Khamis, 4 September 2025

Bangkai makhluk hidupan laut misteri ditemukan terdampar di pantai

Bangkai makhluk hidupan laut misteri ditemukan terdampar di pantai


Bangkai sejenis hidupan laut misteri ditemukan terdampar di sebuah pantai popular di Wales sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai spesies tersebut, lapor akhbar Daily Star pada 3 September 2025.


Penemuan itu dibuat oleh seorang penduduk tempatan di Pantai Cefn Sidan dalam daerah Carmarthenshire, pagi semalam.


Orang ramai percaya bahawa ia adalah bangkai ikan paus, namun sebilangan anggota badannya didapati tidak sama seperti mamalia itu.


Makhluk misteri itu digambarkan seperti raksasa kerana bersaiz besar sehingga mampu memuatkan empat buah kereta.


Selain memiliki apa yang kelihatan seperti sayap, ia juga berwarna hijau kekuningan, dipercayai berpunca daripada proses reputan yang terlalu lama.


Pakar marin sedang memeriksa bangkai tersebut untuk mengenal pasti punca kematian dan spesiesnya dengan tepat. - Sumber Daily Star.


Keadaan bangkai yang ditemukan terdampar di Pantai Cefn Sidan. - Foto Clayton Boswell.
Wanita pakai kostum anime 'Korumi Tokisaki' maut terjatuh kondominium

Wanita pakai kostum anime 'Korumi Tokisaki' maut terjatuh kondominium


Seorang wanita dengan kostum anime menyerupai karakter 'Korumi Tokisaki' ditemukan maut dipercayai selepas terjatuh dari tingkap sebuah kondominium di Bayan Lepas, Balik Pulau, malam tadi.


Mayat mangsa yang berambut perang seakan warna merah jambu itu dijumpai orang awam di petak parkir kereta, aras bawah perumahan terbabit, kira-kira pukul 9.20 malam.


Difahamkan, kejadian disedari penduduk selepas terdengar dentuman kuat dari lokasi kejadian, berhadapan sebuah tadika.


"Kami sangka berlaku kejadian gempa bumi tetapi gegaran itu berlaku hanya sekali.


"Bunyi kuat seperti 10 tong gas jatuh dari tempat tinggi. Awalnya, saya dengar ada orang awam jerit. Saya terus ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa sudah terbaring dalam keadaan sudah tidak sempurna," dakwa salah seorang penghuni yang tinggal di lokasi berhampiran.


Dalam pada itu, dakwa penduduk lagi, mangsa juga seringkali dilihat mengenakan cosplay anime yang lengkap sambil membawa anak patung berada di kawasan lobi kondominium.


Malah, mereka turut mendakwa kali terakhir melihat mangsa dengan seorang wanita dipercayai ibunya petang semalam (hari kejadian).


"Ibu mangsa juga dilihat mengenakan kostum anime sama cuma watak yang berbeza. Mereka memang tinggal di sini tapi kami tidak pasti tingkat berapa (lokasi kediaman) mereka," ujarnya.


Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang, kira-kira pukul 12.30 malam tadi.


Anggota polis ketika hadir di lokasi kejadian di sebuah kondominium di Bayan Lepas, malam tadi (Rabu).
Lelaki ditahan sorok beruang matahari dalam bekas bertutup rapat dalam Myvi

Lelaki ditahan sorok beruang matahari dalam bekas bertutup rapat dalam Myvi


Bekas bertutup rapat yang dilubangkan di sekelilingnya dalam sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki di pinggiran hutan berhampiran Bandar Seri Alam, Johor Bahru membongkar penemuan seekor beruang matahari (Malayan Sun Bear) pada Rabu.


Pembongkaran itu dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Johor kira-kira jam 12.35 tengah hari.


Komander PSP, Senior Asisten Komisioner Rosli Yusof berkata, pemandu Perodua Myvi iaitu seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun telah ditahan.


Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang lesen atau kebenaran bertulis untuk menyimpan serta memelihara haiwan tersebut.


"Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM70,057 termasuk kenderaan, barangan peribadi serta beruang matahari terbabit.


"Operasi bersepadu ini membuktikan komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya PSP, dalam memerangi aktiviti haram yang melibatkan hidupan liar," katanya hari ini.


Tambahnya, beruang matahari ialah spesies yang dilindungi dan usaha menyelamatkan hidupan liar daripada menjadi mangsa perdagangan haram mesti dilakukan secara berterusan.


Tegasnya, kerjasama erat dengan Jabatan Perhilitan Johor membuktikan keberkesanan pendekatan intra dan inter agensi dalam terus mempergiatkan risikan serta operasi bersepadu dari semasa ke semasa demi memastikan undang-undang dipatuhi, selain khazanah negara dipelihara.


"Ini agar generasi akan datang tidak kehilangan khazanah alam yang amat bernilai.


"Orang awam diminta supaya tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui sebarang aktiviti penyeludupan atau pemeliharaan haiwan liar tanpa permit," ujarnya.


Kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).


Seekor beruang matahari dirampas susulan penahanan sebuah kereta yang dipandu lelaki tempatan di pinggiran hutan berhampiran Bandar Seri Alam, Johor Bahru semalam (Rabu). - Foto PSP.

Rabu, 3 September 2025

Pegawai kanan polis wanita ditahan SPRM kes minta suapan RM8,000

Pegawai kanan polis wanita ditahan SPRM kes minta suapan RM8,000


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur menahan dua individu termasuk seorang pegawai kanan polis kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM8,000 sebagai balasan tidak meneruskan siasatan ke atas satu kes pergaduhan.


Majistret Aina Azahra Arifin membenarkan pegawai wanita terbabit direman empat hari bermula Ahad lepas, manakala suspek lelaki direman tujuh hari bermula Sabtu lalu selepas perintah dikeluarkan Majistret Chan Jia Kay.


Permohonan reman dibuat SPRM masing-masing di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan Mahkamah Majistret Putrajaya.


Menurut sumber, kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an telah ditangkap berasingan pada 29 dan 31 Ogos lalu sekitar Kuala Lumpur antara jam 10 malam hingga 12 tengah malam.


"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat di mana suspek lelaki menjadi orang tengah meminta wang rasuah bernilai kira-kira RM8,000.


"Suspek lelaki tersebut dipercayai menerima wang rasuah secara tunai dan kemudiannya memberikan wang tersebut kepada suspek wanita juga secara tunai," katanya.


Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Sekyen 17 (a) Akta SPRM 2009 bagi suspek wanita manakala suspek lelaki disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.


Kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an itu ditangkap berasingan dalam operasi pada Jumaat dan Sabtu lalu oleh sepasukan pegawai SPRM di sekitar Kuala Lumpur. - Foto Berita Harian.
Pelancong asing terkejut jumpa rusa 'kayangan' di tepi tasik

Pelancong asing terkejut jumpa rusa 'kayangan' di tepi tasik


Seorang pelancong asing menemui seekor rusa jantan berwarna putih berkeliaran di tepi tasik Loch of the Lowes dekat Dunkeld, Scotland, lapor portal berita MailOnline semalam.


Menurut cerita rakyat, rusa putih tidak pernah dapat ditangkap, melambangkan pencarian abadi manusia terhadap sesuatu yang mustahil dicapai.


Pelancong dari Belanda, Jose van Hell terkejut terserempak dengan haiwan itu ketika dia mengembara.


"Dalam perjalanan ke Pitlochry, kami singgah di Loch of the Lowes. Kami sempat berbual dengan seorang sukarelawan di sana, dia memberitahu kami tentang rusa putih itu.


"Bagi kami ia sangat ajaib. Nasib baik rusa itu bangun dan bergerak, kalau tidak saya akan percaya haiwan itu hanyalah sebuah patung.


"Ini merupakan salah satu detik paling indah dalam perjalanan kami dan memori yang tidak akan kami lupakan," katanya.


Seorang pelancong asing terjumpa seekor rusa putih. - Foto Jam Press/Jose van Hell.

