Ahad, 20 Februari 2022

Saintis temui galaksi terbesar terletak 3 bilion tahun cahaya dari Bumi

Saintis temui galaksi terbesar terletak 3 bilion tahun cahaya dari Bumi


Ahli-ahli astronomi menemui galaksi terbesar yang pernah ditemukan dalam satu penemuan yang menakjubkan, lapor laman berita Wion News pada 16 Februari 2022.


Alcyoneus merupakan galaksi gergasi terletak pada jarak sekitar 3 bilion tahun cahaya yang mencapai 5 megaparsek. Parsek merupakan unit ukuran yang digunakan untuk mengukur jarak objek angkasa di luar sistem suria.


Struktur bersaiz 16.3 juta tahun cahaya itu adalah struktur asal galaksi terbesar yang pernah ditemui manusia - cahaya bergerak pada kelajuan 300,000 kilometer sesaat.


Kekurangan pemahaman manusia berkaitan galaksi mega tersebut dan punca pertumbuhan menakjubkan itu dipaparkan menerusi penemuan kali ini.


Penemuan itu bagaimanapun mungkin membuka jalan kepada pemahaman lebih mendalam tentang galaksi radio gergasi dan medium antara galaksi yang terapung di ruang angkasa raya.


Galaksi Alcyoneus ditemui menggunakan data daripada pemerhatian satelit Wide-field Infrared Survey Explorer milik NASA dan teleskop Low Frequency ARray (LOFAR) yang berpangkalan di Eropah. 


Teleskop tersebut merangkum kira-kira 20,000 antena radio yang didirikan di 52 kawasan di seluruh Eropah.


Ahli-ahli astronomi mendapati galaksi itu adalah galaksi berbentuk keluk yang biasa tetapi memiliki saiz kira-kira 240 bilion kali lebih besar daripada Matahari, demikian menurut penemuan yang diterbitkan menerusi jurnal Astronomi & Astrofizik.


Galaksi radio gergasi hanyalah satu lagi teka-teki yang tidak dapat diselesaikan dalam alam semesta yang diragui.


Ia terdiri daripada galaksi tuan rumah (sekumpulan bintang di sekeliling nukleus galaksi yang mengandungi lohong hitam) dan jet serta lobus besar yang meletus dari teras galaksi.


Berinteraksi dengan medium antara galaksi, jet dan lobus ini berfungsi sebagai synchrotron, mempercepatkan elektron yang menghasilkan pelepasan radio.


Bumi yang kita diami adalah sebahagian daripada Galaksi Bima Sakti, salah satu daripada banyak galaksi di alam semesta. Galaksi Bima Sakti dianggarkan mengandungi 100 hingga 400 bilion butir bintang.


Di pusat galaksi ini terletaknya sebuah lohong hitam supermasif dikenali dengan nama Sagittarius A*, Sistem Suria kita duduk 27,000 tahun cahaya dari pusat tersebut.


Cakera najam galaksi Bima Sakti mempunyai garis pusat lebih kurang 100,000 tahun cahaya dan purata ketebalannya dipercayai kira-kira 1,000 tahun cahaya. 


Gambar menunjukkan galasi Alcyoneus yang terletak pada jarak kira-kira 3 bilion tahun cahaya dari Bumi. - Foto WionNews.
Saintis temui varian genetik bakteria baharu dalam kapal angkasa bantu manusia hidup di Marikh

Saintis temui varian genetik bakteria baharu dalam kapal angkasa bantu manusia hidup di Marikh


Sepasukan saintis telah mengenal pasti tiga varian genetik baharu bakteria yang belum ditemui sebelum ini, di dalam sebuah kapal angkasa yang mengorbit Bumi 15 kali sehari, lapor akhbar Daily Star pada 17 Februari 2022.


Mikroorganisma tersebut ditemui di lokasi berasingan termasuk ruang pertumbuhan khas tumbuh-tumbuhan, di mana penyelidik telah cuba untuk menanam tanaman dalam keadaan sifar graviti.


"Tiga varian Methylobacteriaceae yang berbentuk batang dan mampu bergerak, tidak pernah ditemui sebelum ini," demikian menurut kajian oleh NASA yang diterbitkan di dalam jurnal Frontiers In Microbiology.


Para penyelidik berpendapat bahawa penemuan itu dapat membantu dalam misi penerokaan planet Marikh kerana ciri-ciri bakteria tersebut yang mampu membantu tumbuh-tumbuhan untuk bertumbuh.


Disebabkan kepentingan kajian tersebut, para saintis kini ingin mengembangkan Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) dengan menempatkan sebuah makmal biologi baharu untuk mengumpul, memproses dan menganalisis mikrob di angkasa tanpa menghantar semula ke Bumi.


Dua saintis NASA, Dr. Nitin Kumar Singh dan Dr. Kasthuri Venkateswaran berkata, adalah amat penting untuk mencari bakteria baharu yang dapat membantu tumbuhan hidup dalam keadaan sukar serta lokasi ekstrem berserta sumber terhad.


"Berbanding mengembalikan sampel ke Bumi untuk pemeriksaan, sistem pemantauan mikrob bersepadu yang mengumpul, memproses dan menganalisis sampel di lokasi iaitu angkasa, menggunakan teknologi molekul, akan mempercepatkan proses tersebut.


"Apabila kita sudah menakluki Marikh, adalah menjadi satu cabaran untuk menanam tumbuh-tumbuhan, namun bakteria ini mungkin akan memudahkan semua itu," kata mereka.


Mikroorganisma tersebut ditemui di lokasi berasingan termasuk ruang pertumbuhan khas tumbuh-tumbuhan. - Foto NASA.

Khamis, 17 Februari 2022

Bekas ratu cantik jadi pemandu treler 44 tan

Bekas ratu cantik jadi pemandu treler 44 tan


Seorang model dan bekas finalis pertandingan ratu cantik Miss England 2018, menukar haluan kerjaya apabila menyertai latihan sebagai pemandu kenderaan barangan berat (HGV), lapor akhbar Daily Mail pada 13 Februari 2022.


Milly Everatt, 22, dari Eastoft, Lincolnshire, mengambil keputusan itu berikutan krisis kekurangan pemandu lori yang berlaku di United Kingdom (UK), tambahan pula, pekerjaan tersebut menawarkan gaji lumayan.


Everatt yang juga anak petani bekerja keras ke arah mencipta kerjaya baharu, untuk menangkis streotaip dalam industri tradisional yang didominasi oleh golongan lelaki.


Dia ketika ini berlatih untuk kategori lesen pemandu kenderaan barangan berat (HGV) kelas 1 dan 2, yang mungkin menyaksikan model berusia 22 tahun itu bakal memandu lori membawa muatan seberat 44 tan.


"Saya fikir kita berada di zaman moden dan tiada apa yang boleh menghalang gadis seperti saya terlibat dalam dunia yang didominasi lelaki.



"Ia bukan norma tetapi ia sepatutnya. Ia juga sesuatu yang tidak difikirkan oleh orang ramai, ia tidak cukup difikirkan dalam feminisme.


"Saya mengenali beberapa anak perempuan petani yang tidak melakukan apa-apa untuk membantu ibu bapa mereka bertani. Pertanian telah dilupakan oleh feminisme.


"Saya mahu membuktikan bukan hanya lelaki berusia 40-an yang mampu melakukan kerja ini dan jika ia memberi inspirasi kepada wanita lain untuk melakukan perkara yang sama," kata Everatt.


Meskipun berjaya di pentas peragaan, mendapatkan lesen HGV sentiasa berada dalam senarai perkara yang perlu dilakukan oleh Milly.


"Saya sepatutnya melakukannya pada usia 18 tahun tetapi penularan wabak Covid-19 berlaku jadi saya menangguhkannya.


"Kekurangan pemandu HGV pada tahun lepas benar-benar mendorong saya untuk mendapatkannya semula," jelasnya.


Milly Everatt dari Eastoft, Lincolnshire, telah dinobatkan sebagai Miss Charity pada 2018.
 
