Isnin, 14 Februari 2022

Pengawal keselamatan rosakkan lukisan RM4.19 juta, lukis 'mata' kerana bosan hari pertama kerja


Sebuah lukisan bernilai £740,000 (kira-kira RM4.2 juta) rosak selepas seorang pengawal keselamatan bertindak melukis 'mata' pada wajah hasil seni itu yang dipamerkan di sebuah galeri di Rusia, lapor Daily Mail pada 11 Februari 2022.


Pengawal keselamatan itu didapati melakar bahagian mata pada dua figura tanpa wajah dalam lukisan bertajuk Three Figures yang dihasilkan oleh artis Anna Leporskaya.


Dia merosakkan lukisan tersebut dengan menggunakan pen, pada hari pertama bekerja di pameran seni abstrak diadakan di Pusat Galeri Yeltsin di bandar Yekaterinburg, barat Rusia.


Pusat Galeri Yeltsin memaklumkan lukisan itu dicemari oleh seorang warga emas berusia 60 tahun yang bekerja di syarikat keselamatan swasta.


Lapor Art Newspaper, dua pengunjung yang menghadiri pameran seni itu pada 7 Disember 2021 lalu, telah mengesan butiran tambahan pada dua figura yang terdapat dalam lukisan tahun 1930an itu.



"Lukisan yang dipinjam dari Galeri Tretyakov di Moscow dirosakkan oleh pengawal keselamatan selepas dikatakan bosan hari pertama bekerja. Sejak insiden itu, dia sudah dipecat," jelasnya.


Pihak polis telah membuka kertas siasatan untuk perbuatan vandalisme tersebut dan jika sabit kesalahan, suspek berdepan denda sebanyak £395 (RM2,240) serta penjara selama setahun.


Lukisan tersebut dihantar ke galeri Moscow keesokan harinya dan diperiksa oleh artis pemulih karya seni. Seorang pakar di galeri Tretyakov menyatakan kesan conteng tersebut boleh dipadamkan tanpa sebarang kerosakan jangka panjang pada lukisan berkenaan.


Lukisan tersebut berjaya dipulihkan, namun kos pemulihan dianggar berjumlah £2,470 (RM14,000) yang ditanggung syarikat keselamatan terlibat.


Leporskaya merupakan seorang pelukis yang merupakan pelajar artis tersohor Rusia, Kazimir Malevich. Beliau dilahirkan pada tahun 1900 dan meninggal dunia pada tahun 1982.


Lukisan Three Figures yang dirosakkan oleh seorang pengawal keselamatan. - Foto NEWSFLASH.


EmoticonEmoticon