Sabtu, 17 Mei 2025

Seorang duda ditahan, polis rampas dadah bernilai lebih RM1.6 juta

Seorang duda ditahan, polis rampas dadah bernilai lebih RM1.6 juta


Polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah susulan penahanan seorang duda sekali gus membolehkan bahan terlarang bernilai lebih RM1.6 juta dirampas, minggu lalu.


Serbuan dilakukan ke atas sebuah rumah di Taman Mulia, Batu Pahat, pada jam 7.45 malam dan turut menahan lelaki berusia 33 tahun dipercayai pengedar dadah.


Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, dalam serbuan itu, polis merampas serbuk disyaki jenis ekstasi dan ketamin seberat 9,925.7 gram (g).


Menurutnya, siasatan mendapati suspek beroperasi secara solo dengan menjadikan rumah terbabit sebagai stor penyimpanan dan pembungkusan sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.


Katanya, hasil siasatan dijalankan, suspek dipercayai melakukan kegiatan ini sejak bulan lalu.


"Dalam serbuan itu, polis menemui serbuk ekstasi seberat 9,465.40g bernilai RM1.58 juta, manakala ketamin, 460.30g bernilai RM23,000.


"Siasatan juga mendapati dadah yang dirampas boleh digunakan untuk 47,000 penagih," katanya dalam kenyataan hari ini.


Shahrulanuar berkata, saringan ujian air kencing ke atas suspek didapati negatif dadah selain tiada rekod jenayah mahupun dadah.


Menurutnya, polis turut menyita sebuah kereta dan wang tunai RM5,000 dengan kesemua nilai sitaan berjumlah RM45,000.


"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.


Shahrulanuar (tengah) menunjukkan dadah lebih RM1.6 juta yang dirampas susulan tangkapan seorang duda di Taman Mulia, Batu Pahat minggu lalu. - Foto PDRM.

Khamis, 15 Mei 2025

Dua kakitangan JPN di Semporna dipenjara 12 bulan, denda RM10,000, bersalah terima rasuah

Dua kakitangan JPN di Semporna dipenjara 12 bulan, denda RM10,000, bersalah terima rasuah


Dua Pembantu Pendaftaran Gred KP22, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) masing-masing dijatuhi hukuman 12 bulan penjara dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di Tawau hari ini, selepas didapati bersalah atas pertuduhan menerima rasuah, enam tahun lalu.


Hukuman itu diputuskan Hakim Jason terhadap Yuliana Saat, 50, dan Azmi Amir Lunji, 48, yang didapati bersalah atas pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 di akhir kes pembelaan.


Jason dalam penghakimannya berkata, kedua-dua tertuduh didapati gagal untuk menyangkal anggapan statutori di bawah Seksyen 50 Akta SPRM 2009 berdasarkan Keseimbangan Kebarangkalian terhadap pertuduhan pindaan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.


"Oleh itu, pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan pindaan itu melampaui keraguan munasabah terhadap kedua-dua tertuduh.


"Bagaimanapun selepas mendengar rayuan bagi pihak kedua-dua tertuduh dan hujahan balas daripada pihak pendakwaan selain menimbangkan fakta kes, jenis kesalahan yang dilakukan, serta mengambil kira kepentingan awam, mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman penjara selama satu tahun dan denda sebanyak RM10,000.


"Sekiranya gagal membayar denda kedua-dua tertuduh dikehendaki menjalani hukuman penjara tambahan selama enam bulan," katanya.


Mengikut kertas pertuduhan pindaan, Yuliana dan Azmi yang bertugas di JPN Cawangan Semporna, masing-masing secara rasuah memperolehi daripada seorang wanita dikenali sebagai Sufiah Said suatu suapan iaitu wang tunai sebanyak RM2,000 pada 26 April 2017.


Perbuatan itu dilakukan sebagai dorongan untuk menerima dan memproses permohonan pendaftaran kad pengenalan anak kembar Sufiah yang berusia 12 tahun.


Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Rekhraj Singh manakala Yuliana diwakili peguam Datu Baginda Datu Laja, dan Azmi diwakili peguam Jakariya Ab Jalil.


Mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu notis permohonan rayuan kedua-kedua tertuduh difailkan di Mahkamah Tinggi dalam tempoh 14 hari dari tarikh sabitan hari ini.


Bagaimanapun kedua-dua tertuduh dikehendaki menjelaskan bayaran denda pada hari ini. Kedua-dua tertuduh membayar denda berkenaan.


