbagai jenama," katanya.


Katanya, kesemua warga asing itu ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963 serta ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.


"JIM tidak akan berkompromi sama sekali terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalah guna pas di negara ini.


"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI)," katanya.


Antara warga asing ditahan JIM di kawasan Klang Sentral, Selangor. - Foto JIM.

Isnin, 1 Disember 2025

Usahawan permainan video miliki 300 anak tuntut RM175 juta daripada bekas kekasih

Usahawan permainan video miliki 300 anak tuntut RM175 juta daripada bekas kekasih


Seorang usahawan permainan video di China memfailkan saman bagi menuntut wang sebanyak 300 juta yuan (RM175 juta) daripada bekas teman wanitanya dalam pertikaian yang mencetuskan kemarahan di media sosial, lapor laman berita VNExpress semalam.


Pengasas permainan video Fantasy Westward Journey, Xu Bo tinggal bersama bekas kekasihnya, Tang Jing selama 14 tahun tanpa berkahwin.


Pemfailan mahkamah mengatakan bahawa Xu telah memindahkan 819 juta yuan (RM480 juta) kepada Tang antara tahun 2012 hingga 2018.


Xu mendakwa, Tang telah memulangkan kira-kira 515 juta yuan (RM300 juta) tetapi menurutnya, kira-kira 300 juta yuan masih belum dibayar. Justeru, dia memfailkan saman pada tahun 2024.


Awal bulan ini, Tang menulis hantaran online mengatakan bahawa dana itu dibelanjakan untuk menyokong apa yang digambarkan sebagai 'keluarga besar dengan 300 anak'. Xu didakwa sebagai bapa kepada kanak-kanak itu.


"Sebahagian besar wang yang saya terima digunakan untuk kos sara hidup harian kami dalam tempoh itu," kata Tang.


Tang berkata, mahkamah menolak tuntutan pembayaran balik Xu dan wanita itu kini memelihara 11 anak mereka.


Xu sebelum ini mengiklankan di media sosial untuk mendapatkan ramai teman wanita, dengan mengatakan matlamatnya adalah untuk menjadi bapa kepada sekurang-kurangnya 50 anak lelaki yang berkualiti tinggi.


Kes itu menimbulkan kemarahan dalam kalangan pengguna media sosial di China dengan ramai yang mengecam perbuatan tersebut.


"Bolehkah sesiapa menghentikannya? Hanya kerana dia mempunyai kekayaan, adakah itu bermakna dia boleh membesarkan anak-anak seperti ternakan?" tulis seorang pengguna media sosial.


"Kanak-kanak bukan serangga. Adakah dia menjalankan sejenis eksperimen pembiakan manusia?" kata pengguna media sosial lain.


Xu (kiri) menuntut wang sebanyak 300 juta yuan daripada Tang (kanan). - Foto Baidu.
Lelaki tikam isteri akibat cemburu, dakwa mangsa ada kekasih di Selangor

Lelaki tikam isteri akibat cemburu, dakwa mangsa ada kekasih di Selangor


Kerana cemburu, seorang lelaki warga emas sanggup menikam isterinya hingga mati di rumah mereka di Kampung Paku, Gual Ipoh di Tanah Merah hari ini selepas mengesyaki wanita itu mempunyai kekasih lain semasa bekerja di sebuah kantin sekolah di Selangor.


Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa, Mastura Abdullah, 40, meninggal dunia di ruang dapur rumah tersebut selepas ditikam suaminya yang berusia 63 tahun dengan senjata tajam.


Adik mangsa, Mohd. Jony Abdullah, 30, berkata, suspek yang merupakan abang iparnya menyerah diri di Balai Polis Gual Ipoh kira-kira dua jam kemudian selepas mengambil anaknya dari sekolah


Menurutnya, dia menyedari kejadian menimpa kakaknya selepas dihubungi ibu, Sakinah Mat Isa, 62.


"Saya bergegas ke rumah kakak dan terkejut selepas melihat anggota polis berada di dalam rumah. Arwah kakak merupakan isteri yang ketiga selepas suaminya menceraikan dua lagi isterinya sebelum ini. Mereka juga sudah mendirikan rumah tangga sejak 14 tahun lalu," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Tanah Merah hari ini.


Mohd. Jony memberitahu, kakaknya tiba di rumah dari Selangor kira-kira pukul 9 pagi selepas dia mengambil arwah di sebuah stesen minyak di Machang pagi tadi.