Everatt mahu menghapuskan stereotaip bahawa hanya lelaki 40-an sahaja yang boleh memandu HGV.
Berlian biru paling besar, dilelong pada harga lebih RM200 juta

Berlian biru paling besar, dilelong pada harga lebih RM200 juta


Firma lelongan Sotheby's mengumumkan pada Rabu bahawa ia akan melelong sebutir berlian biru paling besar dan amat berharga di Hong Kong pada April depan, lapor Daily Mail pada 16 Februari 2022.


Belian biru seberat 15.10 karat itu dikenali sebagai De Beers Cullinan Blue Diamond, ditemui di Lombong Culinan, Afrika Selatan pada April 2021, yang juga antara beberapa lombong di dunia di mana berlian biru boleh ditemui.


Naib Presiden Kanan Sotheby's merangkap Pengarah Jualan Barangan Kemas, Frank Everett, berkata berlian itu amat luar biasa dalam pelbagai aspek. Ia akan ditawarkan pada lelongan di Sotheby's Hong Kong pada harga lebih AS$48 juta (RM200 juta).


"Ia dipotong tanpa mengalami sebarang kecacatan yang terbesar bagi berlian biru dan pernah digredkan oleh Institut Gemologi Amerika (GIA).


"Saya yakin ia akan mendapat sambutan menggalakkan pada acara lelongan nanti kerana pasaran kini amat kukuh bagi barangan kemas dalam tempoh beberapa tahun.


"Antara sektor paling kuat ialah permintaan bagi berlian berwarna dan antara yang paling diminati ialah warna biru," katanya.


Jualan itu menandakan buat kali pertamanya berlian biru lebih daripada 15 karat yang pernah dilelong. Ia lebih besar daripada Oppenheimer Blue seberat 14.62 karat yang dilelong pada harga AS$57.5 juta (RM240.48 juta) pada Mei 2016.


Sebutir berlian biru terbesar akan dilelong di Hong Kong pada April depan. - Foto AFP.
Hasil Jual Biawak, Lelaki Borong Emas Buat Perhiasan Demi Dapat Tuah

Hasil Jual Biawak, Lelaki Borong Emas Buat Perhiasan Demi Dapat Tuah


Hanya kerana terlalu obses dengan emas, seorang lelaki Vietnam, baru-baru ini tular kerana memakai barang kemas yang banyak di leher dan di tangannya, serta memilik motosikal dan sebuah kereta yang disaluti dengan emas.


Tran Duc Loi, 39, seorang ahli perniagaan dari wilayah An Giang di Vietnam, menjadi perhatian di negaranya kerana minat dengan logam berharga.


Menurut lapor Oddity Central pada 15 Februari 2022, sejak tiga tahun yang lalu, Tran, mencari rezeki dengan menjual biawak Amerika Selatan sebagai haiwan peliharaan yang mahal. Hal tersebut menyebabkan beliau mampu untuk membeli emas yang banyak.


"Dia percaya emas membawa nasib baik dalam perniagaan, dan memastikan untuk memakai perhiasan jenis itu sebanyak mungkin apabila dia keluar rumah," lapor Oddity Central.


"Pada mulanya, saya hanya memakai beberapa barang kemas, dan kemudian saya terus menambah lagi. Saya mula merasakan beratnya, tetapi saya sudah terbiasa dengannya.


"Saya cuba mencari keseimbangan, kerana aksesori emas kecil mudah pecah, manakala aksesori yang terlalu tebal berat untuk dipakai untuk jangka masa yang lama," katanya.



Selain daripada perhiasan mewah yang dipakainya setiap kali muncul dalam video TikTok, dia juga mempunyai sebuah kereta Lexus disadur emas serta beberapa motosikal yang disaluti emas.


Menurutnya, itu semua bersalut emas, dan mengakui sukar untuk meninggalkan kenderaan di luar tanpa pengawasan. Proses penyaduran emas sahaja dipercayai menelan belanja ratusan juta dong Vietnam.


