Khamis, 4 September 2025

Wanita pakai kostum anime 'Korumi Tokisaki' maut terjatuh kondominium


Seorang wanita dengan kostum anime menyerupai karakter 'Korumi Tokisaki' ditemukan maut dipercayai selepas terjatuh dari tingkap sebuah kondominium di Bayan Lepas, Balik Pulau, malam tadi.


Mayat mangsa yang berambut perang seakan warna merah jambu itu dijumpai orang awam di petak parkir kereta, aras bawah perumahan terbabit, kira-kira pukul 9.20 malam.


Difahamkan, kejadian disedari penduduk selepas terdengar dentuman kuat dari lokasi kejadian, berhadapan sebuah tadika.


"Kami sangka berlaku kejadian gempa bumi tetapi gegaran itu berlaku hanya sekali.


"Bunyi kuat seperti 10 tong gas jatuh dari tempat tinggi. Awalnya, saya dengar ada orang awam jerit. Saya terus ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa sudah terbaring dalam keadaan sudah tidak sempurna," dakwa salah seorang penghuni yang tinggal di lokasi berhampiran.


Dalam pada itu, dakwa penduduk lagi, mangsa juga seringkali dilihat mengenakan cosplay anime yang lengkap sambil membawa anak patung berada di kawasan lobi kondominium.


Malah, mereka turut mendakwa kali terakhir melihat mangsa dengan seorang wanita dipercayai ibunya petang semalam (hari kejadian).


"Ibu mangsa juga dilihat mengenakan kostum anime sama cuma watak yang berbeza. Mereka memang tinggal di sini tapi kami tidak pasti tingkat berapa (lokasi kediaman) mereka," ujarnya.


Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang, kira-kira pukul 12.30 malam tadi.


Anggota polis ketika hadir di lokasi kejadian di sebuah kondominium di Bayan Lepas, malam tadi (Rabu).


EmoticonEmoticon