Selasa, 2 September 2025

Presiden China sifatkan hubungan dengan Malaysia erat seperti air sentiasa mengalir

Presiden China sifatkan hubungan dengan Malaysia erat seperti air sentiasa mengalir


Presiden China, Xi Jinping menyifatkan hubungan rapat antara China dan Malaysia 'erat ibarat air yang sentiasa mengalir'.


Beliau berkata, hubungan China-Malaysia yang terjalin sejak lebih 50 tahun lalu menyaksikan kedua-dua negara bekerjasama menuju pemodenan.


Jinping juga mengakui kehangatan sambutan rakyat Malaysia ketika lawatan beliau ke Kuala Lumpur meninggalkan kesan mendalam padanya.


"China dan Malaysia berkongsi persahabatan yang lama terjalin, erat seperti air yang mengalir. Sejak hubungan diplomatik terjalin lebih setengah abad lalu, kedua-dua negara sentiasa berdiri teguh bersama menghadapi perubahan landskap antarabangsa.


"(Kedua-dua negara) berjalan seiring menuju pemodenan dan berjaya membuka lembaran baharu hubungan 'emas 50 tahun' China-Malaysia," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap sempena kunjungan hormat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Great Hall of the People di Beijing, malam ini.


Dalam pada itu, Jinping menitipkan pesanan kepada Anwar untuk menyampaikan salam hormat kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.


Katanya, ketika lawatan beliau pada April lalu, kedua-dua negara mencapai kesepakatan membina komuniti strategik peringkat tinggi China-Malaysia dan berkongsi masa depan bersama.


"China sedia bekerjasama dengan Malaysia untuk memajukan pembinaan komuniti strategik peringkat tinggi China-Malaysia dengan masa depan bersama.


"Ini demi memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara dan menyumbang kepada keamanan serta pembangunan serantau dan global," katanya.


Anwar hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Jinping dan Perdana Menteri China, Li Qiang di Rumah Tetamu Negara Diaoyutai.


Anwar berada di China untuk lawatan kerja selama empat hari, lawatan keempatnya sejak 2023.


Di Tianjin semalam, beliau menghadiri dan menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak SCO Plus 2025. Hari ini, beliau mempengerusikan siri mesyuarat bersama peneraju industri utama China.


Esok pula, beliau dijadualkan bertemu pemimpin dunia lain di Dataran Tiananmen bagi menyaksikan perbarisan Hari Kemenangan China.


Anwar bersalaman dengan Jinping ketika pertemuan di Great Hall of the People di Beijing, hari ini. - Foto Bernama.
Suami orang dan janda antara 3 pasangan ditahan berkhalwat dalam bilik hotel

Suami orang dan janda antara 3 pasangan ditahan berkhalwat dalam bilik hotel


Suami orang dan kekasihnya yang juga janda antara tiga pasangan ditahan selepas disyaki berkhalwat apabila ditemui berdua-duaan dalam bilik hotel ketika pemeriksaan Ops Bersepadu di Lahad Datu, tengah malam tadi.


Operasi selama empat jam bermula 9 malam itu dijalankan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia.


Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Lahad Datu Mardi Ariffin berkata, operasi bersepadu itu membabitkan pemeriksaan terhadap 10 hotel di sekitar bandar ini.


Menurutnya, sebanyak 60 bilik diperiksa dan membawa kepada penahanan ketiga pasangan terbabit.


"Pasukan operasi turut merampas beberapa barangan antaranya kondom, tisu dan cecair pelincir," katanya.


Difahamkan, kesemua pasangan yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk siasatan lanjut.


Kes disiasat mengikut Seksyen 84 (Khalwat) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah No 3/1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.


Bagi pesalah wanita, mereka juga berdepan kemungkinan ditempatkan di rumah kebajikan sehingga tiga tahun.


Antara pasangan yang ditangkap berkhalwat dalam serbuan Ops Bersepadu di beberapa hotel di Lahad Datu. - Foto Sinar Harian.