Pembantu Pendaftaran, Azmi Amir Lunji dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM10,000 selepas didapati bersalah menerima rasuah, enam tahun lalu. - Foto Harian Metro.

Rabu, 14 Mei 2025

Perlis haramkan penjualan vape berkuat kuasa 1 Ogos ini

Perlis haramkan penjualan vape berkuat kuasa 1 Ogos ini


Penjualan rokok elektronik atau vape diharamkan di negeri Perlis berkuat kuasa mulai 1 Ogos ini, kata Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.


Beliau berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan larangan penggunaan vape yang diputuskan haram menerusi keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis mengenai rokok elektronik itu pada 2022.


"(Sehubungan itu) mana-mana peniaga vape (di Perlis) kena bersiap sedia untuk mencari perniagaan baharu, lesen dan operasi perniagaan mereka akan dihentikan (mulai 1 Ogos nanti)," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kangar hari ini.


Mohd Shukri berkata, meskipun tidak dapat mengekang penggunaan vape sepenuhnya, namun beliau optimis dengan tindakan mengharamkan penjualan rokok elektronik itu untuk menyelamatkan anak-anak muda daripada terjebak dengan pengambilan vape.


Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan melakukan operasi pemantauan dan penguatkuasaan terhadap premis-premis perniagaan yang menjual vape itu selepas 1 Ogos nanti.


Penjualan rokok elektronik atau vape diharamkan di negeri Perlis berkuat kuasa mulai 1 Ogos ini. - Foto Sinar Harian.

Selasa, 13 Mei 2025

Beli murah rupanya tiruan, 17 orang maut akibat minum arak beracun

Beli murah rupanya tiruan, 17 orang maut akibat minum arak beracun


Sekurang-kurangnya 17 orang maut akibat minum arak beracun di negeri Punjab, India, menurut pegawai hari ini.


Kematian dilaporkan berlaku di beberapa kampung di kawasan Majitha, daerah Amritsar.


Dalam satu hantaran di platform X, Ketua Menteri Punjab, Bhagwant Mann berikrar akan menghukum pihak yang bertanggungjawab atas tragedi itu.


Pesuruhjaya daerah Amritsar, Sakshi Sawhney berkata, beberapa individu yang disyaki sebagai pembekal arak haram telah ditahan.


Enam individu yang jatuh sakit selepas minum arak pada malam Isnin kini sedang menerima rawatan perubatan.


Kematian akibat 'hooch'atau arak tiruan kerap berlaku di India kerana segelintir penduduk membeli minuman keras haram disebabkan larangan penjualan arak di sesetengah kawasan atau harganya yang murah.


Lebih 100 orang maut dan ramai lagi hilang penglihatan selepas meminum arak tiruan di daerah Tarn Taran, Amritsar dan Gurdaspur di Punjab pada 2020. - Sumber The Times Of India.


Sekurang-kurangnya 17 orang maut dan beberapa lagi dimasukkan ke hospital selepas meminum arak tiruan di Amritsar, Punjab. - Foto The Times Of India.

Ahad, 11 Mei 2025

Penunggang motosikal maut tak sempat mengelak anjing melintas

Penunggang motosikal maut tak sempat mengelak anjing melintas


Seorang penunggang motosikal maut selepas tidak sempat mengelak seekor anjing yang melintas di Kampung Parit Buloh, Air Kuning Selatan di Tampin semalam.


Dalam kejadian pada jam 11 malam itu, mangsa berusia 20 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di klinik kesihatan berhampiran.


Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, siasatan mendapati mangsa yang menunggang motosikal Honda RS dalam perjalanan dari rumah ke sebuah kedai burger di Taman Semarak, Air Kuning Selatan.


"Apabila sampai di tempat kejadian, semasa sedang bergerak terus, tiba-tiba seekor anjing melintas jalan di laluan motosikal dan penunggang tidak sempat mengelak lalu melanggar anjing tersebut.


"Akibat kemalangan itu, mangsa iaitu penunggang motosikal telah tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala," katanya menerusi kenyataan hari ini.


Katanya, mangsa telah dibawa ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan dan disahkan meninggal dunia pada jam 12.08 tengah malam, Ahad.


Ujarnya, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tampin untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan hadir ke Balai Polis Trafik IPD Tampin.


Seorang penunggang motosikal maut selepas tidak sempat mengelak seekor anjing yang melintas di Kampung Parit Buloh, Air Kuning Selatan di Tampin pada Sabtu. - Foto Sinar Harian.

