Seorang wanita di China yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga dihukum penjara 11 tahun kerana membunuh suaminya ketika cuba melarikan diri daripada ancaman lelaki itu.
Hukuman ke atas Coa mencetuskan perdebatan hangat di negara berkenaan dengan ramai menyokong tindakan Cao dan mempersoalkan hukuman berat ke atas mangsa keganasan rumah tangga, lapor SCMP pada 3 Mei 2025.
Wanita dari wilayah Hebei di utara China itu bertemu suaminya, bernama Liu, pada 2015 selepas diperkenalkan ahli keluarga.
Selepas berkencan selama beberapa tahun, mereka berkahwin pada 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki.
Bagaimanapun, hubungan pasangan itu sentiasa bergolak sehingga Liu mula bertindak ganas dan kerap memukul Cao.
Menurut bapa Cao, sikap panas baran Liu bertambah buruk pada 2021.
Kejadian yang mendorong kematian Liu berlaku pada Mei 2024, apabila lelaki itu mengancam isterinya dengan pisau dan menyerangnya di luar rumah selepas mengesyaki wanita itu keluar makan malam dengan lelaki lain.
Bagaimanapun, siasatan pihak berkuasa kemudiannya mengesahkan bahawa Cao hanya bertemu dengan seorang rakan wanita pada hari berkenaan.
Ketika kejadian, Liu juga dikatakan mengheret Cao dan mengoyakkan pakaiannya, sebelum berhenti mengganas untuk menghisap rokok.
Mengambil kesempatan itu, Cao yang ketakutan cuba melarikan diri dengan memandu kereta tetapi Liu bertindak memanjat bonet, hingga kereta berkenaan terbabas di tepi jalan.
Kedua-duanya cedera, namun Liu meninggal dunia akibat kecederaan dalaman, manakala Cao patah tulang.
Pada 24 Mac, mahkamah mendapati Cao bersalah kerana berniat membunuh dan menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun.
Menurut mahkamah, Cao sedar yang Liu bergayut pada bonet kereta, namun masih memandu laju yang mendorong kepada kemalangan maut.
"Tertuduh menunjukkan sikap acuh tak acuh terhadap keselamatan Liu, mengakibatkan maut," menurut keputusan itu. - Sumber SCMP.
EmoticonEmoticon