Isnin, 1 September 2025

Kereta Ahli Parlimen Dungun terbakar di LPT2 menghala ke Kuala Terengganu

Kereta Ahli Parlimen Dungun terbakar di LPT2 menghala ke Kuala Terengganu


Kereta Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli dilaporkan terbakar dalam kejadian di Kilometer 330 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) menghala ke Kuala Terengganu hari ini (Isnin).


Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II, Rohaya Jamil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.47 tengah hari sebelum sebuah jentera bersama 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kerteh digerakkan ke lokasi kejadian.


Menurutnya, kebakaran melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang terbakar hampir 95 peratus.


"Seorang lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa berada dalam kenderaan tersebut namun kedua-duanya selamat," katanya ketika dihubungi hari ini.


Beliau berkata, operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran hos dari tangki air jentera bomba dan api berjaya dikawal pada jam 1.17 tengah hari sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.25 tengah hari.


Sebelum itu, insiden berkenaan tular di media sosial selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkongsi video kejadian tersebut.


"Kereta YB Ustaz Wan Hassan terbakar di LPT2 sebentar tadi. Mohon doa sahabat-sahabat dimudahkan urusan YB Ustaz dan isteri," tulisnya menerusi hantaran di laman sosial Facebook.


Kenderaan milik Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, musnah terbakar hampir 95 peratus dalam kejadian di LPT2 berhampiran susur keluar Paka, hari ini. - Foto Facebook.
Gelang emas hilang, wanita minta keringkan sungai

Gelang emas hilang, wanita minta keringkan sungai


Sebuah kolam tadahan air terjun di Indonesia terpaksa 'dikeringkan' demi mencari gelang emas milik seorang wanita yang hilang ketika berenang, lapor portal berita Lambe Turah.


Kejadian berlaku di Sungai Mudal baru-baru ini.


Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @fldzh_Ina menunjukkan beberapa petugas berusaha mencari barang kemas di sekitar kolam yang kering-kontang.


"Saya pasti gelang itu jatuh ke dalam sungai. Saya nampak gelang itu berada di pergelangan tangan sebelum hilang. Saya sudah biasa berenang tanpa menanggalkan barang perhiasan," kata wanita itu.


Gelang tersebut ditemukan tidak lama kemudian oleh dirinya sendiri.


Rakaman itu mencatatkan lebih 550,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.


"Sungai sanggup jadi 'korban' demi seorang wanita," kata seorang netizen.


Tangkap layar video menunjukkan beberapa petugas berusaha mencari gelang emas di sekitar kolam yang dikeringkan. - Foto TikTok.

Ahad, 31 Ogos 2025

Abang 'sado' tampil sopan, tiada lagi otot sasa terdedah

Abang 'sado' tampil sopan, tiada lagi otot sasa terdedah


Akur terhadap kecaman dan kritikan, anggota tentera darat berbadan sasa tampil lebih 'sopan' pada perbarisan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya, hari ini.


Berbanding imej dedah otot 'seksi' dan sasa pada penampilan raptai penuh pada Jumaat lalu, otot berurat abang askar sado hari ini ditutup dengan baju.


Walaupun tanpa mendedahkan otot sasa, mereka tetap diberi sorakan dan teriakan oleh pengunjung yang hadir di Dataran Putrajaya.


Sebelum ini, kemunculan anggota tentera darat berbadan sado di majlis raptai penuh Hari Kebangsaan 2025 telah pun menjadi bualan hangat di platform media sosial.


Perkara tersebut telah menimbulkan rasa kurang senang untuk sesetengah pihak, di mana mereka mempersoalkan sama ada menayang tubuh badan sudah menjadi satu trend 'wajib' apabila perarakan Hari Kebangsaan.


Imej 'abang sado' tentera darat yang tampil lebih sopan selepas mengenakan baju bersesuaian pada sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Putrajaya hari ini. - Foto Kosmo Online.

Imej anggota tentera darat dedah otot 'seksi' dan sasa pada penampilan raptai sebelum ini. - Foto Bernama.