Isnin, 14 Februari 2022

'Bakat tak boleh dibeli dengan duit, awak perlu jaga maruah awak' - Ajai


"Kamu tak berbakat dalam nyanyian. Bakat tak boleh dibeli dengan duit," kata komposer dan penyanyi, Ajai terhadap persembahan malah penyertaan usahawan sensasi, Iqbal Zulkefli dalam program realiti Big Stage 2022, semalam.


Iqbal yang tampil menyanyikan lagu Ketahuan nyanyian asal kumpulan Matta pada konsert minggu kedua program Big Stage yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), turut ditegur supaya tidak terus menerus menjatuhkan maruahnya di depan khalayak ramai.


"Terus terang cakap, bakat ini adalah pemberian.. walaupun kamu berduit macam mana pun, bakat tidak boleh dibeli dengan duit. Bakat itu diberi oleh Allah SWT.


"Jadi, anda perlu terima kenyataan bahawa anda tidak dilahirkan untuk menjadi penyanyi. Tapi kamu mempunyai rezeki yang lain.


"Ada orang bertahun belajar untuk dapatkan ilmu (nyanyian). Saya tak suka benda ini dijadikan bahan lawak. Awak perlu jaga maruah awak," katanya yang juga juri tetap Big Stage 2022.


Iqbal bagaimanapun menerima segala teguran dengan hati terbuka: "Saya terima dengan hati terbuka," katanya.


Terdahulu, kemunculan Iqbal pada minggu lalu dalam program realiti itu dikecam hebat oleh netizen kerana dianggap sebagai peserta yang tidak berkualiti sekaligus menjatuhkan standard program yang masuk musim keempat itu.


Iqbal menerima segala teguran dengan hati terbuka.


EmoticonEmoticon