Sabtu, 10 Mei 2025

Dua wanita Thailand tawar khidmat seks ditahan di Penampang

Dua wanita Thailand tawar khidmat seks ditahan di Penampang


Dua wanita warga Thailand ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti persundalan di sebuah hotel di Jalan Bundusan, Penampang pada tengah malam tadi.


Tangkapan dibuat kira-kira jam 12.40 tengah malam menerusi Operasi Bersepadu Mencegah Jenayah Op Noda yang dijalankan oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.


Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, hasil pemeriksaan terdapat dua wanita berusia 30-an berada di bilik hotel.


"Siasatan lanjut mendapati, kedua-dua wanita melakukan aktiviti persundalan dengan menggunakan platform dalam talian untuk mendapatkan pelanggan.


"Turut dirampas ialah telefon bimbit, tablet, kondom dan wang pelbagai mata wang yang dipercayai digunakan dalam aktiviti tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.


Susulan tangkapan tersebut, Sammy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam aktiviti persundalan.


"Jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.


Sammy dalam pada itu menegaskan bahawa IPD Penampang sentiasa komited dalam usaha membanteras aktiviti tidak bermoral di daerah itu.


"Orang ramai juga diminta terus menyalurkan maklumat sebarang kegiatan jenayah di kawasan masing-masing," katanya.


Wanita warga Thailand antara ditahan dalam operasi yang dijalankan di bilik hotel Jalan Bundusan, Penampang di Sabah. - Foto Sinar Harian.

Khamis, 8 Mei 2025

Wanita maut terjun dari van di Lebuhraya Kesas selepas bertengkar dengan suami

Wanita maut terjun dari van di Lebuhraya Kesas selepas bertengkar dengan suami


Siasatan polis mendapati wanita yang maut di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Awan Besar pada Selasa lalu, bertindak terjun dari van yang dinaikinya.


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, ia berdasarkan hasil soal siasat yang dijalankan terhadap suami wanita berkenaan.


"Siasatan mendapati sebelum kejadian, berlaku pertengkaran antara pasangan itu mengenai penggunaan van oleh isterinya yang tidak memiliki lesen memandu.


"Semasa pertengkaran, wanita itu memberitahu mahu terjun sebelum benar-benar melakukannya, dan suami meneruskan perjalanan pulang ke rumah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.


Rusdi berkata, lelaki berusia 50 tahun itu ditahan di rumahnya di Taman Kinrara, Puchong, Selangor, pada hari kejadian.


"Suspek kini direman selama empat hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan."


Dalam kejadian pada jam 2.35 petang Selasa, polis menerima maklumat daripada seorang lelaki yang melihat wanita tercampak dari sebuah van, sebelum kenderaan itu terus meninggalkan lokasi kejadian di Lebuhraya Kesas.


Siasatan di lokasi kejadian mengesahkan wanita berusia 44 tahun itu telah meninggal dunia. Susulan itu, polis menahan suami wanita terbabit kira-kira jam 6 petang pada hari yang sama.


Suspek yang bekerja sebagai penghantar barangan penghawa dingin mempunyai satu rekod jenayah lampau dan dua rekod berkaitan dadah.


Siasatan polis mendapati wanita yang maut di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Awan Besar di Kuala Lumpur pada Selasa lalu, bertindak terjun dari van yang dinaiki. - Foto ihsan pembaca.

Rabu, 7 Mei 2025

Batu pengadang pintu rupa-rupanya objek bernilai lebih RM4 juta

Batu pengadang pintu rupa-rupanya objek bernilai lebih RM4 juta


Seorang wanita tidak menyedari batu pengadang pintu yang digunakan selama beberapa dekad rupa-rupanya objek berharga yang dianggarkan bernilai kira-kira AS$1.1 juta (RM4.86 juta).


Menurutnya, batu itu ditemui di dasar sungai di tenggara Bucharest yang merupakan kepingan batu ambar terbesar pernah dijumpai di dunia setakat ini.


Resin pokok fosil mempunyai nilai yang tinggi kerana warna tona hangat dan ia biasanya terdapat di sekitar perkampungan Colti yang merupakan tapak perlombongan sejak 1920-an.


Ambar milik wanita itu dikenal pasti sebagai jenis rumanite yang berwarna tona merah kaya.


