Seorang penghibur jalanan di Purbalingga, wilayah Jawa Tengah mengamuk selepas diberikan wang sumbangan cuma 2,000 rupiah (RM0.50) daripada pengunjung, lapor laman berita Detik, semalam.
Dalam sebuah video tular di media sosial, lelaki berpakaian seperti wanita itu dikatakan tersinggung kerana mendapat wang sumbangan yang sedikit.
"Tahun 2013 saya sudah mempunyai kereta di Purbalingga. Keretanya masih elok lagi," katanya kepada pengunjung berkenaan dalam nada marah.
Selepas menyedari dirinya dirakam, lelaki tersebut cuba melarikan diri, namun dia berpatah balik dan meludah ke arah pengunjung itu.
Ia membuatkan pengunjung tersebut menjerit dan menarik perhatian orang ramai yang kemudian mengejarnya. Mereka meminta penghibur jalanan itu memohon maaf sebelum dia sempat melarikan diri.
Sementara itu, Ketua Badan Ketenteraman Awam Purbalingga, Sutrisno berkata, pihaknya sudah menerima laporan berhubung isu itu.
"Kami sedang mencarinya. Dia diketahui sering berada di kawasan Alun-Alun Purbalingga, namun kelibatnya tidak kelihatan," kata Sutrisno.
Beliau menyatakan bahawa kejadian yang tular di media sosial itu bukanlah yang pertama seumpamanya. Beliau telah menerima laporan sebelum ini mengenai kejadian serupa.
"Kami telah menerima maklumat. Ada juga kejadian sebelum ini. Di Alun-Alun sama di Purbalingga Food Centre (PFC) pada Khamis lalu," jelasnya.
Sutrisno berkata penghibur jalanan itu sering menimbulkan keresahan orang ramai. Dia sering meminta tapi jika diberi sedikit atau tidak diberi, dia langsung menjadi marah. - Sumber Detikjateng.
EmoticonEmoticon