Seorang lelaki berusia 55 tahun dari Rampur, India, mencetuskan kontroversi apabila bertindak melarikan diri bersama tunang kepada anak lelakinya yang masih remaja, selain turut membawa lari simpanan wang tunai dan barang kemas milik keluarga.
Lelaki berkenaan, Shakeel, seorang bapa kepada enam anak dan datuk kepada tiga cucu, dilaporkan mengahwini wanita berusia 22 tahun yang dikenali sebagai Ayesha, yang pada asalnya dijodohkan dengan anaknya sendiri yang berusia 17 tahun.
Menurut isterinya, Shabbana, Shakeel sendiri yang mencadangkan perkahwinan antara Aman dengan Ayesha, walaupun beliau menentang hasrat itu atas faktor kewangan dan usia anak mereka yang masih terlalu muda.
"Wanita yang sepatutnya menjadi menantu saya kini telah menjadi isteri kepada suami saya," luah Shabbana kepada media tempatan.
Difahamkan, Shakeel kerap mengunjungi rumah Ayesha atas alasan menguruskan persiapan perkahwinan.
Namun, Shabbana mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena sejak awal lagi. Apabila ditanya, Shakeel dikatakan bertindak memarahi dan memukul isterinya.
Tidak berputus asa, Shabbana akhirnya berjaya memperoleh bukti hubungan sulit antara suaminya dengan wanita tersebut. Apabila mesej-mesej berkenaan ditunjukkan kepada Aman, remaja itu mengambil keputusan untuk membatalkan perkahwinan.
Namun, pada bulan lalu, Shakeel yang kononnya ke Delhi atas urusan kerja, membuat panggilan telefon kepada keluarganya untuk memaklumkan bahawa dia telah menikahi Ayesha.
Lebih mengejutkan, Shakeel turut membawa lari lebih 200,000 rupee (sekitar RM11,200) serta barang kemas keluarga. Walaupun tindakan itu boleh diklasifikasikan sebagai kecurian di bawah undang-undang India, pihak polis memaklumkan bahawa mereka tidak dapat mengambil sebarang tindakan kerana tiada laporan rasmi dibuat setakat ini.
Insiden ini mencetuskan sensasi di media sosial, malah mengingatkan orang ramai kepada kes serupa sebelum ini, di mana seorang lelaki di India bertindak melarikan diri bersama bakal ibu mentuanya hanya sembilan hari sebelum majlis perkahwinannya berlangsung. - Sumber The Times Of India.
EmoticonEmoticon