Sementara itu, sepupu arwah, Razuan Mat Yazid, 30-an berkata, arwah menumpang lorinya untuk pulang ke rumahnya di Kampung Paku, Gual Ipoh.


"Sepanjang perjalanan, arwah Mastura tidak membuka cerita masalah rumah tangganya kepada saya. Cuma suaminya mengesyaki arwah mempunyai teman lelaki sejak bekerja di Selangor. Suspek kerap menghubungi saya dan mengadu mengenai masalah itu," katanya.


Trak polis membawa mayat mangsa keluar dari lokasi kejadian di Kampung Paku, Gual Ipoh dekat Tanah Merah hari ini. - Foto Kosmo Online.

Ahad, 30 November 2025

Lelaki gelandangan menyamar 'tauke' kelab malam, tunjuk timbunan wang palsu tipu 5 wanita

Lelaki gelandangan menyamar 'tauke' kelab malam, tunjuk timbunan wang palsu tipu 5 wanita


Seorang lelaki warga China yang hidup gelandangan menipu lima wanita dengan menyamar sebagai individu kaya untuk mendapatkan wang mereka dalam tempoh 10 hari.


Memetik South China Morning Post, lelaki berusia 36 tahun itu menggunakan wang mangsa untuk mengunjungi premis mewah, membeli pakaian baharu dan telefon pintar terkini.


Penipuan itu terbongkar pada Ogos lalu apabila polis di Daerah Putuo, Shanghai menerima laporan daripada seorang wanita menggunakan nama samaran Liu Qian.


Liu mendakwa ditipu oleh lelaki bernama Chen yang menyamar sebagai pemilik kelab malam.


Sebelum itu, Liu yang bekerja sebagai pemandu pelancong, mengiringi Chen ke makan malam dan beberapa lokasi hiburan dengan janji dibayar 3,500 yuan (kira-kira RM2,044).


Keesokan harinya, Chen membawa beg plastik hitam berisi 50,000 hingga 60,000 yuan (kira-kira RM29,200 – RM35,040), dan mendakwa wang itu perlu diletakkan di bawah katil kerana alasan 'feng shui'.


Susulan itu, Chen berkata, dia mahu terus mengupah Liu dan wang tunai itu mencukupi untuk menampung perbelanjaan mereka yang akan datang.


Namun, apabila Chen keluar untuk 'menerima panggilan', Liu mendapati beg itu hanya berisi wang bukan asli yang digunakan untuk latihan pegawai kaunter bank.


Pihak polis kemudian mendapati Chen kerap mengunjungi premis mewah dengan wanita berbeza setiap kali dan semua perbelanjaan ditanggung oleh wanita terbabit.


Wanita terbabit percaya Chen seorang yang kaya setelah melihat timbunan wang yang kelihatan sah, tetapi apabila menyedari penipuan berkenaan, Chen dilaporkan hilang.


Apabila ditangkap, pakaian dan telefon pintar terkini milik Chen turut dibayar oleh wanita terbabit.


Difahamkan, Chen juga menggunakan akaun kedua untuk menyamar sebagai ejen dalam kumpulan sembang dalam talian, memaparkan tawaran pekerjaan 'teman menemani dengan bayaran tinggi' dan mempamerkan timbunan wang latihan dengan beberapa wang sebenar di atas serta bawah.


Chen akhirnya ditangkap atas tuduhan penipuan dan kes itu mencetuskan perbincangan hangat di media sosial China. - Sumber South China Morning Post.


Lelaki berusia 36 tahun itu menggunakan wang mangsa untuk mengunjungi premis mewah, membeli pakaian baharu dan telefon pintar terkini. - Foto SCMP.
Warisan hanya terima kerjasama dengan parti tempatan Sabah

Warisan hanya terima kerjasama dengan parti tempatan Sabah


Parti Warisan Sabah (Warisan) hanya bersedia menjalinkan kerjasama dengan parti yang benar-benar berteraskan Sabah, selaras dengan pendirian untuk memastikan pentadbiran negeri mencerminkan suara serta aspirasi rakyat tempatan.


Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, Warisan sejak dahulu konsisten bahawa masa depan Sabah mesti ditentukan oleh pimpinan yang berakar umbi di negeri itu, bukan dipengaruhi kepentingan politik dari Semenanjung.