Duc Loi mendedahkan bahawa dia memakai hampir dua kilogram barang kemas setiap kali keluar rumah, termasuk rantai leher berbentuk naga 250 gram, 10 cincin emas besar, gelang tebal dan jam tangan besar bersalut emas.


Jelasnya, dia tidak memakai semuanya secara sembarangan, tetapi sebaliknya bergantung pada prinsip feng shui. Ia dipercayai sebagai cara meningkatkan nasib baiknya.


Walaupun sesetengah orang mengkritik Duc Loi kerana mempamerkan kekayaannya dan menunjukkan contoh buruk kepada golongan muda, video TikToknya menjadikan lelaki itu popular di media sosial.


Beberapa klip videonya ditonton berjuta-juta orang dan ramai yang berharap mereka boleh menjadi sepertinya.


Antara koleksi emas yang dimiliki Duc Loi.

Rabu, 16 Februari 2022

Amazon semakin gondol, penebangan hutan semakin berleluasa

Amazon semakin gondol, penebangan hutan semakin berleluasa


Aktiviti penebangan hutan Amazon di Brazil semakin berleluasa apabila data pada bulan Januari tahun ini, menunjukkan keluasan kawasan hutan yang digondolkan adalah lima kali ganda lebih besar berbanding tempoh sama tahun lepas.


Menurut laporan BBC News pada 13 Februari 2022, kawasan hutan Amazon seluas 430 kilometer persegi telah ditebang sekali gus rekod tertinggi untuk bulan Januari yang pernah dicatatkan sejak 2015.


Aktivis-aktivis alam sekitar menuduh Presiden Brazil, Jair Bolsonaro, sebagai individu bertanggungjawab yang membenarkan aktiviti penebangan hutan dipertingkatkan.


Mereka mengaku tidak terkejut melihat rekod pada bulan Januari 2022 itu ekoran tindakan Bolsonaro, melonggarkan undang-undang bagi membenarkan aktiviti penebangan hutan Amazon sejak beliau memulakan tugasnya pada 2019.


Kerajaan Brazil bagaimanapun menyangkal semua laporan tersebut, dan mendakwa bahawa jumlah penebangan hutan antara Ogos tahun lepas hingga Januari 2022, adalah lebih rendah berbanding tempoh sama dua tahun lepas.



Ketika Persidangan Perubahan Iklim COP26 di Glasgow pada tahun lepas, lebih 100 negara berikrar untuk menghentikan aktiviti penebangan hutan menjelang 2030.


Bagaimanapun, data satelit terbaharu daripada Agensi Angkasa Lepas Brazil (INPE) itu menimbulkan tanda tanya terhadap komitmen kerajaan Bolsonaro dalam melindungi hutan hujan terbesar dunia itu, kata aktivis-aktivis alam sekitar.


"Data terbaharu ini sekali lagi mendedahkan situasi bagaimana tindakan yang diambil kerajaan Brazil adalah bertentangan dengan kempen-kempen hijau yang dijalankannya," kata jurucakap Greenpeace Brazil, Cristiane Mazzetti.


Greenpeace Brazil merupakan sebuah pertubuhan alam sekitar yang giat menggesa pasar raya-pasar raya seluruh dunia untuk memboikot pembekal yang terlibat dalam aktiviti penebangan hutan.


Sementara itu, menurut laporan, terdapat beberapa faktor yang menjadi penyebab kepada aktiviti penebangan hutan di Amazon.


Antaranya adalah permintaan kukuh global bagi komoditi pertanian seperti daging dan kacang soya, sekali gus, membawa kepada aktiviti penebangan hutan secara haram.


Pemandangan dari udara menunjukkan kawasan di hutan Amazon yang ditebang secara berleluasa pada 15 September 2021. - Foto AFP.
Bukan roket Elon Musk, rupanya roket China akan langgar Bulan

Bukan roket Elon Musk, rupanya roket China akan langgar Bulan


Sebuah roket yang dijangka merempuh Bulan pada bulan hadapan dikenal pasti sebagai roket dari China yang dilancarkan pada 2014, lapor akhbar Metro News UK pada 14 Februari 2022.