El Pais melaporkan pihak berkuasa telah menyerahkan ketulan batu berharga itu yang diberikan waris keluarganya kepada pakar Muzium Sejarah di Poland yang mempunyai bahagian khusus untuk penyelidikan objek tersebut.


Warsaw turut mengesahkan ketulenan batu ambar tersebut dan dianggarkan berusia antara 38.5 dan 70 juta tahun.


"Penemuannya adalah bukti kepentingan besar di peringkat saintifik dan muzium," ujar Pengarah Muzium Wilayah Buzau, Daniel Costache.


Ia adalah batu ambar terbesar pernah ditemui di dunia setakat ini. - Foto Agensi.

Isnin, 5 Mei 2025

Wanita dipenjara 11 tahun, terbunuh suami pendera ketika melarikan diri

Wanita dipenjara 11 tahun, terbunuh suami pendera ketika melarikan diri


Seorang wanita di China yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga dihukum penjara 11 tahun kerana membunuh suaminya ketika cuba melarikan diri daripada ancaman lelaki itu.


Hukuman ke atas Coa mencetuskan perdebatan hangat di negara berkenaan dengan ramai menyokong tindakan Cao dan mempersoalkan hukuman berat ke atas mangsa keganasan rumah tangga, lapor SCMP pada 3 Mei 2025.


Wanita dari wilayah Hebei di utara China itu bertemu suaminya, bernama Liu, pada 2015 selepas diperkenalkan ahli keluarga.


Selepas berkencan selama beberapa tahun, mereka berkahwin pada 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki.


Bagaimanapun, hubungan pasangan itu sentiasa bergolak sehingga Liu mula bertindak ganas dan kerap memukul Cao.


Menurut bapa Cao, sikap panas baran Liu bertambah buruk pada 2021.


Kejadian yang mendorong kematian Liu berlaku pada Mei 2024, apabila lelaki itu mengancam isterinya dengan pisau dan menyerangnya di luar rumah selepas mengesyaki wanita itu keluar makan malam dengan lelaki lain.


Bagaimanapun, siasatan pihak berkuasa kemudiannya mengesahkan bahawa Cao hanya bertemu dengan seorang rakan wanita pada hari berkenaan.


Ketika kejadian, Liu juga dikatakan mengheret Cao dan mengoyakkan pakaiannya, sebelum berhenti mengganas untuk menghisap rokok.


Mengambil kesempatan itu, Cao yang ketakutan cuba melarikan diri dengan memandu kereta tetapi Liu bertindak memanjat bonet, hingga kereta berkenaan terbabas di tepi jalan.


Kedua-duanya cedera, namun Liu meninggal dunia akibat kecederaan dalaman, manakala Cao patah tulang.


Pada 24 Mac, mahkamah mendapati Cao bersalah kerana berniat membunuh dan menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun.


Menurut mahkamah, Cao sedar yang Liu bergayut pada bonet kereta, namun masih memandu laju yang mendorong kepada kemalangan maut.


"Tertuduh menunjukkan sikap acuh tak acuh terhadap keselamatan Liu, mengakibatkan maut," menurut keputusan itu. - Sumber SCMP.


Cao sering didera suaminya, Liu. - Foto Douyin.

Ahad, 4 Mei 2025

Isteri pertama buat laporan, lelaki ditangkap kerana beristeri 3

Isteri pertama buat laporan, lelaki ditangkap kerana beristeri 3


Seorang lelaki di negeri Florida ditahan kerana berkahwin dengan tiga wanita berbeza, lapor portal berita MSNews pada 3 Mei 2025.


Henry Betsey Jr. berdepan tuduhan poligami dengan pihak berkuasa mendakwa bahawa dia berkahwin dengan tiga wanita itu untuk keuntungan kewangan, menurut portal berita ABC Action News.


Henry bertemu dengan setiap wanita itu di platform janji temu berbeza iaitu Tinder, Match.com dan Stir.


Siasatan lanjut mendedahkan dia juga mempunyai profil di laman temu janji yang keempat.


Perkahwinan itu terbongkar selepas isteri pertama, Tonya mengesyaki suaminya curang.


Setelah melakukan siasatan, Tonya membuat laporan kepada pihak berkuasa yang menangkap Henry atas tuduhan poligami.


Sebelum tangkapan dilakukan, dua isterinya tidak tahu bahawa Henry sudah berumah tangga. - Sumber MSNews.


Hendry Betsey Jr. memiliki tiga isteri. - Foto ABC Action News.