Seorang lelaki dikenali sebagai 'Kevin' dikesan berselindung di sebalik nama syarikat pengurusan hartanah dan import eksport bagi mendalangi kegiatan pelacuran kepada warga asing dengan bayaran RM50 hingga RM80 setiap sesi.
Ia dibongkar hasil serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ke atas sarang pelacuran di sebuah rumah kedai tiga tingkat membabitkan warga asing di kawasan Klang Sentral, yang diuruskan lelaki warga Bangladesh dikenali 'Kapten'.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan dilakukan pada jam 10.25 malam semalam dan seramai 17 warga asing ditahan.
Katanya, serbuan susulan aduan awam dan risikan oleh Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat JIM, Putrajaya selama dua minggu.
Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diperolehi, pasukan operasi dengan kekuatan seramai 14 pegawai pelbagai pangkat diatur gerak ke kawasan terbabit.
"Seramai 21 individu terdiri daripada sembilan lelaki dan sembilan wanita warganegara asing serta satu lelaki dan dua kanak-kanak lelaki warganegara tempatan diperiksa dalam operasi ini.
"Hasilnya, seramai lapan lelaki warganegara Bangladesh dan sembilan wanita warganegara Vietnam berusia antara 21 hingga 32 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tinggal lebih masa dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.
"Modus operandi kegiatan tidak bermoral terbabit adalah dengan menyediakan tempat penginapan bagi wanita warganegara asing ini menjalankan aktiviti mereka dengan berselindung di sebalik nama syarikat pengurusan hartanah dan import eksport seperti yang dipamerkan menerusi papan tanda di luar bangunan tiga tingkat itu.
"Sarang pelacuran ini diuruskan oleh seorang lelaki warganegara Bangladesh yang bertindak sebagai 'kapten' atau penjaga premis di mana sasaran mereka adalah dalam kalangan warga asing yang berada di dalam kawasan berhampiran lokasi itu," katanya.
Beliau berkata, salah seorang pelanggan warga asing yang ditahan mengaku membayar sebanyak RM50 hingga RM80 kepada 'kapten' bagi setiap sesi perkhidmatan seks yang ditawarkan.
"Dianggarkan jumlah keuntungan yang diperolehi setiap wanita warga asing terbabit adalah sebanyak RM400 hingga RM600 sehari bergantung kepada jumlah pelanggan.
"Siasatan awal mendapati 'kapten' diupah untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral ini oleh seorang lelaki warganegara tempatan yang dikenali sebagai 'Kevin'.
"Pemeriksaan dalam setiap bilik wanita turut menemui sebilangan besar alatan untuk menjalankan kegiatan seks seperti kondom dan gel pelincir pelbagai jenama," katanya.
Katanya, kesemua warga asing itu ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963 serta ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.
"JIM tidak akan berkompromi sama sekali terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalah guna pas di negara ini.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI)," katanya.


EmoticonEmoticon