Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) meluahkan kekesalan berikutan tindakan Malaysia menarik diri daripada saingan Piala Negara-Negara CAFA 2025.
FAM pada petang tadi mengumumkan penarikan diri skuad Harimau Malaya daripada kejohanan berkenaan atas beberapa kekangan antaranya penganjuran pertandingan yang berlangsung di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Situasi berkenaan dikatakan memberikan cabaran segala aspek kepada skuad kebangsaan, memandangkan kelab-kelab tidak mempunyai kewajipan untuk melepaskan pemain mereka.
Keputusan yang dibuat itu nyata menimbulkan kekesalan CAFA yang menyatakan penyertaan Malaysia sudah pun disahkan lebih awal, dengan pengetahuan penuh terhadap tarikh kejohanan dari 29 Ogos hingga 8 September 2025 selain memaklumkan jadual pertandingan tidak pernah berubah sejak awal.
"Malangnya, penarikan diri pada saat akhir ini menjejaskan beberapa proses penganjuran yang sedang berjalan terutamanya memandangkan perancangan dan persediaan sudah berada di peringkat akhir.
"FAM memaklumkan sebab penarikan diri adalah kerana kejohanan ini tidak sepenuhnya berlangsung dalam kalendar perlawanan antarabangsa FIFA dan oleh itu pelepasan pemain mungkin akan terhad.
"Namun berdasarkan peraturan kejohanan, pendaftaran akhir pemain yang dipilih daripada senarai 35 pemain boleh dikemukakan mengikut perlawanan.
"Ini memberikan ruang fleksibiliti maksimum termasuk kemungkinan tonggak utama menyertai pasukan untuk perlawanan seterusnya.
"Apapun, CAFA kekal komited untuk untuk menganjurkan kejohanan yang berkualiti dan kompetitif untuk Asia Tengah dan akan datang... kami berterima kasih kepada negara yang terus memberikan sokongan dan kerjasama," kata CAFA dalam satu kenyataan di media sosial mereka.
EmoticonEmoticon