Beliau berkata, sebarang kerjasama akan bergantung pada tafsiran sebenar terhadap istilah 'parti tempatan'.


Ditanya sama ada pendirian itu merangkumi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Shafie memberi bayangan bahawa beliau mempunyai keraguan terhadap komposisi dan penjajaran gabungan berkenaan.


"Isunya bukan soal dua blok. Kita mahu arah tuju negeri ditentukan oleh kehendak sebenar rakyat Sabah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Warisan di Kolombong, di Kota Kinabalu hari ini.


Shafie berkata, Warisan tidak menutup pintu perbincangan, namun sebarang rundingan mestilah berdasarkan kepimpinan tempatan yang tulen serta nilai pentadbiran yang benar-benar mewakili Sabah.


Mengulas dakwaan beliau bertemu mana-mana pemimpin parti pada malam keputusan PRN diumumkan, Shafie menafikannya dengan tegas.


"Tidak ada perjumpaan. Wallahi, saya tidak bertemu mana-mana pemimpin," katanya sambil memaklumkan beliau terus pulang berehat selepas kempen yang memenatkan.


Katanya, Warisan juga tidak merancang mengadakan sebarang rundingan pasca pilihan raya dalam masa terdekat, sehinggalah Dewan Undangan Negeri Sabah bersidang.


Pada PRN Sabah ke-17, Warisan memenangi 25 daripada 73 kerusi yang ditandingi.


Sementara itu, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri hari ini selepas mendakwa gabungan itu mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan negeri.

'Kacau' majlis pecah tanah, Rafidah Ibrahim, 3 individu ditahan

'Kacau' majlis pecah tanah, Rafidah Ibrahim, 3 individu ditahan


Selebriti yang juga aktivis, Rafidah Ibrahim antara empat individu yang ditahan selepas melakukan kekacauan pada Majlis Pecah Tanah Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur hari ini.


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pada jam 8.50 pagi bertindak atas maklumat berkaitan suatu perhimpunan yang diadakan bagi mencetuskan rusuhan dan pecah keamanan di majlis itu.


Menurutnya, polis menahan empat individu terdiri dua lelaki dan dua wanita berusia 39 hingga 47 tahun di kawasan sekitar Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.


"Empat individu terbabit semasa ditahan menjerit-jerit di mana mendatangkan kacau ganggu dan pecah keamanan semasa penugasan kawalan keselamatan di Majlis Pecah Tanah Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.


"Penahanan ke atas individu terbabit adalah untuk pencegahan sebagaimana peruntukan mengikut Seksyen 105 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) kerana disyaki menjadi individu yang mendalangi perhimpunan yang akan diadakan berikutan seruan mengajak orang ramai turun protes di Majlis Pecah Tanah Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur oleh penama Rafidah Ibrahim," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, seruan ini dimuat naik di laman media sosial Tiktoknya kelmarin atas tajuk Majlis Pecah Tanah Kampung Sungai Baru.


"Polis akan menjalankan siasatan lanjut ke atas keempat-empat orang terbabit berlandaskan peruntukan undang-undang," katanya.

PRN Sabah: UPKO kekal perjuangkan hak 40 peratus, sokong Hajiji sebagai Ketua Menteri

PRN Sabah: UPKO kekal perjuangkan hak 40 peratus, sokong Hajiji sebagai Ketua Menteri


Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) kekal mengutamakan perjuangan menuntut Hak 40 Peratus Sabah, kata Presidennya, Datuk Ewon Benedick.


Beliau berkata, parti itu khususnya melalui ketiga-tiga wakil rakyatnya akan akan terus mendukung dan memperjuangkan agenda serta wawasan 'Sabah First'.


"Mereka bukan sahaja menjaga kawasan malah turut mempertahankan maruah rakyat serta berjuang mendapatkan semula hak Negeri di Bawah Bayu ini.


"Pembayaran semula 40 peratus hasil penting kerana ia diperlukan untuk pembangunan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat Sabah itu sendiri," katanya dalam kenayaan hari ini.


Dalam pada itu, Ewon juga turut mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang telah mengangkat sumpah jawatan awal pagi tadi.


"UPKO menyokong beliau menjadi Ketua Menteri dan saya sendiri turut hadir ke upacara angkat sumpah jawatan tersebut di Istana Seri Kinabalu.