Roket tersebut pada mulanya dikatakan milik Elon Musk daripada syarikat aeroangkasa Space X. Namun, pakar astronomi menjelaskan bahawa mereka tersalah memberi ramalan mengenai roket tersebut.


Ia dikenali 2014-065B iaitu bahagian teras bagi roket Chang’e 5-T1 yang dilancarkan sejak 2014 sebagai sebahagian daripada program penerokaan Bulan agensi angkasa lepas China.


Pengumuman mengejut itu dibuat oleh ahli astronomi amatur, Bill Gray yang pertama kali mengenal pasti kesan masa depan dan mengaku kesilapannya hujung minggu lalu.


Pada bulan lalu, Gray, mengatakan kemungkinan roket milik SpaceX, Falcon 9 daripada pelancaran 2015 akan bertembung dengan Bulan pada 4 Mac ini.


Namun begitu, Gray kini mengubah kenyataannya dan percaya objek itu bukanlah serpihan SpaceX Falcon 9, seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini, sebaliknya roket lama milik China.


Objek itu mula dikesan oleh Catalina Sky Survey iaitu sebuah program yang menggunakan teleskop berhampiran Tucson, Arizona untuk mengimbas langit bagi mencari asteroid yang berpotensi menimbulkan ancaman kepada Bumi.


Tidak seperti asteroid biasa, ahli-ahli astronomi menyedari bahawa objek tersebut tidak mengorbit Matahari sebaliknya mengelilingi Bumi, menunjukkan bahawa ia adalah sampah angkasa lepas buatan manusia.


"Saya mempunyai bukti keadaan yang cukup baik untuk pengenalpastian tetapi tidak ada yang konklusif," tulis Gray dalam catatan blog baharunya. - Sumber Metro UK.


Objek misteri yang bakal merempuh Bulan adalah sampah buatan manusia dan dipercayai serpihan roket yang dilancarkan China pada 2014. - Foto Autoevalution (Animasi komputer).

Isnin, 14 Februari 2022

'Bakat tak boleh dibeli dengan duit, awak perlu jaga maruah awak' - Ajai

'Bakat tak boleh dibeli dengan duit, awak perlu jaga maruah awak' - Ajai


"Kamu tak berbakat dalam nyanyian. Bakat tak boleh dibeli dengan duit," kata komposer dan penyanyi, Ajai terhadap persembahan malah penyertaan usahawan sensasi, Iqbal Zulkefli dalam program realiti Big Stage 2022, semalam.


Iqbal yang tampil menyanyikan lagu Ketahuan nyanyian asal kumpulan Matta pada konsert minggu kedua program Big Stage yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), turut ditegur supaya tidak terus menerus menjatuhkan maruahnya di depan khalayak ramai.


"Terus terang cakap, bakat ini adalah pemberian.. walaupun kamu berduit macam mana pun, bakat tidak boleh dibeli dengan duit. Bakat itu diberi oleh Allah SWT.


"Jadi, anda perlu terima kenyataan bahawa anda tidak dilahirkan untuk menjadi penyanyi. Tapi kamu mempunyai rezeki yang lain.


"Ada orang bertahun belajar untuk dapatkan ilmu (nyanyian). Saya tak suka benda ini dijadikan bahan lawak. Awak perlu jaga maruah awak," katanya yang juga juri tetap Big Stage 2022.


Iqbal bagaimanapun menerima segala teguran dengan hati terbuka: "Saya terima dengan hati terbuka," katanya.


Terdahulu, kemunculan Iqbal pada minggu lalu dalam program realiti itu dikecam hebat oleh netizen kerana dianggap sebagai peserta yang tidak berkualiti sekaligus menjatuhkan standard program yang masuk musim keempat itu.


Iqbal menerima segala teguran dengan hati terbuka.
Pengawal keselamatan rosakkan lukisan RM4.19 juta, lukis 'mata' kerana bosan hari pertama kerja

Pengawal keselamatan rosakkan lukisan RM4.19 juta, lukis 'mata' kerana bosan hari pertama kerja


Sebuah lukisan bernilai £740,000 (kira-kira RM4.2 juta) rosak selepas seorang pengawal keselamatan bertindak melukis 'mata' pada wajah hasil seni itu yang dipamerkan di sebuah galeri di Rusia, lapor Daily Mail pada 11 Februari 2022.


