Isnin, 1 September 2025

Kereta Ahli Parlimen Dungun terbakar di LPT2 menghala ke Kuala Terengganu


Kereta Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli dilaporkan terbakar dalam kejadian di Kilometer 330 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) menghala ke Kuala Terengganu hari ini (Isnin).


Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II, Rohaya Jamil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.47 tengah hari sebelum sebuah jentera bersama 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kerteh digerakkan ke lokasi kejadian.


Menurutnya, kebakaran melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang terbakar hampir 95 peratus.


"Seorang lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa berada dalam kenderaan tersebut namun kedua-duanya selamat," katanya ketika dihubungi hari ini.


Beliau berkata, operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran hos dari tangki air jentera bomba dan api berjaya dikawal pada jam 1.17 tengah hari sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.25 tengah hari.


Sebelum itu, insiden berkenaan tular di media sosial selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkongsi video kejadian tersebut.


"Kereta YB Ustaz Wan Hassan terbakar di LPT2 sebentar tadi. Mohon doa sahabat-sahabat dimudahkan urusan YB Ustaz dan isteri," tulisnya menerusi hantaran di laman sosial Facebook.


Kenderaan milik Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, musnah terbakar hampir 95 peratus dalam kejadian di LPT2 berhampiran susur keluar Paka, hari ini. - Foto Facebook.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon