Seorang penunggang motosikal maut selepas tidak sempat mengelak seekor anjing yang melintas di Kampung Parit Buloh, Air Kuning Selatan di Tampin semalam.
Dalam kejadian pada jam 11 malam itu, mangsa berusia 20 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di klinik kesihatan berhampiran.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, siasatan mendapati mangsa yang menunggang motosikal Honda RS dalam perjalanan dari rumah ke sebuah kedai burger di Taman Semarak, Air Kuning Selatan.
"Apabila sampai di tempat kejadian, semasa sedang bergerak terus, tiba-tiba seekor anjing melintas jalan di laluan motosikal dan penunggang tidak sempat mengelak lalu melanggar anjing tersebut.
"Akibat kemalangan itu, mangsa iaitu penunggang motosikal telah tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa telah dibawa ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan dan disahkan meninggal dunia pada jam 12.08 tengah malam, Ahad.
Ujarnya, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tampin untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan hadir ke Balai Polis Trafik IPD Tampin.
EmoticonEmoticon