Pengawal keselamatan itu didapati melakar bahagian mata pada dua figura tanpa wajah dalam lukisan bertajuk Three Figures yang dihasilkan oleh artis Anna Leporskaya.


Dia merosakkan lukisan tersebut dengan menggunakan pen, pada hari pertama bekerja di pameran seni abstrak diadakan di Pusat Galeri Yeltsin di bandar Yekaterinburg, barat Rusia.


Pusat Galeri Yeltsin memaklumkan lukisan itu dicemari oleh seorang warga emas berusia 60 tahun yang bekerja di syarikat keselamatan swasta.


Lapor Art Newspaper, dua pengunjung yang menghadiri pameran seni itu pada 7 Disember 2021 lalu, telah mengesan butiran tambahan pada dua figura yang terdapat dalam lukisan tahun 1930an itu.



"Lukisan yang dipinjam dari Galeri Tretyakov di Moscow dirosakkan oleh pengawal keselamatan selepas dikatakan bosan hari pertama bekerja. Sejak insiden itu, dia sudah dipecat," jelasnya.


Pihak polis telah membuka kertas siasatan untuk perbuatan vandalisme tersebut dan jika sabit kesalahan, suspek berdepan denda sebanyak £395 (RM2,240) serta penjara selama setahun.


Lukisan tersebut dihantar ke galeri Moscow keesokan harinya dan diperiksa oleh artis pemulih karya seni. Seorang pakar di galeri Tretyakov menyatakan kesan conteng tersebut boleh dipadamkan tanpa sebarang kerosakan jangka panjang pada lukisan berkenaan.


Lukisan tersebut berjaya dipulihkan, namun kos pemulihan dianggar berjumlah £2,470 (RM14,000) yang ditanggung syarikat keselamatan terlibat.


Leporskaya merupakan seorang pelukis yang merupakan pelajar artis tersohor Rusia, Kazimir Malevich. Beliau dilahirkan pada tahun 1900 dan meninggal dunia pada tahun 1982.


Lukisan Three Figures yang dirosakkan oleh seorang pengawal keselamatan. - Foto NEWSFLASH.

Jumaat, 11 Februari 2022

Ular Sawa Memuntahkan Dua Ekor Ayam Selepas Ditangkap

Ular Sawa Memuntahkan Dua Ekor Ayam Selepas Ditangkap


Seekor ular sawa yang kekenyangan selepas menelan dua ekor ayam ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Penjara Satelit di Kem Bukit Besar, Kulim, Semalam.


Pegawai APM Daerah Kulim, Leftenan (PA) Mohd. Faizol Ab. Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai ular sawa sepanjang tiga meter dan berat 10 kilogram itu kira-kira pukul 8 pagi.


Katanya, pekerja di penjara tersebut memaklumkan mereka terdengar bunyi bising ayam yang berada di dalam reban yang terletak di belakang rumah kakitangan.


Menurutnya, pekerja berusia 42 tahun itu kemudian mendapati seekor ular sawa berada di dalam reban ayam tersebut.


"Pengadu bertindak menghubungi pihak APM untuk mendapatkan bantuan dan lima anggota APM tiba di lokasi kemudian mengesan ular terbabit yang masih berada di dalam reban.


"Anggota APM mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menangkap ular itu yang bersembunyi di dalam reban ayam terbabit," katanya.


Mohd. Faizol berkata, selepas ditangkap ular sawa terbabit memuntahkan dua ekor ayam yang ditelan itu.


"Ular sawa itu kemudian dibawa balik ke Pejabat APM Daerah Kulim sebelum dihantar ke Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah untuk tindakan lanjut," jelasnya.


Dua anggota APM menunjukkan seekor ular sawa yang ditangkap di Penjara Satelit di Kem Bukit Besar, Kulim hari ini. - Foto Utusan Online.