Saya dan wakil rakyat UPKO juga menyatakan bahawa beliau boleh menubuhkan Kerajaan Sabah yang terdiri daripada parti-parti lokal sepenuhnya," katanya.


Justeru, beliau menyerahkan kebijaksaan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu untuk menentukan ahli Kabinet di bawah pimpiannnya itu kelak.


"Yang penting, hubungan Sabah dengan kerajaan Persekutuan haruslah berasaskan kepada semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan.


"Dalam mengurus kestabilan politik negara, ia harus bertegas akan hak-haknya," katanya.


Ewon berkata, UPKO akan mendukung kepimpinan Hajiji sebagai Ketua Menteri berdasarkan kepada pengukuhan nilai dan tadbir urus terpuji.


"Parti UPKO juga menggesa seluruh rakyat Sabah kembali bersatu bagi membangun dan memajukan negeri serta mendapatkan kembali hak-haknya.


"Keputusan pilihan raya ini juga harus menjadi ikhtibar dan harus menjadi persiapan kepada pilihan raya umum yang seterusnya supaya agenda bersama 'Sabah First' dapat dijayakan," katanya.

Jumaat, 28 November 2025

Lelaki curi beg jemaah wanita ketika solat ditahan

Lelaki curi beg jemaah wanita ketika solat ditahan


Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki menceroboh ruang solat wanita dan mencuri dua beg ketika mangsa sedang menunaikan solat Isyak di Masjid Gong Mak Som, Kampung Raja, di Besut dalam kejadian Selasa lalu.


Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, suspek berusia 30 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Jalan Tok Raja, Kampung Gong Tok Tor, Jertih jam 7.20 pagi pada Khamis.


Menurutnya, penahanan itu dibuat susulan laporan polis diterima jam 8.27 malam hari sama oleh seorang lelaki yang dimaklumkan jemaah wanita mengenai kehilangan dua beg yang diletakkan di bahagian belakang ketika solat Isyak.


"Pengadu telah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati seorang lelaki memasuki ruang solat jemaah perempuan sebelum melarikan beg berkenaan.


"Gambar suspek yang dirakam CCTV turut tular di media sosial dan tindakan pantas sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Besut berjaya membawa kepada penangkapan suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, ujian saringan air kencing ke atas lelaki itu mendapati suspek positif methamphetamine.


"Hasil soal siasat, suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut dan turut mengaku terbabit dalam satu lagi kes curi di Jertih (Repot Jertih: 4188/25) yang disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.


Beliau berkata, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai berkaitan kegiatan curi itu, antaranya sehelai kemeja T berwarna hijau, sehelai seluar berwarna hitam, empat buah buku, dua beg kecil, kunci, tasbih dan beg kecil berzip.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, manakala bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara, denda atau sebat," katanya.


Beliau berkata, orang ramai juga diingatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.


Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki menceroboh ruang solat wanita dan mencuri dua beg ketika mangsa sedang menunaikan solat Isyak. - Foto Sinar Harian.

Khamis, 27 November 2025

Guru maut, kereta dipandu langgar belakang treler yang berada di tepi jalan

Guru maut, kereta dipandu langgar belakang treler yang berada di tepi jalan


Seorang guru maut selepas kereta dipandu melanggar belakang sebuah treler yang berada di tepi jalan di Jalan Kuantan Bypass berhampiran Kampung Pandan, Kuantan hari ini.


Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, mangsa, Mohd Heikal Hafiz Mohd Annuar, 39, yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Isap, Kuantan, meninggal dunia di tempat kejadian.


Katanya, berdasarkan laporan, kemalangan itu membabitkan dua kenderaan iaitu Proton Preve dan treler jenis Howo Sinotruk yang dipercayai berlaku pada jam 1.30 tengah hari.


"Siasatan awal mendapati, mangsa dalam perjalanan dari arah Jalan Airport menuju ke Permatang Badak.


"Apabila tiba di tempat kejadian, ketika kereta sedang bergerak lurus di lorong kiri, tiba-tiba dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar treler yang berada di tepi jalan.


"Akibat kemalangan itu, pemandu meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat. Pemandu treler berusia 50 tahun tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi hari ini.


Ashari berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987.


Guru maut selepas kereta dipandu melanggar sebuah treler di Jalan Kuantan Bypass berhampiran Kampung Pandan, Kuantan. - Foto Harian Metro.