Khamis, 4 September 2025

Lelaki ditahan sorok beruang matahari dalam bekas bertutup rapat dalam Myvi


Bekas bertutup rapat yang dilubangkan di sekelilingnya dalam sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki di pinggiran hutan berhampiran Bandar Seri Alam, Johor Bahru membongkar penemuan seekor beruang matahari (Malayan Sun Bear) pada Rabu.


Pembongkaran itu dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Johor kira-kira jam 12.35 tengah hari.


Komander PSP, Senior Asisten Komisioner Rosli Yusof berkata, pemandu Perodua Myvi iaitu seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun telah ditahan.


Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang lesen atau kebenaran bertulis untuk menyimpan serta memelihara haiwan tersebut.


"Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM70,057 termasuk kenderaan, barangan peribadi serta beruang matahari terbabit.


"Operasi bersepadu ini membuktikan komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya PSP, dalam memerangi aktiviti haram yang melibatkan hidupan liar," katanya hari ini.


Tambahnya, beruang matahari ialah spesies yang dilindungi dan usaha menyelamatkan hidupan liar daripada menjadi mangsa perdagangan haram mesti dilakukan secara berterusan.


Tegasnya, kerjasama erat dengan Jabatan Perhilitan Johor membuktikan keberkesanan pendekatan intra dan inter agensi dalam terus mempergiatkan risikan serta operasi bersepadu dari semasa ke semasa demi memastikan undang-undang dipatuhi, selain khazanah negara dipelihara.


"Ini agar generasi akan datang tidak kehilangan khazanah alam yang amat bernilai.


"Orang awam diminta supaya tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui sebarang aktiviti penyeludupan atau pemeliharaan haiwan liar tanpa permit," ujarnya.


Kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).


Seekor beruang matahari dirampas susulan penahanan sebuah kereta yang dipandu lelaki tempatan di pinggiran hutan berhampiran Bandar Seri Alam, Johor Bahru semalam (Rabu). - Foto PSP.


EmoticonEmoticon